BERLARI PADA ALLAH EPISOD 4 : JALAN KIRA

“Eh Aulia, kamu tak puasa ke?” Aulia tersentak apabila ditangkap tidak berpuasa oleh Cikgu Matematiknya, Cikgu Hikmah. Roti di tangan cuba disembunyikan di belakang badan.

“Kenapa saya kena puasa?” soal Aulia memprotes.

“Puasa itu kan perintah Allah, kita sebagai umat Islam kena taat.” Jawab Cikgu Hikmah lembut.

“Tak Nak! Saya tak nak puasa. Allah bukan sayang saya pun.”Aulia memberontak lantas berlalu meninggalkan Cikgu Hikmah di belakang bangunan sekolah itu sendirian.

Cikgu Hikmah memerhati langkah anak muridnya yang melangkah semakin jauh meninggalkannya dengan sepenuh kasih. “Kamu masih muda nak.” Bisik hati kecil Cikgu Hikmah.

*****

Terik cahaya matahari pada tengah hari itu panas membahang. Namun jalan kampung yang sempit itu tetap kelihatan sibuk dengan gelagat anal-anak kampung yang pulang dari sekolah. Ada yang mengayuh basikal, ada yang berjalan kaki dan ada juga yang berlumba lari. Cikgu Hikmah menggelengkan kepalanya, “Tak padan dengan bulan puasa.” Terhibur dia dengan telatah dan gelagat pelajar-pelajarnya.

Cikgu Hikmah meneruskan langkahnya. Ketika melintasi jambatan gantung, tiba-tiba Cikgu Hikmah terpandang susuk tubuh yang dikenalinya di tepi sungai.

“Assalamualaikum Aulia”

“Waalaikumussalam. Cikgu nak apa?” Jawab Aulia acuh tidak acuh.

“Tiada apa, Cuma nak berbual dengan kamu.” Tutur Cikgu Hikmah mesra tetapi Aulia cuma mendiamkan diri.

“Aulia, kalau cikgu beli sekotak mangga dengan harga RM25 dan dalam kotak mannga tu ada lima biji mangga, berapa harga dua biji mangga?”

“10 ringgit,” Aulia mula menunjukkan minat untuk berbual.

“Macam mana kamu boleh dapat RM10? Cuba tunjukkan dekat cikgu.” Cikgu Hikmah tersenyum melihat respon positif Aulia. Dia tahu Aulia seorang pelajar yang sangat bijak. Setakat soalan mudah begitu sekejap sahaja dia congak.

“(RM25÷5)×2 = RM10” Aulia menunjukkan jalan kerjanya dengan menulis pada pasir.

“Macam mana kamu boleh terfikir nak buat pengiraan begitu?”

“Sebab saya nak tahu harga dua biji mangga,” jawab Aulia pantas.

“Begitulah sepatutnya kita buat dalam kehidupan kita Aulia.”

“Maksud cikgu?” Soal Aulia menagih penjelasan.

“Maksud cikgu begini, kamu buat pengiraan sebab kamu ingin tahu harga dua biji mangga kan?” soal Cikgu Hikmah.

“Haah.”

“Itulah matlamat kamu. Kamu mahu tahu harga dua biji mangga. Jadi, sebab kamu ingin tau harga dua biji mangga, kamu buat pengiraan, bahagi dan darab. Begitulah dalam hidup, kita ada matlamat. Apa dia matlamat kita? Kita nak lihat wajah Allah di akhirat dan masuk syurga tertinggi, Syurga Firdaus. Jadi apa ‘jalan kira’ yang perlu kita buat? Jalani kehidupan mengikut ajaran Islam sepenuhnya.”

Aulia diam. Tiada sebarang reaksi. Dia hanya melontarkan pandangan jauh ke dasar sungai.

“Tak salah kamu nak sedih tetapi jangan sampai tidak mengagungkan Allah. Kamu beriman dengan rukun iman yang ke-6 bukan? Beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah.”

*****

“Haa .. Zinnirah, buat apa tu? Tengok filem lagi ke?”

Zinnirah hanya menayangkan gigi kepada Asmaa’.

“Sudah kau ingat comel ke tayang gigi macam tu? Aku nak pergi jalan-jalan dekat taman rekreasi. Nak ikut?”

“Nak!” Zinnirah teruja lalu segera menutup laptopnya.

 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top