Di Sebalik Hujan Hiburan: Membongkar Akar Falsafah dan Keagamaan Festival Air dalam ‘Rain Rave Water Music Festival 2026’

Penganjuran program sambutan Hari Pekerja Sedunia menerusi acara Rain Rave Water Music Festival 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei di Bukit Bintang tidak wajar dinilai dari lensa cetek sebagai sekadar sebuah pentas hiburan bermusim. Dalam kerangka ilmu budaya dan peradaban, tidak wujud sesuatu bentuk seni atau festival yang benar-benar neutral. Setiap ekspresi budaya sama ada muzik, tarian, atau festival adalah manifestasi kepada worldview (tasawwur hidup) sesuatu tamadun. Sebaliknya, ia perlu dianalisis secara kritis sebagai satu fenomena budaya komprehensif yang membawa bersama sistem nilai, simbolisme, dan kerangka falsafah tertentu. Melalui penelitian dan pembacaan, penganjuran festival air seumpama ini didapati berkait rapat dengan tradisi perayaan seperti Festival Songkran di Thailand dan Festival Simbahan Air (Splashing Water Festival) bagi etnik Dai di China. Kedua-duanya merupakan perayaan tradisional utama yang melambangkan musim menuai, keberkatan, dan perpaduan , serta menandakan titik tolak sambutan Tahun Baru yang disambut pada pertengahan bulan April bagi masyarakat terbabit. 

Menyelusuri akar falsafahnya, hakikatnya kedua-dua perayaan ini sangat sarat dengan pengaruh ritual suci ‘mandi dan penyucian dosa’ di dalam ajaran Brahmanisme serta agama Buddha Theravada. Etimologi nama perayaan “Songkran” mahupun “Shanghan” dalam bahasa Dai itu sendiri merupakan terjemahan langsung daripada perkataan Sanskrit iaitu Samkranta, yang membawa maksud putaran, perubahan, dan perpindahan. Pada terasnya, penganut dan masyarakat tempatan meletakkan kepercayaan sakral bahawa air adalah elemen yang sangat suci dan melambangkan sumber kehidupan. Justeru, aktiviti menyimbah air pada asalnya bukanlah satu acara bersuka-ria semata-mata, tetapi ia adalah satu bentuk upacara ritual untuk membersihkan kekotoran fizikal, menyucikan diri daripada dosa , dan pada masa yang sama, mendoakan turunnya hujan yang baik serta masa depan yang dirahmati.

Walau bagaimanapun, perayaan yang asalnya memegang nilai keagamaan 

 ini telah berevolusi seiring dengan arus kemodenan, bertukar wajah menjadi sebuah acara karnival antarabangsa yang disulami dengan elemen komersial. Pada masa lampau, adat menyimbah air ini dilakukan dengan sangat tertib di mana golongan muda hanya menggunakan air bersih atau air wangi (berbau bunga melur) untuk dituangkan secara berhati-hati ke atas orang yang lebih tua sebagai tanda penghormatan dan salam keberkatan. Namun, hasil daripada inisiatif pakej pelancongan oleh pihak kerajaan selama berdekad-dekad, identiti perayaan ini telah berkembang dan diubah suai. Kelengkapan tradisional telah digantikan secara meluas dengan kelengkapan moden seperti pistol dan bom air. Tambahan, acara ini turut dimeriahkan dengan penganjuran konsert, pesta kelab malam terbuka, dan persembahan selebriti yang bertujuan menarik ratusan ribu pelancong global. Di daerah Yunnan, China contohnya, usaha berterusan telah mengangkat Festival Simbahan Air etnik Dai ini sebagai “Karnival Oriental”, meletakkannya sebagai salah satu acara pelancongan antarabangsa yang paling mendapat perhatian.

Bertitik tolak daripada pemerhatian ini, terbukti dengan jelas bahawa penganjuran Rain Rave Water Music Festival berakar falsafahkan silang budaya luar yang mempunyai kaitan langsung dengan doktrin agama tertentu, dan sama sekali tidak bersandarkan kepada nilai serta budaya tempatan. Penglibatan dan penjenamaan konsert ini sebagai salah satu acara di bawah kempen Visit Malaysia 2026 untuk menarik minat pelancong asing dilihat sebagai satu langkah yang janggal. Ia gagal mencerminkan identiti masyarakat Malaysia yang berteraskan Islam sebagai agama rasmi dan Melayu sebagai tonggak bangsanya. 

Kekuatan identiti dan budaya merupakan senjata soft power (kuasa lembut) yang paling ampuh bagi sesebuah negara untuk membina pengaruh. Jika soft power ini tidak diangkat dengan naratif nilai, sejarah, dan akar falsafah yang mencerminkan identiti sebenar, kita bakal mendepani krisis kecelaruan identiti yang kritikal. 

Menurut Laporan Strategik Kuasa Nasional Malaysia 2024-2025 yang diterbitkan oleh IRIS Institute,sebuah badan kajian bebas yang meneliti isu-isu strategik di dalam dan luar negara,terdapat satu trend yang jelas dua tahun kebelakangan ini di mana warisan dan kebudayaan luar (seperti kebudayaan Cina) diangkat untuk dijadikan sebagai tarikan utama pelancong. Penganjuran festival ini yang diletakkan di bawah kempen Visit Malaysia 2026 menunjukkan sumbangan kepada trend ini.

Walaubagaimanapun, waima apa pun kerangka falsafah yang mendasari dan menjadi latar belakang penganjuran konsert ini, normalisasi budaya hiburan yang melampau tidak sepatutnya mendapat tempat dalam masyarakat, khususnya buat umat Islam. Acara-acara yang menggalakkan pergaulan bebas, percampuran tanpa batasan antara lelaki dan perempuan, serta menjulang gaya hidup hedonistik sebegini wajib diambil berat dan dihindari sepenuhnya.

Impak jangka panjang daripada normalisasi budaya sebegini amat menakutkan, lebih-lebih lagi kerana ia menyasarkan kepada golongan belia Islam yang merupakan pewaris dan kepimpinan negara pada masa hadapan. Jika sistem nilai dan batas sempadan agama tidak dibentuk secara konkrit dari awal dan jika identiti negara gagal dipertahankan, kita akan melihat kelahiran generasi yang lumpuh jati dirinya dan hilang pedoman moralnya. Berpegang kepada realiti ini, PEMBINA sentiasa konsisten dan komited dengan pendirian bahawa sebarang bentuk penganjuran yang mengimport identiti luar dan menanam benih hedonisme di tanah air ini seharusnya ditegah sekeras-kerasnya demi memelihara maruah agama dan masa depan negara.

Rujukan:

Hao, M., & Wang, M. (2024). The water etiquette: A comparative analysis of the water splashing festival in China and Thailand from the perspective of cultural ecology. Journal of Roi Kaensarn Academi, 9(6), 186–195

IRIS Institute. (2025). Laporan Strategik Kuasa Nasional Malaysia 2024-2025 (Laporan penuh).

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top