Perutusan Ma’al Hijrah 1434H

Hari ini merupakan ulangtahun ke-1,434 bagi suatu peristiwa penting bukan sahaja dalam sejarah agama Islam, bahkan kemanusiaan itu sendiri. Peristiwa ini merupakan suatu ‘milestone’ atau batu tanda penting perjalanan sebuah risalah (perutusan, ‘prophercy’) yang diutus oleh pemilik dan pencipta seluruh alam, termasuk jiwa-jiwa manusia yang seringkali sombong dan bongkak terhadap hakikat kejadian dirinya.

Hijrah sebagai Batu Tanda Penting Islam

Semoga Allah mengganjari sebaik-baik pahala di atas kebijaksanaan Saidina ‘Umar bin Al-Khattab Al-Faruq RA dan para sahabat bersama beliau ketika zaman pentadbirannya sebagai khilafah umat Islam, mewarisi tugas Rasulullah memimpin umat. Saidina ‘Umar begitu memahami dan seolah-olah mampu menganalisa masa hadapan apabila memutuskan untuk menjadikan peristiwa Hijrah Rasulullah SAW yang ditemani sebaik-baik teman Baginda, iaitu Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA, sebagai satu ‘mile-stone’ asas kepada tamadun Islam. Islam ketika zaman beliau, telah menundukkan keangkuhan empayar Parsi yang sesat menyembah api dan rosak menyembah keindahan wanita; dan empayar Rom yang telah mengubah agama Allah mengikut hawa nafsu mereka, menyengutukan Allah dengan mengatakan Nabi Isa AS yang tidak berdosa sebagai anakNya atau jelmaanNya di atas muka bumi yang hidup sebagai manusia, makan, minum dan memakain pakaian seperti manusia.

Hijrah Rasulullah mendaulatkan isi kandungan Al-Quran

Ia ibarat suatu testimoni dan pengisytiharan Saidina ‘Umar kepada seluruh manusia hari itu dan akan datang, bahawa kejayaan empayar Islam menakluk dunia dan meruntuhkan semua kezaliman di atas muka bumi adalah bertitik tolak dari peristiwa Hijrah Rasulullah ke Madinah, berhijrah mendaulatkan Islam di negara Islam pertama, iaitu Madinah Al-Munawwarah. Atau, tidak lain beza fahamannya, jika kita katakan Baginda berhijrah meninggalkan tanah airnya di Makkah yang masih kufur, untuk ‘menegarakan Islam’ di Madinah, atau perkataan yang biasa kita dengar, mendaulatkan Islam di Madinah. Negara Islam, atau dalam istilah Arab literal yang tidak asing dari cuping telinga muslim di Malaysia, kalimah ‘daulah Islamiyah’, merangkumi sistem, struktur, dan Piagam Madinah yang menjadi rujukan tertinggi Negara Islam Madinah.

Sistem masyarakatnya selepas Hijrah adalah masyarakat yang berkasih sayang dan bersaudara atas dasar aqidah. Umat Islam sebagai umat yang satu dan bukan Islam ketika itu yang terdiri daripada orang-orang Arab musyrik, orang Yahudi dan orang-orang Nasrani adalah sebahagian dari masyarakat yang bukan sahaja mempunyai hak ke atas negara dan ketua negara, bahkan mempunyai tanggungjawab yang sama dalam mempertahankan Madinah dari serangan-serangan luar. Institusi asas sesebuah negara iaitu institusi keluarga adalah nukleus penting yang dipelihara dengan mengangkat zina dan pembunuhan bayi sebagai jenayah berat. Ia adalah sistem negara terbaik yang pernah dikenal dunia dalam mengurus kepelbagaian rakyat tanpa sesiapa pun sama ada yang memerintah atau diperintah itu dizalimi dalam apa jua bentuk dan cara.

Sistem ekonominya adalah sistem ekonomi keadilan yang anti-riba dan penindasan, ekonomi kejujuran dan anti-penipuan, ekonomi terbuka, sama rata dan anti-monopoli, ekonomi kebajikan dengan mengambil sedikit hak yang kaya untuk membantu yang memerlukan. Institusi perbendaharaan negara diurus dengan amanah dan bertanggungjawab biar dalam keadaan rakyat menderita kemiskinan dan kekurangan makanan di suatu ketika, dana negara dan sumbangan rakyat masih diutamakan dalam usaha-usaha pengukuhan dan pertahanan dari ancaman luar. Ia adalah sistem ekonomi terbaik yang pernah dikenal dunia dalam mengurus kerencaman manusia tanpa sesiapa pun dizalimi.

Sistem perundangan dan kehakimannya adalah sistem yang meletakkan keadilan sebagai asas utama berdasarkan sumber wahyu. “Ketahuilah, seandainya Fatimah mencuri, akan ku potong tangannya.” Tiada siapa, hatta anak seorang ketua negara, bahkan seorang Nabi yang telah dijanji syurga sendiri, seandainya melanggar hak masyarakat, tiada seiapa yang dapat melepaskannya dari hukuman. Ia adalah sistem, pelaksanaan perundangan dan kehakiman serta penguatkuasaan undang-undang yang terbaik pernah dikenali dunia.

Ia mengangkat semula kedudukan wanita yang mempunyai kedudukan penting di dalam masyarakat tanpa merosakkan fungsinya yang asal. Lelaki dan wanita masing-masing memainkan peranan berdasarkan fitrah kejadian fizikal, mental dan emosi mereka. Ia adalah sistem yang meraikan fitrah kejadian insan.

Begitu banyak lagi, kelebihan-kelebihan negara Islam Madinah yang telah dibentuk oleh Rasulullah seandainya kita menggali, meneliti dan membuat perbandingan dengan sistem-sistem kenegaraan lain yang pernah wujud. Ia adalah sebuah negara manifestasi wahyu yang menjasad dan berjalan di atas bumi Madinah, negara Islam pertama yang dibina oleh Rasulullah dan para sahabat.

Hijrah bukti kehebatan Rasulullah

Keagungan pembinaan negara Islam Rasulullah di Madinah, dan sebenarnya kebijaksanaan hijrah Rasulullah itu sendiri menggambarkan kehebatan peribadi Rasulullah sebagai seorang Rasul yang telah dilantik Allah dari insan terbaik di kalangan seluruh manusia.

Apabila dakwah Islam dan penganutnya mula mendapat tentangan dan ancaman nyawa, Rasulullah telah mula memerintahkan para sahabat Baginda untuk berhijrah meninggalkan Makkah, bagi menyelamatkan iman mereka kepada Allah, kerana iman seorang manusia itu begitu berharga.

Hijrah pertama sebahagian dari sahabat Baginda telah menuju ke Habsyah, ke sebuah negara yang diperintah oleh Raja Najasyi yang beragama Nasrani dari ajaran Nabi Isa A.S (bukan agama Kristian). Sedangkan Baginda masih tetap berada di Makkah untuk terus menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Penolakan dan ancaman kaum Quraisy di Makkah terhadap dakwah Baginda, terutamanya para pemuka-pemuka, telah mendesak Baginda untuk mencari tanah baru yang subur bagi meneruskan dakwah bersama sekumpulan individu yang telah beriman dan mampu memikul tugas dakwah seterusnya.

Di antara tindakan yang diambil adalah dengan menyampaikan ‘tawaran’ kepada pemuka-pemuka suku kaum Arab yang datang dari luar di setiap musim haji, untuk menerima Islam dan muslimin yang telah beriman di Makkah untuk berhijrah. Kemuncaknya, Baginda telah pergi sendiri ke Tha’if ditemani Zaid bin Harithah untuk menyampaikan tawaran yang sama. Akan tetapi Baginda telah dikecewakan. Keengganan suku-suku Arab lain menerima dakwah Baginda akhirnya telah membawa kepada pertemuan dengan delegasi haji dari Madinah, yang terbuka menerima dakwah Baginda, dan bersedia untuk memberikan apa sahaja yang mereka ada termasuk harta dan nyawa untuk memikul beban-beban dakwah Islam. Peristiwa pertemuan di ‘Aqabah ini telah dirakamkan di dalam sirah sebagai suatu peristiwa penting di dalam sejarah Islam.

Atas dasar ini, Rasulullah telah berjanji untuk terus menjadikan Madinah dan kaum Ansar sebagai bahagian penting dalam dakwah Islam.

Hijrah bererti tawakkal, bukan tawakkul

Selepas beberapa kali meminta izin dari Rasulullah untuk berhijrah, akhirnya Baginda telah memberikan isyarat kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq bahawa beliau akan menjadi teman Baginda berhijrah ke Madinah. Orang-orang kafir muyrik Quraisy ketika itu sudah ‘tidak tahan’ lagi dengan perkembangan dakwah Islam, telah merancang membunuh Baginda dengan cara yang licik agar tiada siapa yang dipersalahkan seandainya jenazah Baginda ditemui nanti di rumahnya. Baginda ketika itu menjadi seorang hero yang disayangi masyarakat tetapi dikehendaki nyawanya oleh musuh-musuh agama.

Baginda telah keluar bersama Abu Bakr dengan strategi yang paling rapi. Baginda keluar di waktu malam, berjalan keluar Makkah menuju selatan berlawan arah dari Madinah yang terletak di utara dan membuat lencongan di sekitar pantai yang terletak di arah barat, bermalam di sebuah gua kecil di Gunung Thaur selama tiga malam, menugaskan Asma’ binti Abu Bakr sebagai pembekal makanan dan Abdullah bin Abu Bakr menghilangkan jejak mereka dengan kambing-kambing gembalaannya, dan akhir sekali mengupah Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan ke Madinah.

Kesemua usaha ini menunjukkan Rasulullah adalah seorang strategis hebat. Kebergantungan Baginda dengan bantuan Allah tidak menjadikan Baginda seorang yang malas berusaha. Kebijaksanaan Baginda mengatur strategi, tidak menjadikan Baginda lupa untuk bergantung harap kepada Allah. Ini terbukti, kelemahan manusia, walau telah merancang dengan begitu teliti dan sehabis mampu, akhirnya bantuan Allah diperlukan ketika tiada lagi daya dan mampu. Ketika berhadapan Suraqah bin Malik yang mengejar Baginda untuk mendapatkan habuan 1,000 ekor unta yang dijanjikan, hanya kuasa Allah yang telah menyelamatkan Baginda.

Visi dan misi Hijrah membina negara dan tamadun Islam

Peristiwa Hijrah Baginda telah membuktikan bahawa apa yang telah dicapai oleh umat Islam di zaman Saidina Umar adalah suatu visi yang diletak Baginda dari awal. Susah payah dan jerit perih Baginda berhijrah meninggalkan kampung halaman demi visi membina tamadun Islam yang memimpin dunia dan misi membina negara Islam di Madinah yang mendaulatkan wahyu. Visi Baginda membina Tamadun Islam berasaskan wahyu di atas runtuhan tamadun-tamadun yang menyembah hawa nafsu. Misi Baginda membina sebuah negara Islam berasaskan wahyu yang memerangi negara-negara yang menyembah hawa nafsu.

Belia Islam sebagai asas kebangkitan

Peristiwa Hijrah juga membuktikan peranan pemuda di dalam kebangkitan awal. Hanya pemuda yang telah ditarbiyah agar mempunyai kejernihan aqal, ketahanan jiwa, dan iman yang kuat sahaja yang berjaya meletakkan diri mereka sebagai batu asas dakwah Islam sama ada di dalam keadaan ditekan di Makkah mahupun sebagai pemikul amanah dakwah ketika Islam mula mendaulat bumi Madinah, kemudian ketika Islam mula disebarkan ke bumi-bumi sekitarnya, sehingga akhirnya ia mampu membina tamadun gemilang, mengalahkan kegemilangan tamadun-tamadun yang pernah dibina di atas muka bumi sebelum itu.

Nama-nama seperti Mus’ab bin ‘Umair, Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutallib, ‘Umar Al-Khattab, Shuhaib Ar-Rumy dan ramai lagi, adalah nama-nama pemuda belia yang telah dicatat sejarah sebagai pemuda hebat dan unik di dalam peristiwa Hijrah ke Madinah. Bahkan mereka adalah barisan pemuda yang telah mengubah sejarah dengan kelebihan-kelebihan mereka selepas peristiwa Hijrah.

Anasir penting pembinaan jatidiri pemuda dan belia muslim, di atas asas aqidah yang murni yang bebas dari cemaran ideologi-ideologi sesat hasil tipudaya akal manusia bertuhankan hawa nafsu dan syaitan. Hari ini, belia Islam di Malaysia terutamanya, berhadapan dengan pertembungan aqidah yang murni dengan idelogi-ideologi ciptaan hawa nafsu seperti liberalisme, pluralisme dan sebagainya. Dalil-dalil ‘agama’ baru ini adalah kata-kata tokoh Barat yang mereka puja-puja siang malam sehingga ke dalam tidur dan mimpi. Makan, pakai, berkata-kata bahkan berfikir juga, mereka cedok dari gaya hidup ‘idola’ mereka.

Bukan itu sahaja, belia Islam kita turut dikelirukan dengan label-label yang disandarkan dengan nama Islam, bukan isinya yang tulen. Istilah-istilah ‘Islam liberal’, ‘Taqwa Punk’, ‘Gay Muslim’ dan sebagainya, hanyalah bulu-bulu biri-biri yang dipakai pada badan serigala, yang berkeliaran di tengah-tengah biri-biri yang asyik masyuk leka menganyam rumput di dalam mulut mereka, menggemukkan kemalasan di dalam jiwa mereka.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya Islam itu bermula dengan dagang sendirian. Ia akan kembali dagang sendirian. Maka, beruntunglah mereka yang dagang sendiri.”

Di dalam hadith lain, Baginda bersabda, “Akan tiba suatu zaman, mereka yang ingin berpegang kepada Islam umpama menggenggam bara api.”

Hijrah menuntut perubahan, tanpa kompromi

Hijrah Rasulullah adalah isyarat agar kita berubah total kepada apa yang dikehendaki dan diredhai Allah dan RasulNya. Bukan ‘mengimprovisi’ fahaman Islam agar selari dengan nafsu pada apa yang menggiurkan. Seandainya Rasulullah menerima tawaran pangkat dan harta dari Quraisy, sudah tentu tiadalah hari ini kita menyambut ulangtahun Ma’al Hijrah ke-1,434 tahun!

Oleh:

Ustaz Salman Abdul Rahman

Setiausaha Agung

Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) [2011-sekarang]

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top