Hasil daripada perbincangan muzakarah pada 15 Mac 2012 yang lepas, berikut adalah rumusan muzakarah yang semoga dapat dimanfaatkan di masa hadapan;
RUMUSAN MUZAKARAH
BAHASA DAN PERSURATAN MELAYU DBP 2012
TARIKH |
: |
15 MAC 2012 ( KHAMIS) |
MASA |
: |
11.30 PAGI – 1.30 PETANG |
TEMPAT |
: |
DEWAN BANKUET, TINGKAT 1, MENARA DBP |
KELOMPOK |
: |
NGO/ BELIA/SENIMAN/KARYAWAN |
Peserta Muzakarah Bahasa dan Persuratan Melayu 2012 Kelompok NGO/Belia/Seniman/ Karyawan telah membangkitkan/menyarankan perkara yang berikut untuk tindakan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu:
1. Mendapatkan kuasa penguatkuasaan berbentuk kuasa menegur pelbagai pihak yang melakukan kesalahan bahasa terutamanya dalam kalangan pemimpin, pihak berkuasa tempatan, media cetak dan media elektronik, mahkamah dan orang awam. Hukuman yang dikenakan bukan berbentuk hukuman penjara atau denda tetapi dalam bentuk celaan atau pendidikan.
2. Turun padang untuk mencari penulis pelbagai bidang sama ada individu atau kumpulan serta menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan. Di samping itu, DBP perlu memperkukuh Bahagian Undang-undang supaya dapat melindungi kepentingan penulis dan DBP sendiri serta harta intelek penulis. Bagi memperkasa usaha tersebut, fungsi penerbitan juga perlu dikembalikan kepada DBP dengan memberikan tumpuan khusus pada penerbitan dan pengedaran majalah DBP.
3. Serius dalam usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu dengan melihat ruang dan peluang yang tersedia di peringkat antarabangsa serta berusaha untuk menjalinkan kerjasama dengan universiti yang menawarkan kursus bahasa Melayu di luar negara. DBP juga wajar menggunakan kedutaan Malaysia sebagai duta bahasa Melayu di luar negara. DBP disarankan agar memberikan pengiktirafan dalam bentuk Anugerah Persuratan Antarabangsa serta melaksanakan program pemupukan atau penggalakan di peringkat antarabangsa seperti Pertandingan Pidato Piala Perdana Menteri. Di samping itu, kursus bahasa Melayu secara intensif selama tiga bulan perlu diwajibkan kepada warga asing yang hendak bekerja di Malaysia.
4. Memperkasakan dan memantapkan semula staf DBP supaya menjadi pejuang bahasa Melayu dengan mewujudkan Jabatan Bahasa dan Sastera secara berasingan. DBP diminta memohon peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan supaya DBP dapat membantu persatuan dari segi kewangan untuk persatuan melaksanakan program bahasa dan sastera.
5. Mendekati karyawan dalam bidang seni visual supaya mereka mendapat bantuan yang sewajarnya dari segi penggunaan bahasa dalam filem, terjemahan dan interpretasi filem serta adaptasi filem ke dalam bahasa Melayu agar bahasa yang digunakan lebih tepat.
6. Berusaha mendekati belia yang berjumlah 11.7 juta orang di seluruh Malaysia dan melibatkan mereka dalam usaha mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan. Ruang untuk menulis dan berkarya perlu diberikan kepada golongan ini dengan menerbitkan karya yang dihasilkan dalam majalah terbitan DBP. Kemahiran golongan belia dalam bidang teknologi juga boleh membantu DBP dalam membina perisian untuk terjemahan daripada bahasa lain ke bahasa Melayu seperti yang dilakukan dalam Google translate.