“Buat baik berpada-pada, tabiat buruk dijauhkan, akhlak baik semua suka, sampai mati dalam ingatan.”

Aku perlahankan radio sedikit. Nasyid 90-an dendangan Rabbani itu semakin tidak kedengaran. Tetapi, bait terakhir sebelum aku perlahankan itu benar-benar membuatkan aku terfikir panjang.

Aku terfikir. Hebat betul orang Melayu diajar tentang kesopanan sehinggakan dalam lagu pun masih dipesan kata pepatah itu.

Melayu? Hm. Apabila aku berfikir lama. Aku rasa bersyukur dilahirkan sebagai seorang Islam di Tanah Melayu ataupun sekarangnya, Malaysia. Yalah, agama Islam dijaga dalam perlembagaan Malaysia. Siap jadi agama persekutuan. Tiada siapa halang aku untuk beribadah, berdakwah dan amalkan kehidupan Islam aku.

Bebas. Ya! Itulah yang aku rasa. Nikmatnya duduk di Malaysia. Cuba kita fikir saudara-saudara Islam kita di negara lain.

Kita pergi paling jauh dulu. Palestin. Di sana, adanya kiblat pertama umat Islam. Kalau ikutkan, kita layak bebas lakukan apa sahaja. Yalah, itu kan tanah milik kita. Tapi, apa yang jadi?

Umat Islam di sana ditindas. Nak masuk masjid pun dihalang, dibunuh. Sama jugalah di Syria, Rohingya, Uyghur, Kashmir, Mindanao, Kemboja dan Pattani.

Semua itu ialah milik umat Islam. Cuba kita buka sejarah. Dahulu, kita ada kerajaan Melayu Champa di Kemboja. Kemudian, kita ada kerajaan Melayu Pattani dan sebagainya.

Tapi, akhirnya mereka ditindas di bumi mereka sendiri. Kadang-kadang, bila terdengar kisah sebegini, ada di antara kita yang menyangka bahawa perkara ini disebabkan oleh sikap umat Islam yang berkasar dengan orang bukan Islam.

Akhirnya, sebahagian orang bukan Islam berdendam dan menjadikan umat Islam begini pada masa kini. Jadi, keluarlah cogan kata seperti :

“Islam membawa keamanan”

“Islam ialah rahmat buat sekalian alam”

Ya! Betul. Cogan kata itu tak salah pun. Tetapi, kefahaman sesetengah orang Islam tentang itu yang salah. Katanya, perlu berlunak dengan orang bukan Islam supaya mereka senang dengan kita.

Betul, tetapi adakah setiap situasi kita perlu berlunak? Adakah semuanya kita perlu angguk dan setuju seperti lembu dicucuk hidung?

Aku terfikir lagi. Rasulullah s.a.w juga adakalanya menggunakan teknik berlembut, tetapi jika hak kita sebagai Muslim sudah tercabar, Rasulullah juga berperang untuk mempertahankan hak.

Tapi kita sekarang, semakin lama semakin lunak. Semakin dicabar, semakin kita lemah lembut dengan mereka.

Cuba buka mata. Terlalu banyak isu yang mereka permainkan. Contohnya, isu tulisan Jawi. Mereka mengatakan tulisan Jawi tradisi kita itu digunakan untuk pornografi.

Takkanlah kita tak rasa tercabar? Ada lagi. Isu penukaran agama yang berlaku di Selangor. Mereka dah berani sentuh isu yang terlalu sensitif bagi kita. Penukaran agama bukan sebuah isu yang picisan seperti bermain di pondok.

Aku tak tahu sejauh mana lagi kita mahu berlembut sedangkan maruah kita sebagai Melayu Islam semakin terhakis dek kerakusan sebahagian orang bukan Islam yang mempunyai agenda tersendiri dan kerakusan beberapa pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan jatidiri sendiri.

Betullah pepatah Melayu yang menyebutkan, “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.”

Baik itu ada tempatnya. Kalau musuh sudah naik tanduk, jangan diberi lagi lembutnya. Melayu itu sikapnya pantang dicabar, tetapi yang aku lihat sekarang Melayu kian layu.

Sudahnya, terkorbankah kita dengan kelembutan kita sendiri?

Nadhratul Hana’ Binti Mohd Soberi

Admin PEMBINA

Author Admin PEMBINA

More posts by Admin PEMBINA

Leave a Reply