Ibrahim : Isu ekonomi beri kesan kepada gaya hidup belia

Alhamdulillah, jutaan syukur  dipanjatkan pada Allah s.w.t  kerana memberikan peluang dan ruang kepada PEMBINA untuk melebarkan sayapnya. Saudara Ibrahim bin M Hasan, presiden Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA) telah dijemput sebagai panelis Forum Cakna Ekonomi anjuran Fakulti Pengurusan Perniagaandan Perakaunan (FPPP) Universiti Sultan Zainal Abidin(UniSZA).

Forum ini mengupas tentang kesan dan implikasi bajet 2013 ke atas pembangunan Islam di Malaysia. Perbincangan ini turut menampilkan panelis dari UniSZA yang terdiri daripada pensyarah FPPP iaitu Dr ahmad Azrin bin Adnan dan Prof Madya Zunaidah binti Sulong. Ketiga-tiga panel sebulat suara mengatakan terdapat kelebihan dan kekurangan pada bajet 2013 yang telah dibentangkan pada bulan September lalu.

Saudara Ibrahim menegaskan bahawa isu ekonomi banyak memberikan kesan kepada gaya hidup dan perkembangan sahsiah kepada para belia. Pemberian rebat RM200 kepada golongan belia untuk memiliki telefon pintar dilihat releven kerana keperluan masa kini yang menuntut belia untuk bergerak pantas dalam mengakses maklumat bagi memperkayakan pengetahuan. Walaubagaimana pun, para belia perlu bijak mengawal diri dalam kepesatan teknologi hari ini. Jika kemudahan yang disediakan digunakan untuk berhibur semata-mata, maka peruntukan tersebut  tidak akan menyumbang apa-apa terhadap pembangunan islam.

543158_10152296613585118_316283885_n

Di bidang pendidikan, 38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan. 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA. Saudara Ibrahim berpendapat bahawa terdapat sedikit ketempangan pada pembahagian tersebut di mana jumlah peruntukan kepada sekolah agama sama dari segi jumlahnya dengan sekolah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh sedangkan peratusan penganut Islam di Malaysia lebih dominan iaitu 54% berbanding penganut agama lain.

Perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas yang utama. Tidak dinafikan, suasana dan persekitaran rumah turut mempengaruhi perkembangan sahsiah belia. PR1MA dilihat sedikit sebanyak dapat membantu menyediakan suasana yg lebih baik. Tambah beliau lagi, peningkatan had pendapatan peminjam perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000 ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri dalam Skim Rumah Pertamaku memberikan manfaat kepada belia terutamanya bagi mereka yang baru bekerja. Potongan 10% diberikan kepada pembayar PTPTN yang konsistan dan 20% bagi pembayar penuh dapat membantu para graduan menguruskan hutang mereka.

Ketiadaan bajet untuk program belia selain Festival Belia Putrajaya dilihat tidak membantu perkembangan sahsiah dan jati diri belia. Pendedahan belia kepada program-program hiburan bukanlah suatu langkah yang bijak dalam usaha menyediakan minda kelas pertama. PEMBINA tetap dengan pendirian membantah setiap program yang berunsurkan hiburan melampau.

Dalam sesi penggulungan, saudara Ibrahim menekankan bahawa beberapa perkara perlu diberi perhatian. Inisiatif perlu diambil bagi menangani masalah pengangguran dan kebolehpasaran graduan. Pelaksanaan bagi setiap perancangan amat perlu agar selaras dengan slogan janji ditepati.

 

 

Ibrahim B Mohd Hasan

Presiden PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top