Sejujurnya saya begitu tertarik dengan ucapan dasar Presiden Pembina, saudara Eqwan Roslan di Mesyuarat Agung Tahunan Pembina Kali Ke-10 yang berlangsung semalam. Begitu banyak isu besar dan penting yang beliau sentuh dalam ucapannya semalam.ย Ucapan itu bukan hanya menyentuh isu belia dan masyarakat sahaja, malah isu-isu yang berkaitan Islam juga tidak terlepas dari sorotannya.
Presiden membuka ucapannya dengan menyampaikan beberapa potong hadis dan ayat Al-Quran. Semuanya berkisar tentang anak muda, keimanan, dan kehidupan. Apa yang disampaikan oleh Presiden itu amat tepat dan bernas sekali. Ia adalah sebagai satu ingatan mesra kepada semua belia dan beliawanis yang hadir dari pelbagai negeri. Semoga sekalian yang mendengar itu boleh mengambil cakna dan menyerapnya ke dalam diri.
Penindasan terhadap umat Islam (seperti yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya) dan masalah belia pada masa kini (seperti gejala buang bayi dan dadah) memang sangat wajar disentuh oleh Presiden dalam ucapannya. Ini kerana, itulah (saya kira) masalah terbesar yang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini di serata dunia (termasuklah di Malaysia). Saya yakin Presiden menyebut darihal dua perkara itu kerana beliau mahu ahli-ahli Pembina mengambil cakna. Dan pastilah beliau tidak mahu ahli-ahli Pembina terus terleka dan mengulangi kesilapan atau masalah yang sama.
Saya begitu teruja akan keberanian Presiden dalam bercakap tentang Transformasi Nasional 2050 (TN50) dalam ucapannya. Presiden begitu kritis bercakap tentang rancangan pembangunan negara pada masa hadapan itu tanpa meninggalkan walau seinci agenda memperkasa identiti negara dan bangsa. ย Beliau juga mahu dasar dasar TN50 itu mendaulatkan nilai-nilai murni yang memang sepatutnya dipasakkan ke dalam diri setiap warga yang ada dalam negara.
Memang sudah sepatutnya TN50 itu tidak meminggirkan identiti Islam, Melayu, dan Malaysia dalam setiap dasar-dasarnya. Dan memang sangat penting dasar-dasar TN50 itu tidak membiarkan perkara-perkara yang tidak bermoral terus bermaharajalela di dalam negara (seperti rasuah, ketirisan, kerendahan moral, dan kerosakan akhlak belia). Ini kerana, jika perkara-perkara semacam itu terus berlaku, masalah yang berlegar-legar dalam negara bukan sahaja tidak selesai, malah semakin pecah dan terbarai!
Bagi menyelesaikan segala masalah yang berlaku itu, Presiden mengharapkan agar ahli-ahli Pembina dapat melakukan gerak kerja yang bijak, tersusun, dan terpandu. Pembina perlu merangka satu gerak kerja yang boleh menyelesaikan segala masalah yang berlaku itu dengan mewujudkan generasi yang benar-benar bebas daripada kejahilan. Dan sudah semestinya ia bukan satu tugas yang mudah dan memang memerlukan banyak kesabaran.
Bagi mencapai apa yang beliau maksudkan, Tujuh Misi Pembina sehingga tahun 2030 telah beliau perkenalkan. Tujuh Misi Pembina yang hendak digapai dalam tempoh 30 tahun ini dijangka dapat menjadi penyelesaian kepada segala masalah yang membelengu generasi pada hari ini. Dan sudah semestinya ahli-ahli Pembina yang seramai 30 000 orang itulah yang akan menjadi penggerak kepada Tujuh Misi Pembina ini.
Tujuh Misi Pembina yang Presiden maksudkan itu adalah : (1) membangunkan jati diri mahasiswa berlandaskan kefahaman Islam yang tulen dan syumul (2) melahirkan mahasiswa yang memiliki semangat cinta negara dan berjuang memperkasakan identiti tanah air (3) membudayakan kesarjanaan dan intelektualisme mahasiswa (4) meningkatkan keupayaan dan kemandirian mahasiswa agar mampu memimpin masyarakat dan negara (5) mewujudkan dan menyokong inisiatif yang menjadikan universiti sebagai pusat ilmu yang menyumbang kepada negara (6) mencapai kematangan dan kestabilan organisasi serta (7) membina imej dan jaringan Pembina.
Bagi menyelesaikan segala masalah dan bagi mencapai segala misi-misi itu, (bagi Presiden) ahli-ahli Pembina mestilah dibentuk terlebih dahulu. Ahli-ahli Pembina perlu disiap-siagakan supaya mempunyai kelas dan mutu. Antara langkah yang diambil bagi mencapai hasrat itu adalah : (a) melatih 33 orang Jurulatih Pembina atau Jurubina bagi seluruh negara (b) menghasilkan beberapa modul kepimpinan dan latihan pasukan yang merupakan 100% hak milik Pembina termasuk modul Komunikasi Dua Hala dan GTD atau Get Things Done ย serta (c) menjalankan soal jawab tentang isu-isu kepimpinan dengan mengumpulkan soalan-soalan berkenaan cabaran-cabaran kepimpinan yang dihadapi aktivis-aktivis Pembina dari seluruh Malaysia.
Kemahiran berdebat adalah suatu perkara yang perlu dititikberatkan untuk bergelar seorang pemimpin. Ramai yang beranggapan orang yang mempunyai kemahiran berdebat adalah orang yang boleh memimpin (walaupun anggapan itu tidak semestinya betul). Jadi, kemahiran berdebat perlulah dikuasai oleh sekalian ahli-ahli Pembina yang berazam untuk bergelar seorang pemimpin.
Presiden mengharapkan agar sekalian ahli-ahli Pembina boleh melibatkan diri dalam segala inisiatif yang dilancarkan dan mengambil inisiatif yang bersesuaian untuk meningkatkan kemampuan diri. Presiden juga berharap supaya ahli ahli Pembina boleh berkongsi pengalaman dan pandangan mereka dalam bentuk penulisan di media-media dan di akhbar-akhbar yang wujud di sana sini. Selain itu, ahli ahli Pembina juga mesti merebut peluang untuk muncul di radio atau televisyen untuk menyampaikan fikrah Islam di samping terus menganjurkan dialog dengan badan-badan mahasiswa atau badan badan belia yang lain untuk menyampaikan agenda yang dibawa oleh Pembina pada waktu ini.
Apa yang Presiden cuba sampaikan dalam ucapannya itu adalah tidak lain dan tidak bukan untuk kesejahteraan masyarakat. Presiden begitu yakin bahawa Pembina adalah pentas terbaik untuk sekalian belia-belia Islam menyelesaikan segala masalah yang membelengu umat. Sekalian ahli Pembina perlulah mengambil cakna akan apa yang Presiden sampaikan itu untuk terus memajukan diri demi kelangsungan Pembina. Semoga dengan segala gerak kerja Pembina yang tersusun sentiasa, akan lahir generasi yang elok sahsiah, akhlak, dan fikirannya. Moga-moga Tujuh Misi Pembina dalam tempoh 30 tahun itu akan tercapai hendaknya.
Oleh;
Muhammad Nur Haziq
Ahli Kolumnis Pembina