KENYATAAN RASMI PEMBINA | HIMPUNAN 812

Himpunan 812 adalah himpunan aman yang meraikan kejayaan rakyat Malaysia membantah ratifikasi ICERD. ICERD dilihat sebagai usaha untuk merubah rupa bentuk negara. Selaku belia dan mahasiswa yang konsisten mempertahankan perlembagaan persekutuan, Pembina menyokong usaha untuk menyeru rakyat Malaysia tidak kira bangsa, agama dan pandangan politik untuk turut hadir ke himpunan ini.

Insiden-insiden yang berlaku pasca PRU 14, menjadi kebimbangan apakah rupa bentuk negara pada masa akan datang. Ketenteraman dan keharmonian bangsa di Malaysia semakin merisaukan bilamana semakin banyak usaha untuk menukar rupa bentuk Perlembagaan Persekutuan yang termaktub di dalamnya Kontrak Sosial. Sejarah pembentukan negara Malaysia mencatatkan Kontrak Sosial ini yang menjadi pengikat kepada keharmonian bangsa, tetapi kenapa harus kita uraikan ikatan yang telah kukuh ini?

Atas dasar untuk mempertahankan perlembagaan dan menjaga keharmonian bangsa, kita perlu menghormati Perlembagaan dan Kontrak Sosial. Apa-apa tindakan untuk menganggu gugat kedudukan Istimewa Islam dan Melayu perlu ditolak supaya kita boleh melahirkan masyarakat yang lebih aman dan mampu fokus kepada aspek pembangunan negara.

Namun masa kini, masih ada yang melihat usaha mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu sebagai usaha yang rasis. Bahkan mereka melihat usaha untuk menutup tindakan pimpinan politik yang jelas menghina agama Islam dan bangsa Melayu sebagai usaha yang mulia. Mereka ini telah termakan dengan naratif perjuangan yang diilhamkan oleh musuh-musuh negara. Kita perlu ubah kerana ini adalah pertembungan naratif.

Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia,

Bagi mereka yang sayangkan negara dan senada dengan kami, maka Himpunan ini menjadi titik penting untuk kita tonjolkan naratif perjuangan yang sebenar. Tidak perlu menjadi apologetik dengan identiti sendiri. Tugas kita adalah menunjukkan bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam bukan rasis tetapi perjuangan yang bertetapan dengan Perlembagaan Persekutuan dan meraikan kedudukan bangsa-bangsa lain.

Di kesempatan ini, saya mengajak untuk peserta himpunan untuk menjaga akhlak dan tindakan sepanjang perhimpunan. Kita tidak mahu tindakan yang salah mengotori himpunan putih ini.

Saya menyeru untuk kita sama-sama hadir bagi menyatakan sokongan pada perjuangan ini. Bangunlah dari tidur dan perhatikan apa yang telah jadi pada keluarga, masyarakat dan agama anda. Sekiranya anda rasa berpuas hati, maka teruskan tidur, sekiranya tidak maka ini saatnya. HadirĀ #Himpunan812!.

Sekian,

Mohammad Azam Asri
Presiden Pembina

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top