Perutusan Hari Belia

[author] [author_image timthumb=’on’]http://pembina.com.my/wp-content/uploads/2011/05/Zafry-web.jpg[/author_image] [author_info]Norzafry Norhalim

Presiden

Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA)[/author_info] [/author]

Transformasi atau perubahan bermaksud suatu anjakan dari takuk lama ke posisi yang baru. Perubahan menjadi suatu perkataan yang lazim disebut oleh masyarakat dunia ketika ini, yang kehangatannya bermula sejak Barack Obama menjadi Presiden Amerika dengan slogan “Change We Need”. Slogan perubahan kemudiannya menjadi ibarat lirik lagu yang lazim dinyanyikan oleh golongan belia di seluruh dunia.

Tidak dapat tidak, belia merupakan ejen transformasi sejak sekian lama. Sejarah membuktikan, Revolusi Perancis menjatuhkan King Louis telah dipacu oleh golongan belia, dan siri-siri revolusi di timur tengah baru-baru ini juga digerakkan oleh golongan yang sama. Juga sejarah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan juga melalui tangan-tangan belia seperti Dato’ Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Helmi dan ramai lagi pejuang-pejuang yang lain.

Jelas difahami di sini bahawa belia merupakan agen perubahan yang hakiki, pada setiap zaman dan di setiap pelusuk dunia. Persoalannya, adakah perubahan-perubahan ini pasti membawa kebaikan?

‘Belia Pemangkin Transformasi’ merupakan tema Hari Belia Negara 2011.  Ungkapan ini merupakan ungkapan yang tepat dengan kedudukan belia sebagai nadi perubahan Malaysia seperti mana yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-10 bertemakan ‘Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi dan Maju’

Dari aspek kemampuan mental & fizikal, belia Malaysia sebenarnya mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan dunia sejak dahulu dan sekarang. Syeikh Idris al-Marbawi, Prof Ismawi Zen, Safee Sali, Azizulhasni Awang adalah sebahagian sahaja dari nama-nama yang membuktikan kemampuan negara.

Tepat untuk kita katakan bahawa perancangan kerajaan beserta usaha gigih yang datang dari inisiatif belia kita telah mampu melahirkan tokoh-tokoh hebat bertaraf dunia.

Perlu kita sedari bahawasanya, dalam era globalisasi ini, kita akan berdepan dengan pelbagai cabaran semasa atau setelah kita mencapai status negara maju.

Antara cabaran yang utama ialah untuk kita membina dasar yang kukuh yang mendokong kekuatan sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Hakikatnya, dasar kepada kekuatan negara terletak kepada jatidiri dan nilai akhlak setiap individu.

Alexis Carrell, seorang pemenang hadiah Nobel dari Perancis menyedari hakikat ini sejak tahun 1935 apabila beliau menyatakan bahawa “Pada negara masa kini sedikit sekali kita menyaksikan orang-orang yang menjadikan akhlak mulia sebagai teladan. Padahal, kedudukan akhlak lebih tinggi dari ilmu dan keahlian. Akhlak merupakan dasar peradaban”.

Barat telah lama menyedari hakikat ini dan mula berusaha untuk menyemaikan nilai-nilai moral ini ke dalam kehidupan masing-masing.

Lihatlah sahaja filem-filem mereka, semakin banyak filem yang mula menerapkan nilai-nilai moral, akhlak mengikut neraca mereka demi memastikan peradaban yang mereka bina tidak dirosakkan oleh sifat rakus manusia.

Seandainya nilai ini tidak dijadikan asas dalam ketamadunan, akhirnya sebuah negara maju akan gagal dimamah kefasadan dari tangan-tangan rakyatnya sendiri.

Finland adalah sebuah Negara berpendapatan tinggi namun Finland juga adalah Negara yang ketiga tertinggi dalam kadar jenayah. Kekayaan yang diraih akan menjadi modal pusingan untuk membayar semula kerosakan-kerosakan yang dibuat oleh pembina tamadun iaitu rakyat mereka sendiri.

Ini adalah harga yang cukup tinggi untuk kita bayar seandainya kita tidak berhati-hati dalam aspek pembinaan akhlak.

Islam telah pun menggariskan akhlak sebagai paksi perubahan apabila Nabi s.a.w  bersabda “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak” dan firman Allah SWT “Sesungguhnya aku tidak akan mengubah sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka terlebih dahulu”(ar-Ra’du:11).

Demi mengekalkan momentum kemajuan, belia harus berwawasan, kreatif & inovatif, serta dilengkapi dengan ilmu yang cukup. Konsep K-Ekonomi yang diperkenalkan kerajaan jelas mengajak rakyat Malaysia untuk kekal berdaya saing dengan ilmu yang penuh di dada.

Jatidiri belia perlu sentiasa dipupuk, kerana bangsa yang kalah ialah bangsa yang tidak mempunyai kebanggaan terhadap tanahairnya. Mencedok mutiara berharga dari benua lain tiada salahnya, namun tidak sehingga kita menafikan kekuatan bangsa kita sendiri lantas menjadi ‘pak turut’ yang sentiasa memandang positif kepada bangsa lain dan konsisten menghina bangsa sendiri.

Berbanggalah dengan agama dan bangsa yang telah menjadi teras dalam perubahan sejak sekian lama, kerana inilah yang akan mengekalkan kekuatan Malaysia dalam menongkah arus globalisasi yang cukup mudah mencairkan jatidiri.

Selamat Hari Belia, semoga kita terus meledakkan potensi diri di segenap aspek yang kita mampu dan minati kearah sebuah transformasi yang utuh.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top