Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Kebangsaan kali ke-10, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) memperkenalkan tema Membangun Rijal, Menggalas Kepimpinan. Dalam melangkah ke hadapan, PEMBINA telah mengambil pengalaman-pengalaman lalu sebagai pedoman dan belajar daripada mereka yang menjadi generasi awal.
Tema ini menggambarkan impian PEMBINA untuk membangun, mengeluarkan dan mengorek segala potensi yang ada dalam diri belia seterusnya menyediakan diri mereka untuk menjadi aset utama yang menyumbang dalam pembentukan negara serta menjadi barisan hadapan yang memimpin masyarakat dalam segenap aspek kehidupan kelak.
Oleh yang demikian, PEMBINA dengan rangka gerak dan perancangan yang teliti telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi memastikan sosok tubuh belia yang diimpikan sebagai suatu usaha yang realistik.
Dalam ucapan Dasar Presiden, ada disebut tentang perancangan PEMBINA dalam merealisasikan perancangan ini. Antaranya adalah melalui latihan kepimpinan untuk melengkapkan belia dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan. Latihan ini disediakan oleh Jawatankuasa Latihan dan Kepimpinan Pembina. Antara yang telah dan sedang dijalankan adalah dengan melatih seramai 33 orang Jurulatih Pembina atau Jurubina daripada seluruh negara, latihan pengucapan awam melalui bengkel Bicara Da’ie, bengkel komuniskasi dua hala dan banyak lagi.
Selain itu, Pembina juga telah mengumpulkan dan menerbitkan bahan berkaitan dengan soal-jawab berkenaan kepimpinan. Jawatankuasa Pusat juga telah mengambil langkah proaktif untuk melatih diri sendiri, dengan mencari mentor masing-masing, mennggiatkan usaha melatih kemahiran berdebat serta mengalakkan belia mempelajari kemahiran dalam berinteraksi dengan masyarakat melalui pelbagai saluran media mahupun penulisan.
Semua ini adalah antara usaha PEMBINA yang serius untuk menggalas tanggungjawab dalam membentuk generasi belia yang bertanggungjawab dan berkepimpinan.
Membangun Rijal, Menggalas Kepimpinan!
Ditulis oleh,
Nor Syamimi binti Musa
Kolumnis PEMBINA