BANGI, 31 Mac – Anglofilia merupakan satu realiti cabaran, kata Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) Mohd Eqwan Mohd Roslan.
Menurutnya, banyak identiti negara hendak di-Inggeriskan.
“Kampung Kerinchi disebut Bangsar South. Kawasan pembangunan dinamakan South Quay. Ada juga yang dinamakan Eco Park seolah perkataan Bahasa Malaysia sudah tidak relevan untuk digunakan dalam penamaan sesuatu kawasan”, ujarnya.
Inilah yang dikatakan sebagai penyakit Anglofilia yang menebal dalam jiwa sesetengah pihak. Apa sahaja yang datang daripada Inggeris atau Barat secara umumnya dan diangkat dirasakan hebat.
“Tidak menerima konsep Perlembagaan dan berbangga dengan falsafah-falsafah luar, melihat Islam sebagai agama ritual dan urusan peribadi, tetapi dalam isu sosial, ekonomi dan politik, model luar lebih baik dan berkesan merupakan tanda-tanda Anglofilia yang semakin menular dalam pemikiran masyarakat kini.
“Kekaguman secara sedar atau tidak sedar inilah yang menyebabkan sesetangah pihak bermatian-matian memperjuangkan perjuangan asing di tanah air kita. Inilah kekeliruan sesetengah pihak yang melihat sedikit kebaikan yang ada dalam falsafah lain, tapi bertindak mengambil falsafah tersebut lalu memperjuangkannya”, ujarnya lagi.
Sifat sensitiviti terhadap semua perkara yang cuba untuk mengubah identiti diri, tanah air dan sejarah kita mestilah ada dalam diri supaya sifat cakna terhadap isu seperti Anglofilia ini dapat dihalang dari terus menular ke dalam pemikiran masyarakat seluruhnya.
NURUL AIN BINTI ABDULLAH
WARTAWAN PEMBINA