Ucapan Dasar Presiden Sempena MATK-6

Ucapan Dasar Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke – 6(2013)

Muqaddimah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.a.w. yang telah kerana dengan izinnya kita dapat menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan PEMBINA setelah 6 tahun PEMBINA berada dalam persada amal belia tanah air.  Terima kasih saya ucapkan keada tetamu jemputan,  Tuan  Haji Yusuf Din, Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, kerana sudi hadir merasmikan MATK kita pada hari ini. Kepada para perwakilan PEMBINA serta pemerhati yang hadir dari seluruh Negara, tahniah saya ucapkan di atas komitmen yang telah anda berikan terutamanya dalam menggerakkan aktivisma PEMBINA sepanjang tahun 2012. Saya yakin dan percaya bahawa kewujudan kita dalam kancah persatuan belia di Malaysia telah memberikan satu impak dan kesan positif terutamanya dalam mewujudkan satu arus dalam meneraju amal mahasiswa. PEMBINA memandang serius kenyataan yang dibuat oleh  Kementerian Belia dan Sukan apabila mengumumkan statistik bahawa 80% persatuan belia tidak aktif.

Tahun Baru Yang Mencabar

Situasi ini perlu dilihat dengan lebit mendalam. Penyakit yang berada  dalam sebahagian masyarakat berpunca daripada jatidiri mereka sendiri. Sekiranya mereka mempunyai jatidiri yang kuat dan kefahaman agama yang jitu maka segala anasir luar tidak mudah meresap dan dipengaruhi. Kerana itu PEMBINA tampil di tengah kemelut masyarakat yang sedang tercari-cari kemana arah tujuan sebenar dalam kehidupan ini sekaligus menentang anasir-anasir negatif yang cuba menyerang masyrakat kita.

Kelemahan jatidiri ini menyebabkan kita mudah dipengaruhi luar terutamanya element negatif yang memang sengaja dicipta oleh musuh Islam untuk menghancurkan ummatnya. Selain daripada terpengaruh budaya hedonism acuan barat dan korea, kita juga telah diserang dengan serangan pemikiran yang bakal menyebabkan kegoyahan pada aqidah dan kesatuan ummat Islam. Lebih membimbangkan lagi ialah serangan ini berupa dalam bentuk yang cantik dan indah seolah-olah selari dengan tuntutan Islam walhal ia adalah racun berbentuk madu.

Pertembungan Ideologi

Pada setiap kurun pasti berlakunya pertembungan-pertembungan di antara ideologi kerana setiap ideologi  pasti ingin memenangkan dan menyebar luaskan ideologi mereka. Sebagai umat Islam kita perlu peka dengan isu ini kerana sudah semestinya ada ideologi yang akan cuba menghapuskan ideologi pemikiran Islam.

Ini ditegaskan sendiri di dalam Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120:

“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup mereka.”

Jelas sekali bahawa sekiranya Islam adalah agama yang kita anuti maka kita akan menghadapi  kedua-dua  kelompok musuh yang sentiasa tanpa henti dan lelah memastikan kita terus terpesong daripada agama kita. Kerana itu jika kita lihat hari ini adalah pertembungan antara Haq dan Batil dan kita seharusnya jelas siapa musuh dan lawan kita. Musuh kita  bukan sesama Islam yang mempunyai kefahaman Islam yang sebenar tetapi musuh kita adalah kuffar laknatullah yang sering cuba untuk melemahkan jatidiri pegangan agama dikalangan ummat Islam.

Musuh Islam tidak akan selamanya berpegang pada satu corak untuk menyerang ummat Islam. Mereka akan cuba sedaya upaya dari pelbagai sudut dan kreatif dalam mengubah corak dan bentuk serangan supaya ummat Islam mudah terpedaya dengan serangan mereka. Bermula dari serangan fizikal (peperangan) kepada serangan moral dan akhlaq (hedonisma) sehinggalah yang paling merbahaya sekali serangan pemikiran atau ideologi (isma). Namun yang paling mencabar ialah peperangan pemikiran atau ghazwatul fikri kerana coraknya menyusup secara licik dan kesannya amat mendalam sehingga boleh menjejaskan aqidah kita. Dulunya kita rancak menyerang fahaman sekularisma dan hedonimsa namun hari ini kita  seolah-olah  dibuai mimpi indah tatkala fahaman liberalism menyusup masuk ke dalam kotak pemikiran kita.

Liberalisma Suatu Ancaman

Liberalisma ialah satu lagi bentuk  serangan pemikiran disamping sekularism dan hedonism yang menyesatkan aqidah ummat Islam secara senyap dan terselindung. Malangnya  hadirin  sekalian, tidak ramai yang mampu melihat ia sebagai cabaran bahkan terdapat pergerakan  mahasiswa  Islam menyatakan bahawa  liberalism bukanlah ancaman besar kepada ummat Islam. Maka tidak peliklah sekiranya ideologi pemikiran liberalism turut menyusup masuk ke dalam saf gerakan-gerakan harakah Islam. Ini telah dibuktikan lagi apabila Dr Farouk Musa, tokoh liberal di Malaysia  menyatakan  bahawa hanya ISMA dan PEMBINA sahaja yang melawan arus liberalism di Malaysia dalam salah satu forumnya di USIM.

Malangnya lagi fahaman liberalism ini turut menyerang mahasiswa secara terancang dan berterusan.  Sehingga ke hari ini kita masih belum memahami kenapa Irsyad Manji di bawa masuk ke Malaysia dan memilih UIAM sebagai medan untuk menyebarkan ‘fikrahnya’. Apabila tidak Berjaya dia memilih sebuah lagi universiti swasta tempatan untuk melancarkan buku  yang  baru diterjemahkan ke bahasa Malaysia iaitu  ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’. Begitu juga dengan Islamic Renaissance Front (IRF) yang telah mendapat platform percuma untuk menyebarkan dakyah liberalisasi mereka di Institut Pengajian Tinggi tanpa sebarang bantahan. Ini bermakna ‘tarbiyyah’  mereka sudah mula menampakkan hasil dan bertapak dikalangan mahasiswa. Kerana itu, kejahilan adalah ancaman terbesar buat ummat Islam khususnya mahasiswa.

Malangnya ancaman dan bahaya liberalism dibiarkan bebas merebak ke dalam masyarakat kita tanpa sebarang usaha untuk mengcegah dan menghalangnya. Lebih malang lagi beberapa gerakan islamis turut terpalit dan dipengaruhi oleh gerakn liberalisme ini. Ini cukup menyedihkan kerana gerakan islamis yang kita harapkan untuk memperjuangkan Islam akhirnya hilang kerana berjaya dipermainkan oleh golongan liberalis ini.

Atas rasa penuh kesedaran dan kepertanggungjawaban, PEMBINA tampil untuk menyedarkan masyarakat belia dan mahasiswa terhadap ancaman dan bahaya liberalism ini. Kita terus komited dengan penganjuran Jelajah Arus Siswa (JELAS) dan kajian-kajian yang membongkarkan perancangan liberalism termasuk badan-badan luar yang melaburkan dana yang cukup besar bagi memastikan agenda liberalism ini subur dan terus mengaburi mata ummat  Islam di Malaysia.

Usaha kita ini terbukti apabila Dr Farouk Musa menyebutkan dua badan yang menentang aliran yang dibawa oleh beliau iaitu PEMBINA dan ISMA.

Kelompongan Yang Ditinggalkan

Tatkala pelbagai serangan terhadap ummat Islam terutamanya  mahasiswa berterusan, kita lihat wujudnya satu kelompongan yang ditinggalkan oleh gerakan Islam. Kelompongan yang saya maksudkan ialah memperjuangkan kefahaman Islam melalui pembangunan jatidiri dan melawan serangan ideologi pemikiran luar. Perkara ini seharusnya menjadi fokus gerakan Islam di Malaysia dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang bertamadun.

Sudah sekian lama masyarakat melayu muslim terbelenggu dengan pelbagai masalah baik masalah sosial, ekonomi dan politik. Bencana sosial seperti buang anak, zina, rempit dan dadah seperti tiada penyelesaian dan penghujung. Di sudut ekonomi pula masyarakat Melayu Muslim masih terus berada dalam kelompok majoriti sebagai berpendapatan sederhana manakala bangsa cina terus menguasai ekonomi di Malaysia. Mentaliti ‘cukup makan sudah’ menyebabkan kebanyakan orang melayu kita  bekerja sekadar melepaskan beban hidup dan bukan untuk mempertingkatkan ekonomi Islam. Di sudut politik pula, melayu Muslim hilang kuasa wewenang dalam menentukan halatuju politik islam.

Krisis ini berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri yang sudah hilang rasa malu, tiada agenda hidup yang jelas, kurang daya saing dan berpecah belah kerana terlalu fanatik dalam politik kepartian. Lihat sahaja dalam isu kalimah Allah Kesemua masalah akan berterusan sekiranya usaha amar makruf dalam konteks pembinaan jatidiri melayu muslim itu dilaksanakan sebaiknya.

Fenomena ini terpalit juga pada golongan mahasiswa di mana agenda pembangunan jatidiri mahasiswa Islam itu tidak berlaku dengan baik. Gerakan mahasiswa Islam yang dahulunya fokus dalam mentarbiyyah masyrakat kampus dengan pelbagai aktiviti islami kini mula hilang arah apabila terpengaruh dengan politik kepartian dan agenda pihak lain. Agenda pihak lain yang saya maksudkan di sini ialah golongan sosialis dan liberalis yang ingin mempergunakan mahasiswa sebagaimana mereka telah laksanakan pada era 70an. Saya tidak ingin menjelaskan dengan lebih panjang bagaimana pengaruh ini boleh menguasai mahasiswa tapi yang ingin disampaikan ialah wujudnya satu lompong yang besar dikalangan mahasiswa dalam memahami dan memperjuangkan agenda Islam yang sebenar.

Oleh kerana itu PEMBINA tampil di tengah-tengah kemelut belia yang memerlukan bimbingan dan tunjuk arah yang sebenar dalam membina sebuah hidup  yang beragenda berdasarkan kefahaman Islam yang sebenar.  Hanya dengan kembalikan kepada Islam  sahaja  akan menyelesaikan kemelut dan masalah yang telah saya sebutkan sebentar tadi. Belia dahagakan pemimpin yang mampu membimbing mereka ke arah hidup yang lebih beragenda dan kefahaman Islam yang sebenar. Kerana itu PEMBINA tampil mengisi kekosongan yang ditinggalkan dengan program yang mampu membina jatidiri termasuklah tarbiyyah insan yang berterusan. Oleh itu PEMBINA cawangan tidak boleh melihat program yang kita laksanakan sekadar memenuhi  kalendar ataupun semata-mata mengumpulkan keahlian sahaja. PEMBINA perlu memastikan bahawa setiap program yang kita laksanakan mampu memberi nilai tambah dalam diri mahasiswa dari sudut pembangunan jatidiri melayu Muslim.

Merealisasikan Peneraju Arus Mahasiswa

Setelah menyedari realiti yang berlaku pada hari ini, PEMBINA tiada pilihan lain selain dariapda meneraju arus mahasiswa. Sekiranya posisi ini tidak diambil, maka seolah-olahnya kita meredhakan kelompongan tersebut  diisi oleh agenda selain Islam. Oleh kerana itu saya menggariskan beberapa asas dalam meralisasikan agenda ‘Meneraju Arus Mahasiswa’:

1. Agenda yang jelas

Sesebuah organisasi yang progressif perlu mempunyai agenda yang jelas dan agenda ini difahami dan dihayati selumat-lumatnya oleh setiap pimpinan PEMBINA di semua peringkat. Agenda ini akan menjadi asas dalam perancangan dan tindakan kita supaya kita apa jua yang kita laksanakan tak akan tersasar daripada agenda. Kita tidak mahu PEMBINA menjadi seperti lalang yang terpengaruh dengan agenda orang lain kerana tidak berpasak pada agenda yang jelas.

3 agenda utama PEMBINA ialah:

1.  Islam adalah penyelesaian

PEMBINA melihat bahawa setiap permasalahan yang berlaku pada hari ini baik dari aspek sosial, politik mahupun ekonomi perlu kembali kepada Islam sebagai penyelesaian. Contoh yang paling mudah kita ambil di sini ialah masalah gejala sosial yang dilihat semakin rumit seolah tiada jalan  penyelesaiannya. Gejala sosial berpunca daripada ketiadaan halatuju dan agenda yang jelas sehingga belia hilang keupayaan untuk mengatur dan mengimbangkan tuntutan naluri samada yang berkait dengan isu seksual mahupun hiburan dll. Kesedaran Islam mampu membentuk belia yang mempunyai agenda yang jelas dan menghindarkannya daripada gejala negatif di atas. Islam meninggikan nilai manusia dengan mengatur di antara kehendak nafsu dan kemuliaan manusia. Mengikut nafsu semata-semata menjadikan kita seperti binatang manakala meninggalkan terus menafikan naluri semulajadi manusia.

a.  LGBT  merupakan satu fenomena manusia tidak menjumpai aturan yang betul bagi naluri manusia.

b.  Fenomena buang bayi adalah bencana yang terhasil daripada kegagalan muda-mudi untuk mengatur kehendak nafsu mereka.

c.  Dari sudut hiburan pula, Islam tidak melarang muslim untuk berhibur tetapi terdapat garis panduan ataupun batas-batas yang perlu diikuti. Budaya hiburan melampau yang mencairkan jatidiri melayu Muslim adalah seperti acara ritual sesat, pergaulan bebas lelaki perempuan, melalaikan daripada tanggungjawab seorang Muslim.

2.  Membina jatidiri belia

Pelbagai masalah yang berlaku pada hari termasuklah masalah sosial, kelemahan ekonomi dan perebutan kuasa politik adalah berpunca daripada keruntuhan jatidiri pada individu melayu Muslim terutamanya para belia. Jatidiri yang saya maksudkan di sini ialah mempunyai agenda hidup yang jelas dan mengamalkan prinsip kefahaman Islam yang sebenar.

Agenda hidup sebagai seorang Muslim memang jelas di gariskan di dalam Al-Quran dan sunnah. Agenda hidup ini kita boleh famahi daripada tujuan penciptaan manusia iaitu menjadikan keseluruhan hidup ini sebagai hamba Allah yang taat dan patuh seperti yang disebutkan dalam Surah Az-Zariyah ayat 56:

Maksudnya:“Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada Ku”.

Bahkan sekiranya difahami dalam konteks yang lebih besar lagi, bahawa tujuan Allah menciptakan manusia bersama tanggungjawab atau tugasan sebagai ‘Khalifah’ di atas muka bumi seperti yang disebut dalam Al-Quran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah.” (Al-Baqarah:30)

Jadi sekiranya kita memahami tanggungjawab besar kita untuk memimpin ala mini maka itu sudah cukup jelas untuk menjadikan ia sebagai agenda hidup kita. Agenda hidup ini akan berterusan sehinggalah Islam menjadi cara hidup dan hokum yang paling tinggi sehingga tiada lagi fitnah ke atas agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t:

“Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan ketundukan seluruhnya hanya kepada Allah. ” [Al-Baqarah: 193]

Oleh itu, kembali kepada hukum Islam dan kefahaman Islam yang sebenar menjadi asas kepada pembangunan jatidiri sesebuah masyarakat. Umat yang takut kepada azab dan neraka allah pasti tidak akan terjebak dengan pelbagai gejala sosial. Ummat yang menjauhi riba dan bersungguh-sunnguh dalam pekerjaannya pasti akan menyelesaikan isu ekonomi. Ummat yang meletakkan Islam sebagai tunggak penguasaan dan mengelakkan perpecahan sesame Islam pasti akan menyelesaikan isu politik.

Namun cabarannya ialah bagaimana kita ingin mendidik masyarakat khususnya mahasiswa untuk memahami peranan besar yang perlu mereka mainkan sekaligus membentuk jatidiri dan menanamkan agenda besar dalam diri mereka. Ini amat penting kerana kebanyakan manusia hanya tersekat dengan agenda kehidupan dunia sahaja tetapi agenda di akhirat muktamad yang membentuk agenda kita di dunia.

3.  Menangkis serangan liberalisme dan sosialisme

Saya  merasakan bahawa perkara ini cukup jelas dalam agenda perjuangan kita. Pakej pembangunan jatidiri termasuklah kefahaman Islam yang sebenar dan menolak segala ideologi yang bertentangan dengan Islam. Ini amat kritikal terutamanya dalam situasi ummat Islam berhadapan dengan pelbagai ancaman ideologi luar yang hebat meracuni pemikiran Islam. Pertembungan ideologi melihatkan salah satu ideologi memenangi ideologi yang lain dan PEMBINA akan memastikan ideologi Islam mengatasi yang lainnya.

Ancaman ini cukup jelas dan merbahaya terutamanya bilamana ia boleh diserap masuk kedalam pemikiran umat Islam itu sendiri tanpa disedari. PEMBINA terus komited menentang agenda ini dengan penubuhan Unit

Kajian dan Informasi dan penganjuran Jelajah Arus Siswa (JELAS).

2. Imej yang baik

Imej sebagai sebuah persatuan belia Islamyang mementingkan aspek pembangunan jatidiri berasaskan akhlak Islamiyah, pegangan aqidah yang murni, penghayatan ibadah yang sahih, hubungan ukhuwah Islamiyah sesama umat Islamdan hubungan ukhuwah insaniyah sesama manusia, haruslah sentiasa dihayati dan ditampilkan di dalam kehidupan serta aktivisme. PEMBINA harus tampil mesra dan diterima oleh masyarakat tanpa kita menggadaikan prinsip dan pegangan kita.

3. Keahlian yang luas

Keahlian yang kuat dan luas menjadi indikator kepada kekuatan dalaman, agenda yang diterima, kehadiran yang dirasai melalui khidmat sosial dan peranan positif di dalam membangun masyarakat. Sumbangan yang PEMBINA sampaikan kepada masyarakat sama ada di dalam mahupun di luar kampus  harus disampaikan kepada umum dengan tujuan menggarap lebih ramai belia untuk menyumbang tenaga, masa dan idea secara positif di dalam masyarakat. Keahlian yang meluas dapat membantu PEMBINA berperanan dengan lebih berkesan mengikut kepelbagaian kepakaran  dan bidang penguasaan yang wujud di kalangan ahli-ahli.

4. Kewujudan tokoh

PEMBINA optimis untuk menggilap seramai mungkin tokoh-tokoh belia, beliawanis, mahasiswa dan mahasiswi dari kalangan ahli-ahli PEMBINA keranakita yakin bahawa badai yang bakal menerjah masyarakat dan mengancam agama, bangsa mahupun negara di masa hadapan, memerlukan tokoh-tokoh Islamyang kompeten, berdaya saing dan mampu memimpin. Tokoh-tokoh ini tidak lahir dengan serta-merta, bahkan perlu dipersiapkan dari awal lagi. Keupayaan melahirkan dan menggarap tokoh-tokoh juga menjadi indikator bahawa idea dan peranan PEMBINA sangat relevan kepada semua.

5. Penggerak yang proaktif

Semua penggerak PEMBINA perlu mempunyai pemikiran yang proaktif di dalam memainkan peranan masing-masing walau di mana mereka berada. Aspirasi memimpin arus generasi muda menuntut penggerak-penggerak untuk tidak duduk diam berpeluk tubuh. Tuntutan tanggungjawab hari ini sangat banyak untuk ditanggung berbanding masa yang kita miliki.

Oleh kerana itu penggerak PEMBINA tidak seharusnya mengambil masa untuk bersantai dan bersuka ria tatkala cabaran yang datang itu tampak lebih besar dan mencabar. Seharusnya kita mempersiapkan diri kita dari pelbagai sudut baik dari segi ilmu, kemahiran-kemahiran, pengalaman dan ketahanan diri.

Pembina Bukan Persatuan Eksklusif

Ahli-ahli PEMBINA perlu merubah cara fikir daripada exclusive kepada inclusive. Pasti ramai yang tidak begitu selesa dengan kenyataan ini namun itulah hakikat penubuhan PEMBINA. PEMBINA bukan hanya untuk ikhwah  akhawat semata-mata tetapi terbuka untuk seluruh mahasiswa yang cintakan Islam. Saya tidak nafikan bahawan PEMBINA adalah platform terbaik buat ikhwah dan akhawat mengasah bakat, membina kemahiran memimpin dan beramal tapi kita juga harus sedar bahawa di sana terdapat mereka yang juga mahu bersama-sama kita dalam memartabatkan agenda Islam.

Oleh kerana itu PEMBINA adalah persatuan yang terbuka keahliannya kepada semua belia yang berminat untuk bersama-sama dengan selagi mana ia memenuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam perlembagaan iaitu warganegara Malaysia dan Muslim. Ini adalah selari dengan usul yang telah dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan yang lepas bilamana kita telah mewujudkan keahlian biasa. Kita inginkan lebih ramai lagi belia yang mengenaliPEMBINA menyertai PEMBINA

Pencapaian 2012

Bagi membuktikan  bahawa  PEMBINA tidak termasuk dalam 80% persatuan belia yang tidak aktif, izinkan saya membentangkan pencapaian PEMBINA sepanjang tahun 2012. Selain daripada GPMS, PEMBINA merupakan satu-satunya persatuan yang berjaya untuk berdaftar secara rasmi dengan pihak universiti. Setakat ini sebanyak 14 universiti yang telah menerima baik kehadiran PEMBINA dan ini memberikan satu batu loncatan dan motivasi untuk PEMBINA terus bertapak di university-universiti lain. Ini juga membuktikan bahawa imej PEMBINA yang neutral, telus dan non partisan sudah mula diterima oleh pelbagai pihak. Agenda pengukuhan organisasi di IPT akan diteruskan pada tahun 2013.

Kewujudan PEMBINA secara rasmi telah menyumbang  kepada jumlah keahlian yang memberansangkan. Setakat Disember 2012, Jabatan Setiausaha PEMBINA Pusat terus mengemaskini keahlian yang telah menjangkau 5,200 ahli. Pencapaian ini adalah cukup membanggakan kerana angka ini adalah hasil peningkatan sebanyak 510% daripada tahun 2011. Saya menjangkakakan sekiranya setiap PEMBINA cawangan mampu mengekalkan momentum ini, saya yakin angka 33,888 tidak mustahil untuk dicapai.Program Dialog Student Power yang pertama kalinya dianjurkan oleh

PEMBINA telah mewujudkan satu kesepakatan diantara gerakan mahasiswa Islamis. Dialog yang telah menampilkan wakil daripada GPMS, PKPIM, GAMIS dan PEMBINA itu telah bersetuju bahawa kekuatan gerakan mahasiswa bukannya bergantung pada demonstrasi semata-mata bahkan kekuatan suara mahasiswa perlu kepada kekuatan akademik dan asas kefahaman Islam yang sebenar. Kesepakatan sebegini seharusnya diteruskan terutamnya dalam membentuk satu pandangan bersama dikalangan mahasiswa Islam.

Satu peristiwa yang menarik pada tahun 2012 ialah penganjuran Himpunan Mahasiswa (HIMMAH 12) yang julung kalinya dianjurkan oleh PEMBINA dalam menghimpunkan ahli seramai 400 orang dari seluruh Malaysia. Ini menjadi titik bersejarah apabila ia menjadi medan unit Kajian dan Informasi PEMBINA membentangkan hasil  kajian berkenaan pandangan kritis terhadap Sejarah Gerakan Mahasiswa serta membongkarkan agenda liberalism di kalangan mahasiswa. Dua lagi kertas kerja yang dibentangkan memberi fokus kepada panduan gerak kerja mahasiswa dan 7 ciri mahasiswa pemangkin Negara. HIMMAH dihangatkan lagi dengan kehadiran Syeikh Raed Solah yang didatangkan khas bagi meningkatkan semangat juang dan motivasi ahli PEMBINA. Beliau juga telah meninggalkan wasiat istimewa bagi panduan ahli PEMBINA untuk terus beramal di tempat masing-masing.

Penganjuran HIMMAH  telah menghasilkan satu lagi resolusi yang menjadi sejarah buat PEMBINA iaitu penganjuran Jelajah Arus Siswa (JELAS). JELAS merupakan siri jelajah ke IPT-IPT seluruh Malaysia yang membincangkan tajuk-tajuk yang telah dikupas semasa HIMMAH. Tujuan penganjuran JELAS ialah supaya mahasiswa jelas mengenai tanggungjawab yang perlu mereka mainkan  terutamanya dalam berhadapan dengan arus liberaslisasi yang semakin mencabar. Ternyata setelah beberapa siri dijalankan termasuk di UM, UNITEN dan UTM, mahasiswa mula sedar akan ancaman yang mereka hadapi akibat serangan pemikiran liberalism.

Selain JELAS, Dialog Arus Siswa (DERAS) juga merupakan satu produk PEMBINA dalam mengarus perdanakan isu berkaitan dengan mahasiswa. Setakat ini sudah 4  siri rakaman yang sudah dimuat naik ke laman youtube dan laman sesawang PEMBINA. Ini merupakan platform terbaik bagi ahli PEMBINA dan mahasiswa-mahasiswa lain untuk berbincang dan mengutarakan pendapat terhadap isu semasa selari dengan hasrat PEMBINA untuk  melahirkan mahasiswa yang cakna isu semasa.

Golongan Beliawanis tidak ketinggalan dalam usaha mengukuhkan jatidiri muslimah dalam menghadapi cabaran arus liberalisme di era globaliasi ini. Festival Beliawanis Nasionalyang telah diadakan 19 Januaribaru-baru ini bertempat di Universiti IslamAntarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, dengan tema “Bina Jati Diri,Beri Inspirasi”telah menghimpunkan kira-kira 2,000 orang mahasiswi dan beliawanis dari seluruh Malaysia. Beliawanis dan mahasiswi diingatkan Berkenaan kepentingan dan peranan mereka dalam menjadi tulang belakang pembangunan negara dan aspirasi membendung gejala-gejala sosial akibat arus liberalism yang menerjah. Golongan wanita mempunyai peranan sosial yang penting dalam membina generasi yang jauh dari ancaman-ancaman budaya pada hari ini.

Akhir sekali ialah penampilan PEMBINA dalam media-media arus perdana. Alhamdulillah pada tahun ini buat pertama kalinya PEMBINA telah dijemput sebagai salah seorang panel dalam rancangan Generation Y di RTM TV1 membincangkan tajuk “Utusan Terakhir” sempena Maulidur Rasul. Disamping itu, portal TV internet MOB TV juga telah menjemput PEMBINA sebanyak 4 kali dalam mengupas isu berkenaan belia dan Negara. PEMBINA juga telah diberi ruang untuk mempromosikan Festival Hari Beliawanis dalam rancangan Assalamualaikum TV Al-Hijrah dan program Revolusi Mesir: Agenda Liberal VS Agenda Islam di slot warna pagi IKIM. Akhbar harian juga seringkali memuatkan kupasan dan komen daripada PEMBINA terhadap isu-isu semasa. Ini sekali lagi menunjukkan imej PEMBINA yang neutral dan diterima oleh masyarakat.

PRU 13 : Cabaran Dan Harapan

Tahun ini bakal melihatkan satu lagi peristiwa besar dalam sejarah Malaysia iaitu Pilihanraya Umum ke 13. PEMBINA sebagai sebuah badan NGO belia yang bersifat non partisan tidak akan terlibat secara langsung dalam mana-mana parti politik yang bertanding. Namun begitu ia tidak menghalang PEMBINA daripada mengikuti perkembangan politik dan memberi respon jika dirasakan perlu. Ini memberikan satu kelebihan kepada PEMBINA selaku NGO non partisan yang bebas untuk menyokong dan mengkritik mana-mana parti tanpa perlu terikat pada sesebuah parti tertentu. Ini penting bagi menjamin matlamat dan agenda perjuangan memartabatkan agama Islam itu terjaga dan tidak cenderung hanya kepada sebuah parti sahaja.

Dalam masa yang sama PEMBINA tidak menghalang mana-mana aktivis dan ahli PEMBINA untuk terlibat secara aktif dalam politik termasuk berkempen dan menjadi ahli mana-mana parti politik. Ini selaras dengan salah satu objektif PEMBINA supaya belia cakna isu Negara dan isu semasa termasuklah politik. Belia yang menjauhi politik serta tidak mengikuti perkembangan semasa boleh dikategorikan sebagai belia yang lesu dan tidak ambil tahu perkembangan Negara.

PEMBINA melihat bahawa PRU kali ini  adalah penentu kepada survival Melayu dan Islam untuk mempunyai kuasa dalam menentukan halatuju mereka di Malaysia. Fakta dan sejarah telah membuktikan bahawa masyarakat non muslim di Malaysia boleh bersatu dalam perkara yang boleh menguntungkan bangsa mereka tanpa mengira parti asalkan menguntungkan mereka. Beberapa isu yang boleh kita lihat persepakatan mereka untuk membentuk kuasa pendesak ke atas orang Islam antara lainnya ialah kalimah Allah, Negara Islam, perlaksanaan Hudud, pengasingan berlainan jantina di saloon dan banyak lagi. Itu belum sentuh soal pendidikan dan ekonomi mereka. Pendek kata apa-apa isu yang menguntungkan non muslim mereka sepakat dan ketepikan perbezaan politik.

Namun hal ini tidak berlaku dikalangan melayu Muslim di Malaysia. Kita masih kekal dengan ‘trend’ lama dengan iaitu biarpun sesuatu perkara itu menguntungkan bangsa Melayu Muslim, kita rela berbeza pendapat kerana wujudnya perbezaan politik. Maka wujudlah istilah yang direka seperti ‘racism’ dan ‘asobiyyah’ sedangkan ungkapan istilah tersebut jauh daripada kebenaran.

Melihat kepada senario politik semasa, tidak dapat tidak, belia perlu memainkan peranan mereka dengan lebih proaktif dengan mengikuti perkembangan politik semasa, terlibat sebagai pemerhati dan pemantau bahkan terlibat dengan kempen kepada parti yang mereka rasakan mampu memberikan kebaikan kepada agama, bangsa dan Negara. Ini bertepatan dengan saranan

PEMBINA supaya belia cakna terhadap isu semasa lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan survival agama dan pembangunan Negara di masa hadapan. Pindaan terhadap AUKU fasal 15  juga memberikan satu isyarat bahawa mahasiswa diberikan ruang untuk terlibat dalam PRU sesuai dengan kematangan mereka untuk menilai dan menentukan wakil yang akan memperjuangkan hak mereka.PEMBINA juga menyeru semua belia yang layak mengundi supaya turun mengundi pada hari pilihanraya kerana ia merupakan hak dan tanggungjawab yang dipersoalkan oleh Allah s.w.t. di akhirat kelak. Setiap undi para belia hari ini amat penting untuk menentukan corak pemerintahan Negara pada masa hadapan. Undi golongan belia juga boleh menjadi undi penentu semasa pilihanraya kerana ia merupakan undi baru yang mudah berubah dan tidak boleh dijangka.

Perancangan 2013

PEMBINA telah meletakkan beberapa sasaran utama untuk dicapai pada tahun 2013. Berdasarkan gerak kerja yang terfokus dan kesungguhan penggerak PEMBINA di semua cawangan, saya yakin bahawa kita mampu mencapai angka keahlian  seramai 33,888 di seluruh Malaysia.  Angka yang seolah-olah sukar untuk dicapai tetapi tidak mustahil sekiranya kita benar-benar berusaha dan meletakkan ia sebagai sasaran utama. Angka merupakan satu indikatort yang cukup penting bagi menjustifikasikan kewujudan kita dalam arus mahasiswa. Soalan pertama yang akan diajukan kepada kita ialah berapa ahli PEMBINA? Ia adalah bukti kekuatan kita di medan dan diterima oleh belia. Kalau sekadar angka kita hanya ribuan sahaja maka ia tidak cukup untuk suara kita didengari oleh pihak lain. Kita mensasarkan puluhan ribu supaya masyarakat mendengar kata-kata dan seruan kita. Barulah kita boleh bercakap dengan penuh keyakinan dan masyarakat tidak boleh mempertikaikan kita. Bukannya kita bangga dengan angka-angka kosong tetapi ia menjadi indikator bahawa seruan kita sampai kepada masyarakat belia dan mahasiswa. Saya meminta setiap cawangan supaya terus fokus untuk mencapai angka ini. Jadikan ia sebagai agenda utama dalam setiap mesyuarat. Rangka gerak kerja untuk mencapai angka ini secara terperinci perlu dirancang dan dilaksanakan dengan berkesan. Kita perlu lebih proaktif, agressif dan kreatif dalam mendapatkan keahlian serta berusaha untuk mencari lubuk-lubuk baru sekiranya lubuk lama sukar menjana keahlian. Saya yakin setiap cawangan mampu melakukannya.

Keduanya pengukuhan  Tanzim Mahasiswa  menjadi nadi bagi kita untuk bergerak di IPT-IPT seluruh Malaysia. Menjadi keutamaan kepada setiap cawangan untuk memastikan tanzim mereka kukuh dan mampu meneraju arus di kampus. Setiap ketua cawangan perlu menyelami segala permasalahan yang berlaku dalam tanzim dan berusaha menyelesaikannya. Potensi yang ada pada tanzim perlu digilap dan dibentuk sehingga mereka mampu kehadapan dan bergerak lebih laju dalam membawa aspirasi PEMBINA. Tahun ini kita mensasarkan 14 IPT la gi berdaftar secara rasmi dengan pihak universiti. Saya yakin dengan kewujudan tanzim mahasiswa yang kukuh akan memudahkan lagi perjalanan PEMBINA diperingkat pusat.

Ketiganya adalah penglibatan PEMBINA dalam  Pilihanraya Kampus (PRK). Saya yakin bahawa setelah ISMA isytihar untuk bertanding dalam PRU, ramai yang tertanya-tanya adakah PEMBINA akan turut terlibat dalam PRK? Suka saya nyatakan di sini bahawa permintaan untuk PEMBINA terlibat dalam PRK sudah disuarakan sejak 3 tahun yang lepas. Bahkan ia turut  disuarakan oleh mantan Presiden PEMBINA yang pertama Dr Kamil sewaktu ucapan penangguhan MATK ke3. Oleh yang demikian saya dengin ini mengumukan bahawa PEMBINA akan bertanding dalam PRK yang akan datang di bawah kelolaan Jawatankuasa Poltik Kampus di beberapa IPT yang telah dikenal pasti. Maka ahli PEMBINA disetiap IPT perlu bersiap sedia untuk berhadapan dengan perancangan terbar.

Di peringkat pusat pula saya ingin memastikan pada tahun ini PEMBINA berdaftar secara rasmi dengan  Majlis Belia Malaysia  bagi  memudahkan urusan rasmi PEMBINA dalam merancang gerak kerja dengan persatuan-persatuan lain. Kita juga akan mengekalkan identiti dan imej kita yang neutral, non partisan dengan mewujudkan kesepakatan antara front-front mahasiswa islam dalam memastikan agenda Islam terus diperjuangkan.

Briged BAKTI PEMBINA wadah kesukarelawanan ahli dan belia

Satu aspek penting yang tidak boleh diabaikan ialah kerjasama yang kukuh di antara agensi bagi memupuk sifat aktivisma dan kesukarelawan di kalangan ahli dan mahasiswa. Melihat kepada angka keahlian PEMBINA yang semakin meningkat, kita melihat bahawa ada keperluan untuk memastikan sumber tenaga ini diurus dengan baik.  Dengan itu kita telah merancang untuk memperkemaskan gerak kerja  BAKTI PEMBINA  dengan mewujudkan memorandum persefahaman dengan dua  agensi  utama. Pertama bersama Kelab Remaja Isma (KRIM)  bertujuan  bagi menyediakan tenaga fasilitator kepada adik-adik tingkatan 4 dan 5. Ini akan membuka peluang kepada  ahli  PEMBINA untuk terlibat dengan program-program di sekolah  menengah  dan lepasan SPM. Kedua ialah kerjasama dengan Aman Palestin Berhad sebuah NGO yang terkenal dalam bantuan misi kemanusiaan yang mempunyai ibu pejabat sendiri di Gaza.  Melalui kerjasama ini, ahli  PEMBINA mendapat manfaat daripada siri    latihan  kesukarelawanan  daripada pelatih berpengalaman disamping membantu menyuburkan kesedaran dikalangan mahasiswa berkenaan isu Paleatin.  Suka saya umumkan bahawa lima orang ahli PEMBINA telah pun menyertai misi kemanusiaan ke Gaza bersama Aman Palestin pada bulan Disember yang lalu. Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tahun ini adalah tahun BAKTI untuk PEMBINA di peringkat cawangan.

Semoga ahli-ahli PEMBINA dari kalangan mahasiswa dan belia dapat benar-benar menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan berperanan secara positif ke arah kesejahteraan dan kedamaian negara dan dunia. Diharap, dengan kewujudan Briged BAKTI, lebih ramai mahasiswa dan belia yang ada di luar sana, berminat untuk menyumbang bakti bersama-sama PEMBINA.

Penutup

Akhir sekali  saya menyeru ahli PEMBINA untuk kita bersikap optimis dalam mencapai matlamat dan impian kita. Kenyataan hari ini adalah mimpi semalam. Saya ingin memetik kisah hijrah Rasulullah s.a.w sebagai idola kita yang bersifat optimis dalam menyampaikan dakwah dan Islam. Saat detik kritikal Rasulullah s.a.w dikejar semasa hijrah baginda ke Madinah, saat itu juga Suraqah mengejar baginda. Namun setelah tiga kali kuda Suraqah terjerumus ke dalam pasir, baginda telah menawarkan kepada Suraqah gelang Kisra Parsi. Bayangkan saat baginda dikejar sebagai pelarian, baginda masih lagi optimis untuk menawan salah satu daripada kuasa besar tanah Arab iaitu Parsi.

Oleh kerana sikap optimis baginda Dan para sahabat ini maka tersebarlah Islam ke seluruh pelusuk dunia. Walaupun Parsi tidak berjaya ditawan ketika baginda masih hidup namun janji baginda terbukti ketika khilafah Umar al-Khattab. Suraqah yang ketika itu menyertai angkatan tentera Islam menawan Parsi akhirnya membenarkan janji baginda apabila  memilki  gelang kisra Parsi.  Sikap optimis Baginda dan para sahabat harus kita contohi dalam merealisasikan segala impian kita. Sikap optimis ini sudah tentu datang hasil daripada keimanan yang mendalam dan kesungguhan amal. Sesungguhnya ia turut menjadi aspirasi ISHAB apa mengungkap kata-kata

“Sesunguhnya sesuatu fikrah itu akan berjaya sekiranya kita kuat beriman dengannya”. Oleh itu saya menyeru kepada semua ahli PEMBINA untuk sama-sama kita beriman bersungguh-sungguhnya dengan fikrah  yang ingin kita perjuangkan dalam  PEMBINA.  Kesungguhan ini perlu disertai dengan perancangan yang rapi dan perlaksaan yang efisyen. Sesungguhnya agenda musuh itu direncanakan 24-7 dan dan penuh teliti. Sesungguhnya kebatilan terancang itu pasti akan mengalahkan kebenaran yang tidak dirancang.

Ayuh  kita perkemaskan gerak kerja kita kerana saya melihat bahawa kemampuan untuk kita Meneraju Arus Mahasiswa itu semakin hampir.

Sekian. Terima kasih.

Ibrahim bin Mohd Hasan
Presiden
Persatuan Belia IslamNasional (PEMBINA)
Penggal 2012-2013

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top