‘Eid – Menghayati Erti Mujahadah




Kejayaan umat Islam menyambut ‘Eidul-Fitri kali ini memberikan saya satu ruang untuk muhasabah. Bukanlah muhasabah di atas segala bentuk perayaan yang tidak Islamik, tetapi dalam coretan kali ini saya ingin berkongsi tentang muhasabah yang saya sendiri renungkan untuk diri saya. Terdorong dari firman Allah SWT :-

إِنَّ اللّهَ لاَ يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّى يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنْفُسِهِمْ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”

Tidak hairanlah di dalam catatan sirah, para salaffussoleh apabila tibanya Ramadhan, mereka mengucapkan ‘selamat tinggal’ sesama mereka sebagai tanda bahawa mereka mahukan masa bersendiri sewaktu Ramadhan.

Ketika kita dialpakan dengan suasana Ramadhan tanahair yang sinonim dengan Bazaar Ramadhan, Ramadhan tetap mengekalkan matlamat asalnya iaitu memberi ruang kepada segenap umat Islam belajar bermujahadah terhadap nafsu al-hawa. Bulan yang penuh barakah ini melatih umat Islam untuk menjadi insan yang bertaqwa demi mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang sebenar. Maka disitulah logika dan rasionalnya ucapan lafaz doa di hari lebaran “Minal a’idin wal faizin” (Semoga tergolong dari golongan orang-orang yang kembali kepada fitrah dan berjaya). Saban hari kita dengar ucapan ini berkumandang di radio dan dalam lagu-lagu raya yang didendangkan, namun adakah kita mengerti dan memahami maksudnya yang hakiki dan kenapa ia diucapkan?

Kejayaan yang hakiki pada setiap hari ‘Eid ialah apabila kita melepasi sebulan yang penuh dugaan ini dengan mujahadah. Saya tertarik dengan nukilan Ustaz Abdullah Zaik:-

“Nafsu perlu dididik, disergah dan dita’dib. Seseorang yang melalui tarbiyah harus melalui detik-detik pedih dalam tarbiyah nafsu. Bagi saya, seorang yang melalui tarbiyah tetapi tidak pernah melalui detik-detik seperti itu, sebenarnya ia belum lagi melalui proses tarbiyah yang sebenarnya.

Nafsu sifatnya menipu, munafiq, malas, putar belit dan sebagainya. Ia mesti diketuk dan disanggahi dengan tegas. Ia mungkin pedih dan menangis bila disanggah atau dikasari dengan taujih rabbani atau teguran murabbi yang sadiq. Itulah orientasi tarbiyah yang membentuk dengan bentukan Islamiyyah yang sebenar sehingga nafsu menjadi lurus dan patuh dengan arahan dan reda dengan ketentuan Allah SWT.”

Maka kejayaan yang kita sambut dengan semeriah-meriahnya itu akan dapat kita kecapi maknanya yang hakiki apabila kita melalui detik-detik pedihnya tarbiyah mujahadah semasa Ramadhan, dan nikmatnya kita apabila kita melepasi segala dugaan itu.

Nah, mengetahui hakikat ‘Eid yang ramai antara kita sebenarnya sudah tahu, namun mungkin sering terlupa ini, adakah kita dapat mengecapi ‘Eid yang hakiki? Itu soalan buat kita tanya diri kita dan kita jawab kepada diri kita sendiri. Sesungguhnya tidak lain tarbiyah itu melainkan ianya untuk mendidik diri kita sendiri terlebih dahulu sebelum kita mampu mendidik orang lain, seperti kata al-Ustaz Mustafa Masyhur, “aslih nafsak wad’u ghairak!” (Didiklah diri kamu dan serulah orang lain.)

Usah kita gundah gulana andai ‘Eid kali ini masih tidak sempurna berdasarkan definisi hakikinya. Maka kali ini kita akan mula menghargai ucapan doa lazim para salafussoleh “Allahumma Ballighna Ramadhan!” (Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadhan dengan sebenar-benar pengertian.) Kerana kali ini, kita mengucapkannya dengan sepenuh hati dan perasaan, kerana kita tidak lagi mengucapkannya atas dasar ikut-ikutan. Tetapi kali ini kita mengucapkannya kerana kita sebenar-benarnya inginkan ‘Eid yang lebih sempurna pada Ramadhan yang akan datang.

Taqabalallahu minna wa minkum. Allahumma ballighna Ramadhan. Ya Allah, terimalah amal ibadah kami dalam bulan Ramadhan pada tahun ini, dan temukanlah kami dengan bulan Ramadhan di tahun hadapan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top