Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Shah Alam melancarkan petisyen bersama susulan insiden seorang mahasiswa universiti tempatan yang didakwa memuat naik perbuatan memijak naskhah suci al-Quran di media sosial, baru-baru ini.
Dalam kenyataan media, PEMBINA Shah Alam memaklumkan pihaknya memandang serius tindakan provokasi tersebut yang disifatkan sebagai melampau.
“Perbuatan ini bukan sekadar biadab, malah ia merobek perasaan umat Islam dan berpotensi mencetuskan ketegangan yang merbahaya dalam negara kita yang berbilang kaum.
“Ia adalah tindakan yang sama sekali tidak mencerminkan akal budi dan etika seorang individu bergelar penuntut ilmu di universiti,” katanya.
PEMBINA Shah Alam turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai ancaman kepada keharmonian negara serta menzahirkan sentimen kebencian agama.
“Tindakan jijik ini secara terang-terangan menzahirkan sentimen Islamofobia dan kebencian melampau. Ia berniat jahat untuk menggugat dan memusnahkan keharmonian antara komuniti berbilang agama yang telah lama terbina di Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, mereka menegaskan pendirian berprinsip menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama.
“Selari dengan ajaran Islam yang syumul, PEMBINA Shah Alam konsisten menolak sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama sekalipun. Kami menegaskan bahawa kebebasan bersuara sama sekali bukan lesen untuk menghina dan mencerca kesucian agama.”
Mengulas aspek perundangan, kenyataan itu menyatakan bahawa kesucian Islam dilindungi di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
“Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara secara jelas memperuntukkan pemeliharaan ke atas kesucian agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Kesucian Islam wajib dipertahankan daripada sebarang bentuk ancaman, gangguan, mahupun penghinaan murahan seperti ini.”
Dalam kenyataan sama, mereka turut menyeru mahasiswa, belia dan rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang dilancarkan bagi mendesak tindakan segera terhadap pelaku serta memastikan insiden tersebut tidak berulang.
“Suara kita perlu disatukan. Kami menyeru anda untuk menandatangani petisyen ini bagi mendesak pihak berwajib mengambil tindakan keras terhadap si pelaku, serta memastikan insiden hitam ini tidak berulang. Serta tanda sokongan seluruh Mahasiswa dan Belia di Malaysia.
“Mari kita buktikan bahawa belia dan mahasiswa Malaysia adalah golongan terpelajar yang menolak ekstremisme dan kebencian agama melampau,” katanya.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Shah Alam dan Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UiTM Shah Alam.
