Aku sayang ummi
Ummiku sayang… ummi
Sayang-sayang ummi, ummiku sayang..
Aku tiba-tiba merasa sayu apabila terdengar lagu “Ummiku Sayang dendangan kumpulan Soutus Sofwa “diputarkan dari corong laptop ACER ku, hatiku rindu pada kenangan bersama anak-anak yatim yang tinggal di sebuah Rumah Perlindungan Kebajikan yang baru sahaja minggu lepas kulawati. Lawatan yang dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional itu bertambah menyayat hatiku apabila ada juga anak yang sanggup meninggalkan ibu tua mereka di sini. Wajah-wajah mereka yang berada di Rumah Perlindungan itu masih terpahat utuh dalam mindaku, suara mereka juga masih terngiang-ngiang di telingaku.
“Uh, apa agaknya yang sedang mereka lakukan sekarang ini ye?, semoga Allah melindungi mereka semua dan menjadikan mereka anak-anak yang dapat berbakti kepada masyarakat apabila sudah dewasa nanti” getus hati kecilku.
“Kak safiah… kak safiah!, belikan saya aiskrim. Saya tak pernah makan aiskrim” pinta adik Khairil dengan muka penuh harapan untukku membelikannya aiskrim, aku tersenyum sambil memandang budak paling nakal dalam kumpulan kami itu.
“Kalau nak aiskrim, Khailril perlu jadi orang baik dulu ,Khairil janji dengan akak , Khairil akan jadi orang yang disayangi Allah. Boleh?”, ujar aku kepadanya.
Kanak-kanak itu mendengar dan mengangguk-angguk kepalanya tanda setuju. Sengihnya menyeringai. Sudah mula membayangkan aiskrim yang bakal diperolehinya barangkali.
“Ok, siapa yang nak jadi anak yang baik?” soalku pada yang lain, yang dari tadi hanya memerhati.
“Saya… saya”, riuh kanak-kanak itu menjawab, sambil terlompat-lompat mengangkat tangan masing-masing , terserlah ceria wajah mereka. Wajah-wajah yang kini amat kurindui.
“Ok…ok, kalau macam tu, akak belanja semua orang makan aiskrim. Ok?”
“Ok!, semua menyahut dengan sorak. Gembira bukan kepalang anak-anak tersebut dapat makan aiskrim.
“Terima kasih kak”, kata Syawal, kanak-kanak yang agak pemalu itu.
Hatiku cukup hiba melihat anak-anak tersebut yang dahagakan kasih sayang ibu bapa, hilang tempat pergantungan dan membuatkan mereka tercari-cari tempat untuk menumpang kasih sayang walaupun teduhan kasih sayang hanya sementara dan secebis cuma. Di Rumah Perlindungan ini, aku lihat ada juga anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa, tapi ibu bapa mereka bukan sahaja tidak memperdulikan mereka, bahkan ada yang sanggup menjadikan mereka yang kecil ini tempat melempiaskan nafsu seorang yang bergelar ayah. Hatiku cukup terkedu mengenangkan semua itu.
“Apalah yang hendak terjadi agaknya manusia akhir zaman ini?” aku bertanya dalam diri.
“Safiah.. Safiah, masyarakat sekarang sangat memerlukan bimbingan dan doronganmu ke arah kebaikan cepat teruskan misi hidupmu, teruskan perjuanganmu untuk berkhidmat kepada ummat agar dapat mengembalikan mereka kepada Allah”, bisik hati kecilku.
“Ya Allah bantulah hambamu yang kerdil ini, aku harap aku mampu lakukannya”, doaku agar diberikan kekuatan oleh yang Esa.
Selepas puas membawa kanak-kanak itu berjalan-jalan di tepi tasik, kami pun pulang ke Rumah Perlindungan tersebut. Melihat kanak-kanak itu gembira, hatiku turut gembira walaupun terasa sangat penat kerana melayani bermacam-macam kerenah kanak-kanak kecil itu..
Sampai di Rumah Perlindungan itu, mataku terpandang kepada seorang nenek yang sedang duduk termenung dari jauh, hati kecil ku meronta-ronta untuk bertanya apa yang sedang direnungkan? Aku mengambil langkah dan terus berjalan ke arah nenek tua itu. Kelihatan pada mulanya nenek itu seolah-olah tidak mahu diganggu, tetapi apabila aku memulakan bicara yang ringan-ringan dia mula minat untuk berbual denganku. Kasihan nenek ini, rupanya dia sangat memerlukan perhatian dan kasih sayang anaknya. Iyalah, usia dah lanjut dan tidak boleh bergerak bebas pula,pasti sangat mengharapkan anak sentiasa disisi. Bila aku amati cerita nenek itu, rupa-rupanya anaknya ramai, bahkan semuanya sudah mempunyai keluarga sendiri.
Hati kecilku mengeluh, “ anak ramai, tapi belum tentu mampu untuk menjaga seorang ibu”.
Aku dan sahabatku mengambil peluang membawa nenek ini berjalan melihat kecantikan tasik dan menghirup udara luar yang cukup segar, sambil kami keluar bersama, sambil-sambil nenek itu bercerita bahawa sebenarnya dia tidak mahu tinggal di rumah perlindungan ini lagi, kerana di sini dia seorang sahaja orang tua yang lain semua kanak-kanak , kadang-kadang hatinya menjerit kerana agak tertekan dengan kanak-kanak yang berada di situ. Iyalah, biasanya kanak-kanak agak nakal, suka buat bising dan pergerakan mereka juga sukar untuk dikawal.
“Kalau dapat pulang ke rumah alangkah baiknya..” luahan sedih nenek itu.
“Sebenarnya anak-anak nenek selepas menghantar nenek kesini, memang sudah lama tidak datang untuk menjenguk nenek, sedangkan mereka tinggal bukannya jauh, kawasan-kawasan sini jugalah”, sedikit luahan hati nenek bernada sayu, membuatkan hatiku bertambah pedih.
Aku lihat ketika dia menceritakan kisah hidupnya, air matanya seperti tertahan mungkin dia tidak mahu menampakkan kesedihannya, namun tidak dapat dinafikan lagi memang jelas tergambar di wajahnya kesedihan yang sedang ditanggungnya itu. Kasihan nenek ini, ada anak tetapi di sini juga tempat anaknya meninggalkannya. Sebelum ini, aku banyak mendengar kisah-kisah seperti ini di TV , di suratkhabar tapi sekarang aku sedang bercakap dan berdepan dengan orang yang sedang mengalaminya.
“Kenapa mereka tergamak melakukan sebegini kepada ibu mereka,sedangkan jika kita fikir suatu masa dahulu, ibulah yang telah melahirkan kita, telah menyusukan kita, telah mendodoi kita,telah menyuapkan makanan pada kita,telah mengajar kita berjalan dan juga telah mengajar erti hidup. adakah kita lupa semua jasa-jasa mereka?” sayu hatiku tertanya-tanya.
Ibu kita hanya satu, mereka bukan mahukan wang ringgit atau kemewahan tapi hanya secebis kasih sayang dan perhatian. Jangan biarkan mereka menangis sekalipun, sebutir airmata kekecewaan ibu yang mengalir, ibarat sebutir peluru yang menembusi dadanya bahkan lebih teruk lagi.. betapa pedih dan sakitnya perasaan itu. Lagipun mereka sudah tua, berkhidmatlah selagi masih ada, biar kita berhabis harta dan tenaga kerana mereka di dunia ini. Tiada yang indah melainkan dapat berkhidmat kepada ibu dan ayah.
Bahkan di dalam al-quran Allah telah berfirman:
“Dan tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik”. (al-isra’:23)
Sangat dibenci oleh Allah orang yang menderhaka kepada kedua ibubapanya, walaupun hanya berkata “ah” sekalipun. Fikir-fikirkanlah jika perkataan “ah” pun Allah melarang kita untuk menyebut kepada ibubapa kita inikan pula kita menyebabkan ibu kita menangis kesedihan kerana sikap kita. Sedarlah kita wahai manusia yang bergelar sebagai seorang anak segala benda di dunia ini tidak mungkin satupun dapat ditukar untuk membayar harga pengorbanan seorang ibu yang telah mengandungkan kita bahkan kesakitan saat melahirkan.
Tanpa disedari airmataku hampir menitis, tidakku sangka pengalaman menyertai lawatan itu membuatkan aku lebih peka kepada masyarakat, lebih sayang kepada mereka yang bergelar kanak-kanak dan orang tua.“Jangan biarkan ibumu menangis lagi”, hati kecilku merayu.
“Kak long..kak long.., amboi-amboi termenung teringatkan siapa ni…ehem..ehem..? Sapa Amirah sambil tersenyum melihatkan lesung pipitnyamembuatkan lamunanku pada Rumah Perlindungan itu terhenti.
“Ooh.., pandai kenakan kak long ye”,sambil aku sempat mencubit pipi Amirah.“Takde apelah, kaklong teringatkan pada anak-anak di Rumah Perlindungan yang kita lawat minggu lepas, moga kita sama-sama doakan mereka menjadi orang yang sangat berguna apabila mereka sudah dewasa nanti ye…”
Hasil nukilan,
Norhamimah Ibrahim
Naib Presiden 2 Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)