Ramadhan kini telah berlabuh ke fasa pertengahan; fasa pegampunan dari Allah kepada hamba-hambaNYA yang bersungguh-sungguh memohon keampunan. Alhamdulillah, syukur kita masih lagi diberi kenikmatan dan kesempatan mengecapi nikmat Ramadhan Al-Mubarak.
Bulan Ramadhan, yang biasa kita dengar, satu bulan pengampunan, penuh barakah, bulan di mana syaitan-syaitan dibelenggu, sebenarnya satu bulan latihan untuk kita memperbaharui ketaqwaan kepada Allah. Jika difikirkan, mudah bukan untuk kita beramal dan melipat gandakan amalan di bulan ini? Satu amalan diganjarkan beribu-ribu pahala, syaitan pula tiada untuk menggoda, hanya nafsu menjadi tarungan untuk kita terus bermujahadah beramal. Apakah kita sudah mendalami maksud sebenar-benar bulan ketaqwaan ini?
Saya menjadi sangat sedih apabila membaca akhbar, kisah-kisah pembuangan bayi masih kedengaran di bulan yang mulia ini. Sejak dua tiga minggu lalu, kisah pembuangan bayi kecoh kembali. Mungkin bulan Ogos, September ini sebagai bulan mengawan, kerana sudah ‘berseronok-seronok’ di pesta-pesta konsert menyambut tahun baru awal tahun ? Di mana nilai dan akhlak dalam jiwa belia-beliawanis harapan negara kita? Lebih menyedihkan, ianya berlaku pada bulan Ramadhan. Ini masih belum mengira berapa ramai belia dan beliawanis kita yang benar-benar menghayati bulan Ramadhan ini. Adakah puasa sekadar menahan lapar dan dahaga?
Ayuh belia-beliawanis ku semua. Mari mengecapi keampunan Allah di bulan yang penuh barakah ini! Jangan sia-siakan peluang keemasan yang diberi oleh Allah ini. Masih belum terlambat untuk kita memperbaharui iman dan menambah ketaqwaan kepada-NYA. Jangan biarkan Ramadhan terus berlalu tanpa apa-apa kesan di hati kita