PEMBINA UKM SOKONG SEPENUHNYA USAHA KPM LAKSANAKAN TULISAN JAWI DAN SENI KHAT DI SEKOLAH

Selari dengan misi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memartabatkan Bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan, Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) UKM menyokong sepenuhnya usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meneruskan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah tahun depan.

Walaubagaimanapun, kami menyelar tindakan pihak-pihak chauvinis yang cuba membantah keputusan KPM untuk menerapkan pelaksanaan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah tahun depan.

Tulisan jawi dan seni khat merupakan khazanah warisan kebangsaan yang seharusnya dipertahankan oleh rakyat Malaysia yang mengaku asal usul identiti kebangsaan negara ini.

Namun, sangat jijik apabila ada pihak yang bersungguh mahu berhimpun bagi membantah perlaksanaan tulisan Jawi yang dicadangkan oleh KPM.

Ini menunjukkan bahawa mereka yang bersungguh membantah perkara ini, melenting kerana usaha KPM ini secara tidak langsung bakal menyemai semangat identiti kebangsaan kepada pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan. Ia sememangnya bercanggah dengan agenda chauvinis mereka.

Justeru, Pembina UKM mengajak semua pihak khususnya mahasiswa yang sayangkan identiti kebangsaan, untuk sama-sama mempertahan warisan tersebut dan membantah sekeras-kerasnya apa-apa usaha untuk menghapus identiti kebangsaan di negara kita ini.

Sekiranya identiti kebangsaan ini dihapuskan, maka, identiti apa yang bakal kita tinggalkan buat anak cucu cicit bangsa kita generasi mendatang?

Luqman Arifin
YDP Pembina UKM

#PendaulatAmanahNegara

 

Sumber: https://www.facebook.com/PembinaUkm/posts/1288480684646928