Valentine's Day : Cinta itu Fitrah bukan Fitnah

Fokus

Hari ini ialah hari kasih sayang bagi segolongan masyarakat. Saya tersenyum membaca akhbar semalam, bukan kerana seronok melihat keghairahan muda-mudi ingin menyambut Valentine’s Day, tetapi kerana melihat disebalik kealpaan Muslimin & Muslimat terhadap tuntutan agama mereka, masih ada yang berilitzam dengan syarak.

valentines-day

Saya merujuk kepada sebuah artikel di dalam New Sunday Times, bahagian Life & Times m/s 2 bertajuk “Crazy thing called love”. Tidak cukup sekadar membacanya melalui alam maya, kali ini saya pergi ke kedai demi mendapatkan senaskhah akhbar ini untuk disimpan. Bagi yang ingin membacanya, boleh click di link ini http://www.nst.com.my/nst/articles/Family_Crazythingcalledlove/Article/

Perkara yang membuatkan saya tertarik ialah kisah bagaimana sepasang suami isteri ‘dikahwinkan’ atau dengan lebih tepat ‘dijodohkan’ oleh ibu dan bapa mereka. Perkenalan pasangan ini pula hanya sekitar 10 minit dan segala perhubungan semasa mereka bertunang adalah melalui ibu bapa mereka. Nah, mungkin ada yang merasakan ini satu percintaan yang rumit namun Alhamdulillah mereka selamat diijabkabulkan dan telahpun menimang cahaya mata!

Gambar hiasan.

Di sebalik kekalutan arus pasca-moden yang cuba memberikan pelbagai definisi tentang ‘cinta’, pasangan ini menyahut sokongan ibu bapa mereka dan mengambil jalan yang ‘unik’ dalam masyarakat. Keunikan ini bukanlah semata-mata untuk menarik perhatian orang lain, namun ibu bapa pasangan ini adalah seorang yang mementingkan aspek agama dalam kehidupan. Maka iltizam mereka dalam mencari yang terbaik dalam agama membawa mereka ke jalan ini. Rupa-rupanya pasangan ibu bapa ini juga berkahwin dengan cara yang sama iaitu “arranged-marriage” seperti yang diistilahkan sebahagian masyarakat.

Tidak segan dan silu untuk saya katakan bahawa saya juga seperti 2 pasangan bahagia ini. Kini saya melihat sekeliling muda-mudi yang masih bujang mencari-cari erti ‘cinta’ dan cuba mentafsirkan ‘perkahwinan’ dengan pelbagai tafsiran berdasarkan hujah masing-masing. Memanglah pengalaman kita sendiri akan menyebabkan kita mendapat pelbagai tafsiran ini, dan ada antara kita menjumpai tafsiran yang tepat dan ada yang tidak. Semuanya sebenarnya bergantung kepada niat dan tujuan kita mencari ‘cinta’ dalam kehidupan. Statistik zina yang semakin meningkat, kes buang bayi yang tidak putus-putus kedengaran, dan kekecewaan dalam percintaan mencurigakan saya dan menimbulkan persoalan apakah muda-mudi kini tidak menjumpai maksud ‘cinta’ dan ‘perkahwinan’ yang hakiki? Kejadian-kejadian seumpama ini akhirnya menjadi fitnah kepada agama kita apabila sejumlah besar yang terjebak dalam gejala ini beragama islam.

Saya menyarankan bagi yang belum berkahwin, bacalah artikel tersebut dan mana-mana artikel atau buku seumpamanya dan renung-renungkan. Juga saya mengajak kita semua mencari maksud ‘perkahwinan’ dan jalan menujunya seperti yang disarankan oleh agama Islam. Sesungguhnya agama Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia dan pastinya hakikat ‘cinta’ yang kita cari ada jawapannya pada Islam sebagai cara hidup.

Cinta itu sesuatu yang Fitrah dan halal, maka ayuh kita pastikan ianya tidak menjadi Fitnah kepada kita dan agama kita.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top