Sokong Haramkan Vape di Universiti Awam


PEMBINA menyokong penuh keputusan Naib-naib Canselor Universiti Awam untuk mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik di universiti-universiti awam di Malaysia. Langkah ini juga dilihat baik oleh PEMBINA untuk diambil oleh Universiti-universiti serta kolej-kolej swasta di seluruh Malaysia.
Ini sesuai dengan nilai menyeluruh seorang mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi dalam masa yang sama berkeperibadian yang baik, tidak melakukan pekerjaan yang sia-sia serta kekuatan ruh dan akhlak yang tinggi.
Keupayaan menolak budaya baru yang tidak berfaedah seperti vape dan rokok elektronik juga menggambarkan kekuatan jati diri mahasiswa yang mampu untuk menilai baik dan buruk kemasukan budaya asing. Mahasiswa yang mempunyai jati diri yang tinggi mampu untuk menapis dan mengambil budaya yang baik dari luar dan membangunkan negara berdasarkan identiti sendiri.
Sebagai mahasiswa yang dipandang mulia dan dihormati oleh masyarakat, seharusnya kita menjauhi segala bentuk pembaziran serta budaya yang boleh merosakkan diri dan masyarakat. Dana yang diperolehi sewaktu pengajian merupakan harapan keluarga dan rakyat dan tidak seharusnya digunakan untuk perkara yang sia-sia.
Keputusan ini juga selari dengan saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia agar vape tidak diamalkan serta tindakan yang boleh dikenakan bagi cecair nikotin yang mana ia tertakluk di bawah peruntukan Akta Racun 1952 dan Akta Makanan 1983 dalam Peraturan Kawalan Tembakau 2004.
PEMBINA juga menyokong inisiatif pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Naib Canselor yang dilihat dalam masa yg sama dapat merealisasikan keputusan fatwa yang komprehensif daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bagi mahasiswa yang beragama Islam, hukum syarak adalah rujukan pertama yang perlu dinilai dalam membuat keputusan dengan keyakinan ia akan membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada semua.
Oleh itu, PEMBINA menyeru kepada semua mahasiswa agar memartabatkan semula kesarjanaan dan peradaban ilmu secara holistik merangkumi aspek intelektual, kesihatan, tingkah laku dan jatidiri kerana mahasiswa merupakan aset berharga bagi pembinaan masa hadapan negara yang cemerlang.
Eqwan Roslan

Pemangku Bendahari PEMBINA Pusat

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top