Ucapan Takziah atas Pemergian Puteri Bongsu Mantan Presiden PEMBINA

PEMBINA mengucapkan takziah diatas pemergian Puteri bongsu (Anak ke-3) Mantan Presiden PEMBINA, saudara Norzafry Norhalim bersama pasangannya saudari Aisyah Md Ali. Kami mendoakan agar roh Almarhumah Nur Amaani Binti Norzafry yang berusia 54 hari tenang di Alam Baqa` yang kekal Abadi.

Almarhumah telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi 24 April 2013, bertempat di kediaman Bonda isterinya di Shah Alam. Pada pagi yang hening itu, isterinya merasa hairan terhadap bayinya apabila Almarhumah tidak bangun di tengah malam untuk menyusu. Setelah bangun daripada tidur didapati bayinya sudah sejuk dan biru. Apabila diperiksa bayinya sudah tidak bernyawa lagi dengan kesan darah di bahagian hidung bayinya. Bayinya dikejarkan ke hospital dan doktor mengesahkan bayinya telah meninggal disebabkan penyakit “ Sudden Infant Death Syndrome”. Tiada posmotem yang dilaksanakan keatas Nur Amaani. Setelah selesai urusan di hospital arwah terus dimandikan oleh ibunya sendiri dan jenazahnya telah disolat di Masjid At-taqwa, Damansara setelah solat zuhur. Justeru itu, proses pengebumian segera dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kinrara.

Terlihat kesedihan di wajah setiap ahli keluarga yang hadir. Turut hadir juga teman seperjuangan dari Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan PEMBINA untuk memberikan sokongan moral kepada saudari Aisyah Md Ali. Pada saat kematian puteri bongsunya itu, Saudara Norzafry Norhalim sedang berada di luar negara atas urusan kerja. Kehadiran sahabat-sahabat sedikit sebanyak memberi sedikit kekuatan kepada saudari Aisyah untuk tabah dan redha menerima ujian ini. Sesungguhnya Allah SWT beserta orang-orang yang sabar.

‘’Ya Allah! Jadikanlah kematian anak ini sebagai pahala pendahulu dan simpanan bagi kedua orang tuanya dan pemberi syafaat yang dikabulkan doanya. Ya Allah! Dengan musibah ini, beratkanlah timbangan perbuatan mereka dan berilah pahala yang agung. Kumpulkan anak ini dengan orang-orang yang saleh dan jadikanlah dia dipelihara oleh Nabi Ibrahim. Peliharalah dia dengan rahmatMu dari siksaan Neraka Jahim. Berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (di Syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia). Ya Allah, ampunilah pendahulu-pendahulu kami, anak-anak kami, dan orang-orang yang mendahului kami dalam keimanan.’’  Amin ya Rabbal Alamin….

Innalillahi wainnalillah roji`un….Al-Fatihah buat roh adik Nur Amaani Bin Norzafry.

Cukuplah kematian sebagai peringatan bagi kita yang masih hidup ini. Kematian tidak mengira usia dan kematian itu adalah suatu kepastian yang akan dilalui oleh setiap jiwa yang merasai kehidupan ini dan masanya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Semoga kedatangan ajal kita suatu masa nanti adalah sewaktu kita sedang berjihad dan dikurniakan Syahid di jalanNYA. Amin.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top