Akhir-akhir ini, media massa banyak sekali memaparkan kisah-kisah dan berita ibu bapa yang diabaikan oleh anak-anak mereka. Sebagai contoh, pada 15 Januari yang lalu, akhbar melaporkan seorang lelaki berusia 60 tahun yang menghidap penyakit buah pinggang telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar. Anak kepada lelaki tersebut tidak datang menjemput bapanya walaupun telah dihubungi oleh pusat dialisis tersebut. Ini merupakan salah satu daripada ribuan kisah yang mewarnai kehidupan masyarakat kita pada hari ini. Maka, tidak hairanlah jika istilah ‘Si Tanggang’ yang dahulunya hanya terdapat dalam buku cerita dongeng menjadi satu realiti pada hari ini.
Menurut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Perubatan Sosial, sehingga Oktober 2009, sebanyak 368 pesakit di Hospital Kuala Lumpur tidak dijemput oleh waris dan ahli keluarga apabila mereka dibenarkan pulang oleh pihak hospital.
Statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menunjukkan peningkatan bilangan warga emas yang menghuni rumah-rumah kebajikan dan 30 peratus daripada penghuni ini dihantarke rumah kebajikan oleh anak kandung mereka sendiri. Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini, tidak dinafikan bahawa masyarakat kita lebih mengutamakan urusan duniawi sehingga banyak mengabaikan aspek agama dan nilai moral dalam kehidupan mereka. Ramai di antara kita sanggup bersengkang mata bekerja, mengejar harta dan pangkat sehingga menyebabkan diri lupa untuk memenuhi salah satu tuntutan terpenting iaitu menjaga kebajikan dan berbakti kepada kedua ibu bapa. Ada anak-anak yang merasakan bahawa sudah cukup untuk mereka memenuhi tuntutan berbakti kepada ibu bapa hanya dengan menghantar duit ke kampung sedangkan apa yang diharapkan oleh ibu bapa ialah agar anak-anak mereka dapat meluangkan sedikit masa untuk menjenguk dan bertanya khabar berita.
Umumnya, hampir semua ibu bapa tidak meminta balasan terhadap segala jasa mereka mendidik dan membesarkan anak-anak. Sesungguhnya kasih sayang ibu bapa ialah kasih sayang yang ikhlas tanpa syarat. Dan sekiranya jasa ibu bapa hendak dihitung dengan nilai mata wang sekalipun, tiada nilai yang dapat membayar segala penat lelah dan pengorbanan mereka terhadap anak-anak.
Walaubagaimanapun, Islam sendiri menuntut agar anak-anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa mereka sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Isra, ayat 23-24;
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sewaktu kecil”.
Rasulullah juga pernah bersabda tentang keutamaan berbakti kepada kedua ibu bapa melebihi berjihad di jalan Allah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud;
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi s.a.w, amalan manakah paling disukai Allah SWT? Baginda menjawab, solat pada waktunya. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, kemudian berbakti kepada kedua orang tua. Saya bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab, jihad pada jalan Allah.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Kita semua bertuah mempunyai ibu bapa, apatah lagi bagi mereka yang masih memiliki kedua-duanya walaupun usia sudah dewasa. Seharusnya kita bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan yang telah diberikan-Nya. Dengan rahmat Allah melalui kedua ibu bapa, kita lahir ke dunia dan berpeluang mengecap kasih sayang serta kenikmatan hidup yang tidak terhingga. Justeru, sentiasalah berusaha untuk melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa seperti menjaga hubungan dengan mereka dan menjaga kebajikan mereka, serta tidak menderhaka terhadap mereka selagi perintah mereka tidak bertentangan dengan syariat Islam.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu” (Surah Luqman: ayat 14).
Hasil Nukilan
Nur Faridah Zulkhaini,
Ahli PEMBINAmelaka.com,
MMU.