PEMBINA menyambut baik hasrat kerajaan untuk menganjurkan sekali lagi Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012. Sebagaimana acara tersebut pada 2011, himpunan belia ini mampu memberi peluang kepada golongan belia untuk ketengahkan potensi dan kemampuan mereka dengan cara yang positif.
Pada tahun ini, selain memberi peluang kepada belia untuk mempamerkan kebolehan mereka, kerajaan boleh memperbanyakkan lagi elemen-elemen perkhidmatan untuk belia untuk membantu para belia menyusun kehidupan dengan baik dan terjamin. Ini kerana belia bukan sekadar memerlukan landasan untuk mereka beraksi, tapi mereka juga memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar bagi mengharungi hidup dengan stabil, terutama di zaman belia.
Penganjur Himpunan Jutaan Belia boleh menganjurkan pelbagai acara seperti program-program motivasi, forum-forum mengulas isu belia, ruang kaunseling dan sebagainya. Banyak isu yang menyentuh belia yang perlu diberi kesedaran dan penekanan seperti isu jatidiri, rumahtangga, pengurusan kewangan, kesihatan, perlindungan, kerjaya dan daya saing. Himpunan ini boleh menjadi acara “semua dalam satu” dimana penganjur cuba mengumpulkan segala sumber bagi membantu menyelesaikan permasalahan belia semasa.
Disamping itu, himpunan ini juga patut dijadikan medan untuk membantu merawat masalah kecelaruan identiti belia sebagaimana pernah dilaporkan di media. Penganjur patut meletakkan objektif untuk mempromosikan budaya ketimuran, nilai-nilai murni, menanamkan perasaan cinta kepada tanah air dan budaya tempatan serta penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah banyak berkorban untuk membuka peluang kepada generasi muda. Penekanan perlu diberikan bagi memperkasakan jatidiri sebagai bangsa Malaysia yang mempunyai ciri-ciri unik tersendiri.
Penganjur perlu mengelakkan peniruan budaya asing secara langsung atau tidak langsung sepanjang kempen mempromosikan Hari Belia Negara untuk menunjukkan keseriusan penganjur untuk membangunkan jatidiri dan potensi belia tempatan. Aktiviti yang berbentuk hiburan melampau yang melalaikan sepatutnya tidak dihidangkan kepada belia oleh kerajaan yang prihatin. Selain itu, kos perbelanjaan program boleh dikurangkan dengan mengelakkan pembaziran dan tidak menaja program atau aktiviti yang tidak perlu.
Projek pembangunan generasi belia patut diperhalusi dan semestinya memerlukan usahasama pelbagai pihak. Oleh sebab itu, semua pihak, baik kerajaan mahupun swasta dan NGO, harus berpartisipasi semampunya dan bergabung tenaga bagi menasionalkan agenda pembangunan belia dan merangka struktur program yang komprehensif bagi memenggariskan usaha-usaha pemerkasaan identiti belia di Malaysia demi kebaikan masa depan negara.
Akhir sekali, PEMBINA percaya dengan objektif yang jelas, penyusunan yang rapi dan tenaga yang komited, Himpunan Jutaan Belia mampu membuka banyak peluang kepada belia untuk menyerlahkan bakat dan kemahiran mereka serta membantu belia melakar masa depan dengan cemerlang. Sesungguhnya, semangat dan potensi belia itu sentiasa tersimpan dalam diri belia. Hanyasanya, ianya perlu diacukan kepada perkara-perkara yang baik dan bermanfaat agar tenaga muda tersebut tidak tersia-sia begitu sahaja.
Kenyataan rasmi disediakan oleh:
Aizuddin Khalid
Naib Presiden I
PEMBINA