“My Love, Happy Valentine’s Day! , Nahh, special gift for you “
“Wah wah wah… cantiknya bunga! Suka suka suka.. You’re so sweet…”
“ To be my valentine…Let’s celebrate this special day together 😉 ”
Maka, bermulalah episod maksiat yang dimurkai Allah S.W.T. Bermula dengan ucapan dan kata-kata manis, bertukar hadiah, berpegangan tangan, kemudian masuk ke lembah zina yang sungguh keji.. Nauzubillah.
WABAK VALENTINE MEROSAKKAN UMMAH
Mungkin situasi yang digambarkan di atas ialah situasi anak muda zaman sekarang yang terleka dengan fitnah cinta duniawi yang melangkaui batas syariat. Berpasangan tanpa hubungan halal demi meraikan cinta yang hadir di hati. Valentine’s Day menjadi hari yang ditunggu-tunggu untuk membuktikan kesetiaan cinta mereka. Lalu terjadilah perkara yang dimurkai Allah S.W.T lantaran kelemahan manusia yang tidak mampu melawan nafsu sendiri, tidak lama kemudian lahirlah pula anak luar nikah yang tidak terkira ramainya. Jika beginilah keadaan generasi sekarang, maka rosaklah masa depan ummah! Astaghfirullah!
Valentine’s Day atau Festival of Love’ yang disambut pada 14 Februari setiap tahun ini dinantikan bagi kebanyakan pasangan kekasih seluruh dunia terutamanya penganut Kristian. Ringkasnya, sejarah Valentine’s Day berkisar tentang seorang paderi Kristian bernama St Valentine yang dihukum bunuh oleh Kaisar Claudius, Raja Rom pada masa itu kerana St Valentine telah menentang perintah raja yang melarang pernikahan di kalangan pemuda. Ekoran peristiwa itu, tarikh 14 Februari terus dihidupkan oleh penganut Kristian sebagai ‘acara keagamaan’ untuk memperingati pengorbanan St Valentine. Sambutan Valentine’s Day ini dihidupkan dengan amalan berunsurkan Kristian dan membawa umat Islam yang meraikannya hanyut ke lembah maksiat dan penzinaan.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” [17:32]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-71 telah memutuskan Valentine’s Day adalah tidak selari dan bukan cara hidup orang Islam malah boleh menggugat aqidah Islam. Budaya ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana roh Valentine’s Day terbukti mempunyai unsur Kristian dan melibatkan perbuatan maksiat.
“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bukan setakat meraikannya secara langsung adalah satu kesalahan, malah membantu dalam menjayakan program sambutan Hari Valentine seperti menjual barangan khusus untuk perayaan tersebut, memberikan hadiah, membalas ucapan kepada rakan sempena hari tersebut, memberi promosi jualan sempena Valentine, menganjurkan “Romance Hour”, dan seumpamanya juga adalah dilarang kerana ia seolah-olah meniru dan menyokong amalan penganut kepercayaan itu.
Rasulullah bersabda, “Sungguh kalian akan mengikuti sunnah-sunnah yang ada pada umat sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta. Hingga seandainya mereka masuk ke lubang biawak, nescaya kalian akan mengikutinya pula’. Kami (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah mereka orang-orang Yahudi dan Nasrani?’ Baginda menjawab: ‘Siapa lagi?’ [Muttafaqun ‘alaih]
ISLAM ADA CARA MERAIKAN CINTA
Islam sebagai agama fitrah, sentiasa meraikan kasih sayang kerana Allah S.W.T. Namun menzahirkan kasih sayang perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh dicemari dengan perkara haram, tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, kesucian dan kehormatan. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.
Perkahwinan dan institusi kekeluargaan adalah tempat di mana pembentukan generasi akan datang bermula. Keluarga akan menjadi lubuk mengumpul pahala di mana ahli keluarga akan saling mengingatkan dan memotivasikan dalam pembaikian diri dan amal. Fokus ditumpukan kepada pembinaan suasana soleh dalam kehidupan, di samping mempunyai misi dan strategi yang serius untuk membentuk individu yang mampu berbakti kepada agama.
Di sinilah ilmu memainkan peranan penting. Demi mendidik generasi yang berguna buat umat, kita terlebih dahulu perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang bermanfaat, amal ibadat yang berkualiti, dan menjaga kesucian hubungan dari perkara yang melanggar syariat. Kita bukan sekadar ingin melahirkan manusia, tetapi kita ingin membentuk insan yang akan menjadi sumber bekalan pahala yang berterusan. Mana mungkin dengan menyambut perkara haram serta merosakkan kesucian agama, kita mampu untuk membentuk insan yang akan memartabatkan agama?
Maka, di sini amatlah jelas bahawa Valentine’s Day bukanlah cara meraikan cinta seperti yang dianjurkan oleh Islam, kerana cinta yang dianjurkan oleh Islam adalah sangat mulia malah mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
JANGAN SIA-SIAKAN MASA MUDAMU
Sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan pemuda dengan fitrah yang kuat, bersemangat, bijak
dan berpandangan jauh yang jika digilap akan melahirkan aset agama yang tidak ternilai harganya. Terlalu besar potensi dan peluang yang ada pada peringkat ‘umur emas’ ini sehinggakan di hari kiamat kelak kita bakal dipersoalkan : Bagaimana kita menghabiskan masa muda kita?
Couple, cinta sebelum nikah, cinta monyet, cinta media sosial atau apa-apa kisah cinta yang melanggar batas syariat adalah perkara yang boleh melalaikan pemuda dan akhirnya menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan diri sepenuhnya untuk Islam. Manakan tidak, hari-hari mereka hanya disibukkan dengan pasangan masing-masing sehingga menyebabkan mereka tidak mampu menyalurkan tenaga dan masa untuk agenda yang lebih besar, iaitu menyelamatkan jutaan ummah yang sedang tenat.
Ingatlah, jika kita tidak disibukkan dengan perkara-perkara yang besar, maka kita akan disibukkan dengan perkara-perkara yang kecil.
Maka, ayuh anak muda, bangkitlah kembali menjadi singa yang sentiasa menjaga kesucian agama dari dirobek oleh musuh Islam sewenang-wenangnya. Ingatlah, ummat memerlukanmu!
“Say No To Valentine. Say No To Zina”
NAZATUL SHIMA BINTI JIN SAMSUDIN
(JK POLITIK KAMPUS, PEMBINA KUALA LUMPUR)