Trend Merdeka Terkini

merdekachildrentasekgelugor2208bernama

Sedar atau tidak sudah 58 tahun kita mengecap kemerdekaan. Tapi adakah ia betul-betul bermakna sama seperti 31 Ogos 1957 saat itu? Terkadang kita tidak berkesempatan untuk melalui apa yang dilalui orang lain. Oleh itu, ada sebab kenapa Allah biarkan manusia lalui pahit manis dalam kehidupannya agar mereka mengerti apa itu hikmah disebaliknya kerana ia adalah jalan untuk memastikan sesuatu perkara dapat dikongsi bersama kerana terselit pngajaran yang perlu diambil iktibar.

Ada sebab kenapa sejarah tercalit di helaian kertas, terakam menjadi sebuah drama mahupun filem sebagai wadah untuk menyebarkan dengan meluas sejarah tertubuhnya negara tercinta ini agar tidak luput ditelan zaman dan sampai pada pengetahuan kepada generasi demi generasi akan datang yang pastinya semakin jauh jaraknya dengan tarikh keramat negara tercinta kita iaitu detik-detik yang menjadi saksi sebuah tanah bebas dari cengkaman orang yang sama sekali tidak layak untuk memiliki tanah itu. Tidak lain tidak bukan musuh yang menjadi faktor tercetusnya semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat negara tercinta ini.

Sayangnya, saat kini anak muda negara ini terlalu sedikit yang memahami dan yang mahu ambil tahu apa itu erti kemerdekaan yang dicapai sehingga hari ini. Fakta dan perkara-perkara penting yg menjadi bukti negara tercinta ini membangun gah hingga menjadi tarikan di mata dunia tidak diketahui syumulnya oleh mereka dek kerana ia tidak diperingatkan setiap masa dan tidak dipupuk didalam jiwa setiap rakyat negara tercinta ini.

Apa yang diketahui mereka hanyalah sekadar gerangan Bapa Kemerdekaan, tarikh kemerdekaan, bendera negara harus dikibarkan setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan dan nyanyikan lagu kebangsaan setiap kali ada perhimpunan di sekolah-sekolah dan sebagainya itu sahaja.

Satu persoalan yang bermain di minda kita, apakah jawapan jika ditanyakan anak-anak muda kini kenapa perkara diatas harus dilakukan.

Jawapannya, barangkali kerana disuruh guru, atau supaya dapat memenangi kuiz, tapi tidak terkesan di jiwa mereka tentang pengorbanan nenek moyang mempertahankan tanah air ini,kosong tanpa penghayatan.

Mereka tidak dapat melihat dengan jelas susur jalan kemerdekaan seperti tertubuhnya gerakan dan parti yang bergerak aktif menuntut kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) selepas tamatnya Perang Dunia Ke-2 dengan penyerahan semula Tanah Melayu daripada tentera Jepun kepada tentera British meskipun tercatit di dada buku mahupun di laman-kanan sesawang.

Saat ini cara penyampaian sejarah perlu lebih kreatif dan menarik agar dapat menarik minat malah menyemai rasa cinta di jiwa anak negara tercinta ini yang bersesuaian dengan setiap lapisan umur seperti membuat ‘flashmob’ atau sketsa bagaimana dahulu pejuang-pejuang negara dahulu mempertahankan negara daripada dijajah.

Sejarah juga mencatat dimana kembalinya British ke Tanah Melayu dengan membawa gagasan Malayan Union yang memberikan hak sama rata khususnya dalam isu kerakyatan kepada semua penduduk tanpa mengira keturunan dan kesetiaan mereka terhadap negara telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu.

Ketuanan raja-raja Melayu dan kekuasaannya terhadap agama Islam juga tercabar, maka Melayu memberontak! Adakah saat ini kita akan bersatu berbanding bahu kerana mempertahankan negara tercinta kita seperti dahulu kala? Kalau ya, mungkin saat ini ada di antara kita yang tidak terlibat dengan masalah sosial yang menghancurkan kesucian dan nama baik negara kita.

Lupakah kita dengan jiwa-jiwa yang telah mengorbankan nyawa mereka demi pembebasan tanah air kita? Lupakah kita betapa hebatnya perjuangan Rentap melawan James Brooke yang rakus menawan Sarawak? Tidak ingatkah kita pada Tok Janggut yang bermati matian melawan British sehingga mayatnya digantung terbalik, di arak ke pelusuk kota kerana kebencian British terhadap perjuangannya? Tidak ingatkah kita pada Datuk Maharaja Lela yang tegas melawan Birch tatkala Residen itu mulai merobek dasar-dasar pemerintahan Kesultanan Melayu Islam di bumi Perak? Masih ingatkah kita pada Dato’ Onn Jaafar yang menyemarakkan hasrat Merdeka dalam diri setiap insan di Tanah Melayu pada suatu ketika dulu? Yang tanpa putus berjuang menentang British, yang tegas melawan Malayan Union!

Merekalah pejuang kemerdekaan yang sebenar, tidak gentar dibunuh musuh, teguh mempertahankan hak umat Islam di tanah air tercinta! Namun adakah pengorbanan mereka kita sanjungi dan kita hargai dasawarsa ini?

Hari ini, apabila Hari Kemerdekaan menjelang tiba, hanya konsert hiburan yang menjadi santapan,berkumpul beramai-ramai di dataran hanya untuk menghitung detik-detik 31 Ogos. Ianya sama sekali tidak diisi dengan bual bicara mahupun forum untuk mengupas mengenai kemerdekaan dengan lebih mendalam.

Apa yang lagi menyedihkan apabila maksiat berleluasa diselitkan di balik sambutan tersebut. Bilangan anak luar nikah akibat perbuatan zina dan ‘sampah masyarakat’ terus meningkat dan boleh dikatakan menjadi suatu perkara yang biasa dalam kalangan anak muda.

Itukah yang dikatakan sebuah penghargaan saat ini untuk Hari Kemerdekaan yang dikatakan hari yang paling bermakna buat kita?

Filem mahupun drama yang ditayangkan di televisyen hari ini juga filem yang berlatarkan kisah cinta pada zaman dahulu. Hasilnya, sejarah negara ini tidak dapat ditonjolkan dalam filem tersebut kerana tenggelam dengan kisah cinta, dimana kisah romantik menjadi tunjang filem itu dihasilkan. Tidak dinafikan wujud filem-filem yang mengetengahkan sejarah negara kita sebelum ini tapi agak perlahan untuk menantikan filem berlatarkan sejarah yang baharu berbanding yang sedia ada hari ini malah filem berlatarkan komedi yang bertimbun kerana lebih ringan dan mudah untuk diterima masyarakat umum. Rentetan daripada itu, rakyat negara ini alpa dan tidak mengambil pengajaran dari kisah silam negara ini.

Akhirul kalam, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak sejarah bukan sebagai cabang ilmu akademik untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata akan tetapi agar mereka mengerti betapa pentingnya sejarah untuk diteliti agar kesilapan tidak berulang kembali yang boleh menghacurkan tamadun kita. Siapa lagi yang bakal menerajui wawasan negara kita kalau bukan kita golongan anak muda. Mari kita melakukan anjakan paradigma dan membetulkan mentaliti masyarakat erti sebuah kemerdekaan. Mari kita hayati ayat suci Al- Quran dari surah At-Thaaha ayat 99 yang bermaksud

“Demikianlah kami kisahkan kepadamu (Muhammad) sebagian kisah (umat) yang telah lalu, dan sungguh, telah kami berikan kepadamu suatu peringatan (Al-Qur’an) dari sisi kami.”

Negara tercinta itu ialah negaraku, Malaysia.

Siti Nursabrina Bt Mohamad Johari
Dip Pengajian Islam Bhasa dn Kesusasteraan Arab
Universiti Sultan Zainal Abidin
Penggerak Bakti UniSZA.

1 thought on “Trend Merdeka Terkini”

Leave a Reply to amirul amin Cancel Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top