HIMPUN Perak : Tiada Kompromi

KANGSAR 17 Dis. – Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) Peringkat Negeri Perak telah diadakan bertempat di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar bermula seawal jam 9.00pagi sehingga 1.00 petang. Sekitar 3000 orang mencakupi keseluruhan peringkat umur daripada usia kanak-kanak, remaja, belia sehingga golongan dewasa hadir memberi sokongan dalam perjuangan membanteras usaha memurtadkan umat Islam di Malaysia.

Pengerusi HIMPUN, Dr. Yusri Mohamad dalam ucapannya menyatakan lewat kebelakangan ini timbul kebiadaban penganut agama lain dalam mencabar kemurnian agama Islam. Usaha memurtadkan umat Islam merupakan perkara yang amat dikesali kerana apabila seorang Muslim itu murtad, ia telah menggadaikan bukan sahaja dunia malah akhiratnya juga. Beliau menyeru semua pihak agar tidak mencurigai agenda HIMPUN kerana perhimpunan ini diasaskan atas kesatuan akidah dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi. Beliau juga memberi gambaran suara yang lantang dan jelaslah yang akan mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Justeru, amat perlu untuk umat Islam berhimpun mencipta paduan suara atas dasar kesatuan akidah supaya penganut agama lain tidak akan berani mencalar kesucian agama Islam sewenang-wenangnya.

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik mengingatkan pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 120 bahawa orang Nasrani dan Yahudi tidak akan redha dengan orang Islam sehingga orang Islam mengikut jejak langkah mereka. Kedudukan Islam telah dicabar dan pertembungan budaya sedang berlaku dengan sengit dalam usaha musuh-musuh Islam merobek keperibadian dan jati diri umat Islam di Malaysia. Malangnya, masih ramai yang gagal melihat situasi ini adalah sebahagian daripada perancangan rapi musuh-musuh Islam dan hanya menganggap apa yang berlaku adalah kisah-kisah terpencil yang bersifat individu. Beliau menggesa umat Islam menjaga sensitiviti keimanan dan jangan sekali-kali bacul membelakangkan sensitiviti keagamaan semata-mata untuk kepentingan politik.

Ucapan bersemangat daripada Timbalan Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Hashim mengundang tepukan dan takbir gemuruh bergema di dalam dewan.  Beliau membuat pendedahan terdapat 43 permohonan untuk murtad dikemukakan di Mahkamah Syariah di Perak sehingga November tahun ini. Seramai 52 orang pula sedang menjalani proses istitaubah (diperi peluang untuk bertaubat) di Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi tempoh yang sama. Fenomena ini seolah-olah memberi gambaran Islam itu adalah agama yang tidak cantik dan ada yang kurang sehingga terdapat di kalangan penganutnya yang sanggup untuk murtad. Beliau membuat penegasan situasi sekarang adalah amat genting. Oleh itu, menjadi kewajipan dan dhoruri untuk semua umat Islam dalam segenap peringkat tanpa mengira apa jua aliran pemikiran atau agenda politik bersatu memerangi isu murtad dan bertegas memberi tawaran harga mati dan tiada kompromi kepada sesiapa sahaja yang berani mencabar kesuciaan agama Islam di negara kita.

Pengerusi Bersama HIMPUN yang juga Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu Malaysia, Tuan Haji Azmi  Abdul Hamid menegaskan sekali lagi tiada tawar menawar dalam isu akidah. Fix price atau harga mati dan tiada kompromi ; inilah pegangan muktamad yang mesti dipertahankan apabila timbul isu-isu berkenaan dengan akidah. Seterusnya, beliau membacakan Deklarasi HIMPUN dimulakan dengan bacaan Bismillahirrohmanirrohim:

1. Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri.

2. Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

3. Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

4. Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tiada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami menggesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar.

6. Meminta kerajaan supaya mengadakan program penerangan menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7. Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha menggugat kesucian Islam.

8. Menyeru semua institusi dalam masyarakat teruatamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas mendidik anak-anak dan waris terdekat daripada terjebak dalam aktiviti pemesongan akidah.

9. Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada media cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10. Menyeru seluruh umat Islam hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali menjelaskan Islam diasaskan daripada 3 sendi iaitu akidah, syariah dan akhlak. Beliau menyatakan siri penjelajahan atau roadtour HIMPUN akan diteruskan di seluruh Malaysia dengan matlamat memberi penjelasan kepada umat Islam Malaysia tentang kepentingan mempertahankan sendi terpenting Islam iaitu akidah. Beliau telah menubuhkan Unit Selamatkan Akidah untuk membantu umat Islam yang telah terpesong akidahnya. Setakat ini, terdapat 51 orang telah dirujuk kepada unit ini dalam usaha untuk menyelamatkan akidah mereka. Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti mubaligh yang berjubah dan bersolat Zohor secara berjemaah bersama-sama masyarakat Islam untuk mengasimilasikan diri mereka dalam usaha  memesongkan akidah umat. Sasaran mereka ialah orang miskin, orang yang kurang berpengetahuann, orang yang lemah akidahnya, orang yang berhutang, orang yang mengalami krisis rumah tangga, golongan pertengahan yang boleh berfikir sehingga kepada golongan atasan. Oleh itu, beliau menyeru umat Islam supaya menjaga akidah khususnya golongan ibubapa mesti mementingkan penerapan nilai agama dalam pendidikan anak-anak. Beliau juga berpesan umat Islam tidak meninggalkan ibadah khusus terutamanya solat. Solat mesti diutamakan tanpa mengira apa jua situasi dan tempat kerana ibadat solatlah yang akan melindungi umat Islam daripada kejahatan dan kemungkaran.

Himpunan Sejuta Umat Peringkat Negeri Perak berakhir pada pukul 1.00 petang dengan bacaan zikir dan doa munajat dibimbing oleh Datuk Dr Hassan Ali dan seterusnya laungan bersemangat ikrar HIMPUN.

 

Disediakan oleh:

Norinsafrina Mustaffa Kamal

Media PEMBINA PERAK

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top