
PEMBINA mengikuti perkembangan semasa pendirian tanah air terhadap pelan Trump. Malaysia dilihat menyambut baik pelan Amerika Syarikat untuk Semenanjung Gaza, yang melibatkan penyerahan tadbir urus sementara kepada Presiden Trump dan secara tidak langsung pelucutan senjata Hamas. Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri berkata, pelan tersebut ialah pelan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat antarabangsa dan merupakan suatu langkah penting ke arah menghentikan segera jenayah genosid, kebuluran dan kemusnahan di Gaza. Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan cadangan 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang turut dirangka bersama Benjamin Netanyahu itu bukanlah satu tawaran damai, sebaliknya hanyalah ugutan.
PEMBINA sekali lagi menegaskan bahawa Donald Trump ialah penjenayah perang yang menjadi proksi utama menyokong jenayah Zionis-Israel. Tiada keamanan di dalam pelan “damai” Trump, kerana pelan ini ialah kesinambungan kepada perancangan penjajahan Palestin dan melengkapkan “Deal of Century”.
Hal ini dapat dilihat menerusi muslihat di dalam pelan jenayah Trump jelas apabila mengumumkan Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Tony Blair bagi menganggotai badan antarabangsa yang ditubuhkan untuk memantau proses peralihan Gaza di bawah pelan tajaan Washington. Blair dinamakan sebagai anggota pertama “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) yang dipengerusikan sendiri oleh Trump. Badan itu akan diberi mandat mengurus pentadbiran sementara Gaza sebaik sahaja pertempuran dihentikan. Blair ialah individu mempunyai rekod sebagai dalang utama yang mendorong AS mencetuskan Perang Iraq pada 2003. Blair juga banyak menulis kepada bekas Presiden AS George Bush yang menggalakkan AS untuk memulakan perang.
Motif utama pelan Trump ini dilihat sebagai usaha mendesak Palestin supaya menyerah, meletakkan senjata, dan menyerahkan urusan pentadbiran kepada pihak luar. Hakikatnya, bangsa Palestin bukan bangsa yang lemah atau tunduk kepada tekanan. Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang berjuang mampu membina kekuatan semula meskipun berdepan penindasan yang berpanjangan. Apa yang diperlukan Palestin hanyalah satu perkara — agar penjajah segera berundur dan meninggalkan bumi mereka. Rakyat Palestin terkenal sebagai antara bangsa Arab-Muslim yang paling terpelajar dan berdaya saing. Mereka tidak memerlukan “board of peace” atau campur tangan teknokrat asing untuk membangunkan negara sendiri.
PEMBINA dengan tegas menolak dan mengecam sebarang bentuk persetujuan, kenyataan sokongan daripada mana-mana kerajaan terhadap pelan ini. Kami mengingatkan bahawa sokongan kepada pelan zalim ini bukan sahaja memalukan negara, bahkan mencemarkan imej Malaysia sebagai negara yang selama ini dikenali lantang dalam membela Palestin.
Kami Belia Islam Nasional tetap teguh bersama perjuangan pembebasan penuh Palestin, menolak sebarang bentuk usaha penjajahan Palestin dan mengingatkan kerajaan Malaysia untuk tidak sekali-kali menormalisasikan hubungan bersama projek Zionis-Amerika.
“MEMBINA KEPIMPINAN NASIONAL”
Disediakan oleh: Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA).