Mengimbas kembali detik awal 1920 dahulu, sejarah pembentukan perjuangan golongan intelektual dari kelompok pemuda telah lama bermula dan kemudiannya mandat perjuangan mereka diberikan kepada golongan mahasiswa apabila meniti waktu, menjadikan golongan mahasiswa menduduki hieraki tertinggi di kalangan pemuda andai dilihat dari aspek hamasah dan aktivisme dalam perjuangan. Terdapat 3 golongan intelektual yang telah dikelaskan dan mereka ini jugalah yang dikatakan sebagai golongan elit pada ketika itu. 3 golongan tersebut adalah mereka daripada elit berpendidikan Arab-agama, Intelegensia berpendidikan melayu-inggeris dan golongan pentadbir berpendidikan inggeris. Daripada golongan yang pertama inilah perjuangan mereka di mulakan iaitu golongan berpendidikan arab-agama ataupun mengikut istilah sejarahnya dinamakan sebagai “kaum muda”. Lahirnya individu seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas bin Mohd Taha dan Syed syeikh Al-hadi. Titik persamaan mereka bertiga adalah ketiga-tiga mereka adalah bekas pelajar yang mendapat pendidikan daripada luar dan membawa perubahan apabila seusai pengajian.
Dengan niat ingin membawa arus pemikiran Islam yang baru mereka memulakan langkah dengan slogan “ al-islah al-Diniy” yang merujuk kepada pembaharuan cara fikir dan cara hidup umat Islam. Walaupun begitu, perjuangan mereka tertumpu menyelesaikan permasalahan terpenting masyarakat ketika itu, dan boleh jadi adalah kunci kepada terbinanya arus gelombang mahasiswa di masa hadapan. Masakan tidak, mereka menggembleng tenaga menyelesaikan perbalahan mazhab, menghapuskan bid’ah, kurafat (animisme) dan ajaran sesat (pemikiran hindu-buddha). Tidak cukup dengan itu mereka berhempas-pulas menyepadukan Islam dalam kehidupan dan matlamat Islam tidak hanya sekadar akhirat sahaja, tetapi juga dunia dan akhirat. Usaha-usaha ini dilakukan adalah selepas mereka menamatkan pengajian mereka di menara gading. Namun begitu, persoalan pentingnya adalah adakah mereka bermula melakukan tajdid atau pembaharuan hanya ketika selesai pengajiannya? Hakikatnya Golongan arab-agama ini sudah mula beraktivisma sejak mereka di kerusi pengajian lagi.
Satu fakta menarik disini yang berlaku bahkan berulang di era 90-an adalah ideologi mereka, elit berpendidikan Arab-agama ini banyak dipengaruhi oleh tokoh haraki luar. Kaedahnya, mereka mengadaptasi fahaman luar untuk diimplement di tempat mereka sesuai dengan situasi dan keadaan semasa. Mereka adalah seperti Muhammad Abd’ al-Wahab (1703-1792M) yang membawa penghayatan kepada ajaran Islam yang tulen. Tidak ketinggalan juga Syed Muhammad Jamal Al-Din al-afghani (1839-1897M), dimana inti perjuangannya menekankan perubahan radikal dalam sistem politik Islam di mesir serta Syeikh Muhammad Abduh (1849-1906M) yang melakukan reformasi pendidikan. Menarik tentang Syeikh Muhammad Abduh adalah beliau tidak terlalu cepat menolak dan tidak cepat menerima apa-apa yang datang daripada barat. Itulah sikap yang membuatkan beliau mampu membawa arus perubahan.
Namun begitu, menjadi lumrah bahawa setiap perjuangan akan bertemu dengan cabaran. Seperti juga golongan muda ini pembaharuan yang dibawa mereka ini bercanggah dengan pemikiran kaum tua. Fatwa yang dikeluarkan juga banyak bercanggah dengan kaum tua yang mereka rasakan jumud dan konservatif dalam menafsirkan Islam. Tidak bermaksud kaum tua salah kerana mereka bertindak sesuai dengan kefahaman yang telah mereka anuti, masih mereka harus diberi penghargaan di samping tidak menyatakan apa yang dilakukan oleh golongan muda 100% adalah benar. Mereka ini saling menjadi check and balance sesama mereka. Selain itu, kaum muda juga turut membuka beberapa buah sekolah dan pondok untuk mengajarkan ajaran agama. Dari sekolah inilah terdidiknya pelajar-pelajar Islam yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) dan Malay College Kuala Kangsar (MCKK) yang kemudian memperjuangkan kemerdekaan yang akhirnya dikecapi pada 31 Ogos 1957.
MELAHIRKAN GRADUAN-GRADUAN
Pada tahun 1909, kerajaan telah menubuhkan MCKK dan MPSI pada tahun 1922 sebagai wadah bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah melanjutkan pelajaran. Kolej inilah yang dijadikan wadah, tempat dan platform bermulanya golongan-golongan didikan Islamist untuk memperjuangkan kemerdekaan.
Ditulis oleh : Muhammad Aiman Faudzi, JK Informasi dan Kajian, PEMBINA Pusat