Oleh: Muhammad Rusydi Muhammad Razif
JOHOR BAHRU, 1 Mei – Kerjasama yang erat dalam kelompok masyarakat merupakan benteng pertahanan jati diri yang penting bagi menghadapi sebarang anasir negatif yang wujud pada hari ini.
Menurut Pengerusi Pesatuan Belia Nasional (Pembina) cawangan Johor, En. Mohd Muhaimin Mahmood, semasa tahun 70an, golongan muda amat rapat dengan masyarakat dan mereka menjadi orang pertama yang kehadapan apabila timbul sebarang masalah dalam masyarakat.
Namun semangat kekitaan pada hari ini semakin pudar dan boleh mengundang bahaya terutamanya dalam tingkah laku, akhlak dan moral.
“Pada hari ini orang-orang muda hanya mementingkan pencapaian akademik dan diri sendiri semata-mata, tanpa menghiraukan keadaan masyarakat. Kesannya dapat dilihat pada peningkatan gejala rasuah yang tinggi kerana nilai untuk membantu sudah hilang. Masing-masing hanya fikirkan keuntungan diri sendiri tanpa mengira keadaan masyarakat, dan soal pahala dan dosa,” katanya semasa program Karnival Kesihatan, Kekeluargaan dan Kemasyarakatan (3K) di Kangkar Pulai, Johor Bahru, semalam.
Justeru itu, program Karnival 3K dirangka khusus bagi merapatkan jurang diantara orang muda dan orang lama bagi membendung sebarang anasir negatif yang boleh menjangkiti masyarakat.
“Kita mahukan semangat ukhuwah dikalangan masyarakat tidak kira kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa, dibawa sehingga ke generasi akan datang untuk menghadapi ancaman penghakisan jati diri dan anasir-anasir negatif.
“Sekiranya ada orang yang ingin bawa budaya yang tidak baik seperti LGBT dan sebagainya, kita sama-sama akan bersatu mencegah perkara tersebut,” jelas beliau.
Karnival 3K pada tahun ini merupakan aktiviti kemasyarakatan Pembina dan Surau Taman Desa Permai, dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Johor, Kelab Remaja Isma (KRIM) cawangan Johor, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) cawangan Johor dan Aman Palestin Berhad cawangan Johor.
Karnival yang meriah dan padat dengan aktiviti itu turut dihadiri oleh Pengerusi Surau Taman Desa Permai, Hj Azman bin Hj Omar, Penolong Pengarah Kanan Pusat Kokurikulum UTM, En Muhd Sofri bin Ibrahim, jurulatih sepak takraw UTM, En. Jamal bin Hasan dan sukarelawan yang terdiri dari kalangan mahasiswa UTM dan ahli-ahli Pembina.