Pemerkasaan Aktivisme Mahasiswa

Hampir 30 tahun telah berlalu sejak pergerakan mahasiswa terutamanya yang berorentasi Islam di Malaysia mencapai kemuncak kegemilangannya sekitar awal tahun1980-an. Bermula dengan penubuhan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) pada tahun 1950-an dan kemudiannya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada tahun 1963, idealisme dan aktivisme mahasiswa terus berkembang dan kian matang sehingga mampu mencetus impak kepada  kemaslahatan hidup rakyat amnya dan masyarakat kampus khususnya.

Ini dapat dilihat dengan jelas dalam peristiwa perjuangan penggunaan Bahasa Melayu, pelestarian agenda Islam, isu nasional (kelaparan, kemiskinan, penyelewengan, perkauman, sistem kehakiman, pemeliharaan masalah sosial dan keruntuhan akhlak) serta kecaman terhadap pencabulan atau penindasan antarabangsa (pengeboman Hanoi oleh Amerika, penaklukan Rusia ke atas Czehoslovakia, pembantaian Serbia terhadap Bosnia Herzegovina dan banyak lagi).

Gerakan mahasiswa ketika itu berperanan sebagai kuasa pengimbang penting dalam setiap perlaksanaan polisi dan dasar yang diimplementasi kerajaan. Mereka mengwujudkan ‘pandangan kedua’ dalam beberapa polisi dan dasar penting kerajaan. Juga tidak pernah jemu mengeluarkan pelbagai memorandum, kenyataan akhbar malah terlibat langsung dalam demonstrasi jalanan bagi menyuarakan hasrat serta aspirasi rakyat.

Kini, saya melihat pergerakan dan aktivisme mahasiswa sedang melalui satu fasa perubahan (mungkin lebih tepat diistilahkan sebagai ‘kejatuhan’) yang sangat ketara, meninggalkan jurang yang sangat besar untuk diisi oleh generasi baru bagi mengembalikan semula ‘taring’ gerakan mahasiswa dalam mencorak masa depan negara.

Banyak faktor yang dilihat menyumbang kepada fenomena di atas, antaranya:

  1. Kerajaan yang memerintah pada hari ini lebih matang dalam mengeluarkan dasar dan polisi setelah 54 tahun merdeka. Kredibiliti dan kemantapan barisan kabinet, kumpulan pemikir (think tank), agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat di segenap lapisan telah terbukti dalam mentadbir negara dari segi penggubalan polisi dan dasar umum. Tidak dinafikan masih terdapat keperluan untuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan mahasiswa bersuara dalam menambahbaik idea dan perlaksanaan polisi kerajaan, namun ruang lingkupnya jauh lebih kecil berbanding 30 tahun dahulu.
  2. Kewujudan pelbagai NGO yang semakin hari semakin bertambah bilangannya bak cendawan yang tumbuh selepas hujan telah banyak mengambil alih peranan memperjuangkan hak dan kepentingan massa. Situasi ini meninggalkan para pimpinan mahasiswa kontang idea dan ketinggalan ruang dalam menjuarai isu-isu semasa demi mempertahan kebajikan dan kemaslahatan umum.
  3. Orentasi sistem akademik yang telah melalui transformasi daripada sistem penggal kepada sistem semester dilihat turut menyumbang kepada kelesuan gerakan mahasiswa di universiti-universiti seluruh negara. Para mahasiswa terpaksa mendepani kekangan masa dan komitmen akibat jadual akademik yang terlalu padat dan membebankan.
  4. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 turut menyumbang kepad kemerosotan aktivisme mahasiswa yang hangat diperkatakan masa kini. Saya melihat perdebatan antara kebaikan dan kelemahan akta ini lebih banyak diwarnai sentimen politik kepartian tanahair. Namun jika dibincangkan secara akademik dengan membuat perbandingan dengan gerakan mahasiswa di negara-negara lain kita akan mendapati dalam beberapa aspek, AUKU tanpa disedari telah menyekat potensi besar yang dimiliki oleh para mahasiswa, melahirkan generasi pelajar yang terlalu berorentasi peperiksaan (exam-oriented) serta kurang daya saing dalam medan politik kampus. Pindaan akta pada tahun 2008 juga dilihat tidak berjaya merealisasikan arus pembaikan yang diharapkan.

Membangunkan semula institusi gerakan mahasiswa yang dihormati pastinya merupakan satu proses yang amat panjang. Justeru, antara tindakan awal bagi mencapai hasrat tersebut dapat saya simpulkan sebagai berikut:

  1. Membangunkan jatidiri individu terlebih dahulu sebelum membentuk arus pembaharuan di kampus. Kualiti diri serta bakat kepimpinan berlandaskan Islam merupakan ramuan penting yang perlu digarap oleh setiap mahasiswa terutama barisan pimpinan.Susuk tubuh yang hebat dan berwibawa menjadi pencetus kepada pembaharuan gerakan mahasiswa yang pernah disaksikan sejarah negara. Jika diteliti, para pimpinan gerakan mahasiswa silamlah yang kini memimpin memegang pos-pos strategik dalam arena politik, akademik mahupun bidang ekonomi negara.
  2. Memantapkan kematangan politik yang rata-rata masih terlalu rendah di kalangan para mahasiswa merupakan formula asas yang acapkali dilupakan. Pimpinan mahasiswa seharusnya mampu meletakkan politik kampus dalam konteks yang tepat, pada keutamaan yang betul, dipandu kerangka Islam dalam amal kampus serta penuh cermat dalam menangani pelbagai isu dan komplikasi yang timbul.Terjun ke medan tanpa asas dan wawasan yang jelas akan melahirkan pemimpin yang tidak releven dengan keperluan semasa mahasiswa. Ramuan asas kepada peningkatan kematangan ialah pembacaan, perkongsian bijak, pemerhatian,kajian dan latihan praktikal.
  3. Tidak terpengaruh dengan parti politik arus perdana (mainstream) dalam mencorak pergerakan dan aspirasi mahasiswa di kampus. Gerakan mahasiswa harus bangun dengan daya intelektual dan budaya kerja yang tersendiri, menjuarai isu masyarakat kampus secara hikmah dan berakhlak serta berperanan dalam ruanglingkup kerja yang jelas dan efektif.Terbawa-bawa dengan budaya politik kotor dan berkepentingan,apatah lagi jika tidak didasari lunas-lunas yang ditetapkan Islam pasti akan terus menjerumuskan aktivisme mahasiswa ke lembah kemerosotan yang tidak berpenghujung. Sebagai contoh, perkembangan dalam pilihanraya kampus baru-baru ini diwarnai pelbagai insiden yang membuktikan kedengkelan professionalisme mahasiswa berpolitik apabila pengaruh luar mula menyusup masuk dan memainkan peranan dominan.
  4. Mengutamakan orentasi objektif (objective-oriented) berbanding orentasi program (programme-oriented). Amal yang terfokus dan terbimbing perlu diberi keutamaan berbanding respon segera terhadap pelbagai isu dan perkembangan dalam arena politik di peringkat kampus mahupun nasional.Sekadar melaksanakan program tahunan, aktiviti rutin serta gerak kerja biasa tidak menjamin kejayaan gerakan mahasiswa. Malah, perlu wujud satu keberanian pemimpin mahasiswa untuk keluar dari kebiasaan setelah mengenalpasti keperluan sebenar masyarakat kampus dan berjuang habis-habisan untuk menjayakannya.
  5. Memberikan fokus kepada amal dan gerak kerja berbanding manifesto dan propaganda. Sebagai contoh, gerakan mahasiswa terutamanya yang berorentasi Islam harus serius mengatasi masalah pergaulan serta seks bebas, budaya ‘couple’, hiburan melampau, gengterisme, penyalahgunaan dadah serta banyak lagi gejala sosial lainnya.Sekadar melaungkan slogan untuk membangunkan masyarakat kampus yang cemerlang dan berperibadi mulia semata-mata tidak memadai apabila masalah asas tidak berjaya ditangani dengan baik. Para pimpinan mahasiswa harus kembali kepada solusi paling mujarab iaitu pendidikan sahsiah Islam, pembangunan jatidiri serta menyubur kesedaran tanggungjawab sosial kepada segenap lapisan komuniti kampus.

Kesimpulannya, gerakan mahasiswa hari ini harus bersifat dinamik dan bergerak seiring perubahan pantas latar belakang sosio-ekonomi dan politik negara. Ini sangat penting bagi memastikan perjuangan serta peranan mereka terus relevan dan dirasai masyarakat kampus serta rakyat umum.

Membangunkan jatidiri berlandaskan Islam, memahami sifir politik, ekonomi serta aspek sosial negara, membangun kepimpinan serta kematangan diri dan organisasi adalah antara formula penting ke arah meletakkan perjuangan mahasiswa hari ini pada tampuk yang strategik dan berkesan. Jika harapan ini berjaya direalisasikan, maka kita akan mampu menyaksikan sekali lagi kegemilangan perjuangan mahasiswa kembali gah menaungi aspirasi dan kepentingan massa.

** Penulis merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Electrical and Electronic Engineering (Communication) dari University of Melbourne, Australia. Kini bertugas sebagai Jurutera Instrumentasi dan Kawalan, PETRONAS dan merupakan Pengerusi, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka. Beliau boleh dihubungi di al_hakimm@yahoo.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top