Sepanjang kita merempuh perjalanan di dunia ini sebagai seorang yang beriman dan sebagai seorang manusia yang membawa gelaran ‘pendakwah’, sudah pasti bermacam-macam rintangan dan halangan yang kita hadapi. Ada orang diuji dengan wang, ada orang diuji dengan masa, ada orang diuji dengan pelajaran, da nada juga yang diuji dengan masalah keluarga. Setiap dari kita mendapat ujian dari Allah SWT sesuai dengan kemampuan dan kekuatan kita.
Cabaran ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita atasi, kadangkala kita terasa dihimpit sehingga kita merasakan sempitnya dunia, betapa terbatasnya pergerakan kita. Mungkin juga kita akan terasa penatnya jadual hidup kita, siang dan malam, tanpa kira cuti atau tidak, sentiasa dipertanggungjawabkan dengan pelbagai perkara. Tak dapat dinafikan lagi, disebabkan ujian-ujian yang berat inilah, ada pejuang yang inginkan ‘rehat’ bahkan ada yang ‘gugur’ dari saf-saf perjuangan.
Sebenarnya, kita hanya perlu ubah cara pandang kita terhadap perjalanan hidup kita. Cuba lihat semua itu sebagai satu nikmat yang Allah SWT tidak berikan pada orang lain. Nikmat iman dan Islam, nikmat diberikan kefahaman dan kesedaran mengenai agama Islam, nikmat mampu untuk beribadah, dan nikmat dakwah. Sedarlah wahai Ikhwah dan Akhwat, tidak semua orang dapat peluang untuk beramal dengan Islam dan beramal dalam gerakan Islam.
Berapa ramai anak muda diluar sana yang sibuk dengan perkara-perkara lagha, remeh temeh, dan perkara maksiat. Kita perlu sedar akan perkara ini dan sembahkan rasa syukur kita kepada-Nya sedalam mungkin. Ikhwah dan Akhwat, tiada jalan lain untuk kita buktikan rasa syukur kita melainkan dengan kita amalkan setiap suruhan-Nya dan tinggalkan semua yang dilarang oleh-Nya.
Sudah menjadi tanggungjawab kita juga untuk sampaikan kebaikan ini pada orang-orang di sekeliling kita. Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, mari sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dan berusaha semampu mungkin dalam mengerjakan amal dakwah.
Oleh:
Ahmad Muslihuddin Rozlan