Ramadhan Bulan Merdeka

Ramadhan Bulan Merdeka
Ramadhan datang lagi. Bulan yang dinanti-nantikan oleh setiap mukmin yang mendambakan peluang untuk mendekatkan diri kepada Penciptanya. Bersyukurlah bagi kita yang masih hidup, menandakan Allah mengabulkan doa kita “…wa ballighna Ramadhan” sepanjang dua bulan lalu.

Namun kedatangan Ramadhan kali ini lebih istimewa berbanding tahun sudah. Kali ini, Ramadhan datang dalam bulan Ogos, iaitu bulan kemerdekaan bagi tanah air kita yang tercinta, Malaysia. Kemerdekaan dalam definisi umum bererti bebas daripada belenggu yang mencengkam diri kita dan menghalang kita daripada membuat keputusan sendiri dan melaksanakannya. Kemerdekaan di sisi kita bermakan kita bebas melaksanakan Islam sepenuhnya dalam kehidupan kita tanpa ada siapa pun menghalangnya.

Sangat cocok sekali keadaan ini yang mana sekiranya kita betul-betul memahami, kita akan dapati sebenarnya Ramadhan juga adalah merupakan “bulan kemerdekaan”. Dari segi sejarah pula, banyak peristiwa-peristiwa “pembebasan” yang berlaku dalam bulan yang berkat ini. Mari kita telusuri sejarah melihat siri-siri pembebasan ini….

Pertama dan terutama, Nuzul Quran berlaku dalam bulan ini. Nuzul Quran bermaksud Al-Quran diturunkan sepenuhnya daripada Lauh Mahfuz ke Langit Dunia dan seterusnya diturunkan secara berkala berdasarkan masa yang ditentukan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. Signifikan turunnya Al-Quran ini menandakan bermulanya pembebasan hakiki terhadap kezaliman yang berlaku di atas muka bumi ini. Dan kezaliman terbesar yang berlaku terhadap manusia adalah terputus dan terhalangnnya hubungan antara makhluk dan Penciptanya. Terwahyunya Al-Quran seolah-olah satu sinaran cahaya yang terang yang menerobos sebuah kegelapan yang hitam pekat. Hebatnya Al-Quran ini bukan pada penerimanya, tetapi hebatnya ia adalah pada kebijaksanaan Allah menjadikan Al-Quran itu mampu menusuk ke dalam hati manusia yang paling dalam sehinggakan Abu Jahal sendiri tidak dapat menahan diri daripada mencuri dengar keindahan Al-Quran yang dialunkan oleh Rasulullah s.a.w.. Tepatlah apa yang dilakukan Al-Quran, kerana pembebasan kali pertama seorang hamba berlaku di dalam hatinya yang tak sanggup dibelenggu tali perhambaan; dan seterusnya menggerakkan fizikalnya untuk mencapai kemerdekaan tersebut.

Sepanjang 13 tahun di Mekah, tema yang sama yang dicanangkan oleh Al-Quran iaitu tentang persoalan aqidah yang pokok: tentang keesaan Allah, gambaran akhirat, gambaran syurga dan isu-isu aqidah yang lain. Al-Quran menyampaikannya secara pendek tapi padat seolah-olah mengetuk-mengetuk ketulan batu besar yang keras secara perlahan tapi pasti. Walaupun di penghujung tempoh itu hanya 313 orang yang memeluk Islam, namun merekalah sebaik-baik orang yang merdeka yang seterusnya memerdekakan ribuan lagi yang lain.

Pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah, berlaku sebuah lagi peristiwa kemerdekaan, iaitu Perang Badar Al-Kubra. Walaupun tiada kota yang dimerdekakan atau berlakunya pembebasan dalam bentuk fizikal yang lain, namun Perang Badar merupakan titik tolak utama dalam pembebasan-pembebasan lain dalam sejarah Islam. Ia “membebaskan” keyakinan diri umat Islam ketika itu yang selama ini dibelenggu oleh rasa rendah diri akibat ditindas sekian lama oleh kafir Quraisy. Betapa besarnya skala Perang Badar ini dalam sejarah Islam boleh kita lihat pada doa Nabi Muhammad s.a.w. di ambang peperangan: “Ya Allah, jika musnah kelompok Islam, ini nescaya Kamu tidak akan lagi disembah di atas muka bumi”. Siapa sangka, sekumpulan manusia seramai 313 orang, dengan bersenjatakan pelepah tamar, batang kayu, dan beberapa senjata besi, yang pada asalnya tiada niat atau tidak terfikir langsung akan berperan, berjaya mengalahkan sebuah tentera sekuat 1000 orang yang penuh lengkap dengan senjata tajam, pakaian perang dan siap dengan mentaliti peperangan. Bayangkan, betapa tinggi tahap keyakinan diri orang-orang yang terlibat dalam kejayaan besar sebegini!

Satu lagi peristiwa kemerdekaan yang besar dalam sejarah Islam adalah peristiwa pembukaan kota Makkah atau lebih dikenali sebagai Fathul Makkah. Peristiwa ini berlaku pada 18 Ramadhan tahun ke-8 Hijrah yang mana Nabi s.a.w. bersama-sama 12,000 orang kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju ke Makkah untuk membebaskannya daripada cengkaman Quraisy. Peristiwa ini menandakan satu era baru dalam Islam di mana sebelum ini umat Islam dizalimi, ditindas bahkan dikepung berminggu-minggu lamanya di Madinah oleh tentera azab. Kini, keadaan sudah terbalik. Kaum Quraisy pula yang berada dalam ketakutan dan tertanya-tanya apakah nasib yang bakal menimpa mereka. Tetapi dengan rahmat Allah, mereka dibebaskan walaupun pelbagai kezaliman yang mereka timpakan ke atas umat Islam, dan seterusnya melembutkan hati mereka untuk menerima “kemerdekaan” yang diiklankan oleh aqidah Islam.

Betapa cantiknya peristiwa Fathul Makkah ini bagaimana pembebasan maknawi iaitu pembebasan aqidah di bawa oleh Islam di permulaannya diakhiri dengan pembebasan bentuk fizikal yang simbolik – salah satu perkara yang Nabi lakukan sebaik sahaja masuk Makkah adalah Baginda memecahkan semua 360 buah berhala yang mengelilingi Kaabah untuk menyucikannya kembali.

Nah! Begitulah pembebasan yang dianjurkan oleh Islam. Sebuah kemerdekaan yang hakiki, yang membebaskan manusia daripada ketundukan kepada hawa nafsu kepada ketundukan kepada Allah ta’ala. Kemerdekaan ini dirumuskan mudah dan padat oleh seorang Sahabat Nabi s.a.w. bernama Rabi’e bin Amir ketika dipanggil mengadap Panglima Parsi, Rustum, dengan pertanyaan – “Atas sebab apakah kamu ke sini?”:

“Allahlah yang menghantar kami. Dia membawa kami ke sini untuk membebaskan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada hanya menyembah Allah yang Esa; membebaskan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat; dan membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Dialah yang menghantarkan kepada kami agamaNya yang diciptaNya, untuk menyeru manusia-manusia kepadaNya.”

Belia & Merdeka – Belia yang Merdeka!

Di kesempatan ini, PEMBINA ingin mengajak sahabat-sahabat para belia sekalian untuk mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk benar-benar memastikan diri kita bebas merdeka daripada tawanan nafsu darah muda kita.

Ketahuilah, belia-belia yang ada dewasa inilah bakal menjadi tonggak dan peneraju negara di masa hadapan. Hanya orang-orang yang merdeka yang akan dapat memikul tanggungjawab ini dengan seikhlas hati dan terselamat daripada godaan dunia.

Marilah kita sama-sama jadikan Ramadhan yang tiba ini menjadi satu medan yang sangat ampuh untuk kita, belia-belia Islam, membina kekuatan diri dari aspek fizikal (bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh walaupun dalam keadaan lapar dan dahaga), memantapkan akhlaq (menjaga pandangan dan lidah), serta mendidik iman (puasa, qiam, tilawah al-Qur’an) kita supaya kita benar-benar menjadi orang yang merdeka. Ayuh!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top