Perpaduan antara kaum tidak boleh dicapai melalui slogan politik seperti “Malaysian Malaysia” atau “1 Malaysia”. Pemaksaan perpaduan seperti ini hanya membawa kepada pergeseran yang tidak berkesudahan.
Perpaduan mestilah berasaskan perkara yang mendasar. Sebagai contoh, bagi umat Islam, perpaduan adalah bertunjangkan keimanan dan disampaikan di dalam Quran dan Sunnah.
“Dan berpegang teguhlah kepada tali (agama) Allah dan janganlah kalian bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah saat itu kalian saling bermusuhan maka disatukan antara hati kalian maka jadilah dengan Nikmat Allah saling bersaudara, dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk”. (Ali-Imran, 103)
“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal, 63)
Maka apakah dasar atau asas bagi masyarakat berbilang kaum untuk bersatu-padu di Malaysia?
Rakyat Amerika Syarikat, samaada mereka penyokong parti Democrat atau Republican, samaada mereka berkulit putih atau berkulit hitam, samaada mereka dari utara atau selatan, East Coast atau West Coast, jika ditanya apakah identiti negara Amerika Syarikat, mereka semua akan bersetuju Amerika Syarikat “is the land of the free”, “a free country” di mana kebebasan adalah identiti utama negara tersebut. Mereka akan sama-sama berjuang jika didapati identiti negara mereka ini terancam.
Perpaduan di Malaysia hendaklah berasaskan kepada satu asas yang kukuh, yang mengakar umbi di peringkat masyarakat, menjangkaui sempadan politik. Kita mestilah memahami Malaysia dengan identiti yang sama.
Jika ditanya rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang, kita akan dapati pelbagai tafsiran akan diberikan tentang identiti negara ini. Ada yang bertegas negara Malaysia adalah negara sekular, walaupun Islam adalah Agama Persekutuan disebut di dalam perlembagaan.
Pembinaan asas kepada perpaduan hendaklah berlaku melalui pendidikan sejak usia muda dan penegasan berterusan samaada melalui syiar-syiar, perlaksanaan dasar-dasar pentadbiran dan kenyataan-kenyataan rasmi.
Melalui pendidikan, seluruh rakyat Malaysia hendaklah memahami sejarah yang sama dan bertutur bahasa yang sama. Oleh sebab itu Dasar Pendidikan Kebangsaan harus terus diperkasakan di seluruh peringkat pendidikan.
Tanpa dua perkara perkara ini, seruan perpaduan hanya akan terus berlaku di peringkat politik atau permukaan sahaja, tanpa berakar umbi dalam akal dan hati rakyat Malaysia. Slogan-slogan perpaduan akan kekal sebagai slogan politik yang tidak bertahan lama, bahkan akan membawa kepada lebih banyak pergeseran akibat kesalahfahaman di masa akan datang.
Eqwan Roslan
Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional