Muslimah dipeluk artis K-Pop : Dosa ibarat gunung atau lalat?

10898234_479521098854887_9190283358750692003_nBila mana manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan menyintaiNya. Bila mana manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepadaNya. Sedangkan tanpa cinta Allah, manusia tidak dapat mengasihi dan dikasihi. Tanpa takut pada Allah, manusia tidak akan dapat mengawal kejahatan dan kelicikkan tipu daya nafsu sendiri.

Itulah yang terjadi pada remaja hari ini. Kita dikejutkan dengan isu beberapa gadis muslimah bertudung yang dipeluk dan dicium oleh artis K-Pop di dalam konsert yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Innalillahi wa innailahi rojiun.

Kemana hilangnya maruah diri wahai muslimahku? Kemana hilangnya sifat malu yang menjadi benteng diri wahai puteriku?

Ingatkah kita pada sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :
“Sesungguhnya sebahagian dari apa yang telah dikenal orang dari ungkapan kenabian yang pertama adalah, ‘jika kamu tidak malu, berbuatlah sekehendakmu.’” Hadith riwayat Al-Bukhari.Kecaman di dalam sabda Rasulullah S.A.W. ini sekaligus menggambarkan kepada kita bahawa Allah juga amat murka dengan hamba-hambaNya yang melampaui batas. Di dalam Al Quran juga Allah menegaskan, sesiapa yang melakukan kemaksiatan, hati mereka akan ditutupi oleh dosa-dosa mereka sendiri.

Titik-titik noda hitam dalam hati, lama kelamaan menjadi duri yg memakan diri. Hingga sampai ke tahap, tiada lagi rasa takut melakukan dosa, tiada lagi gentar ketika melanggar syariatNya. Sabda Rasulullah S.A.W. :
“Orang yang beriman melihat dosanya umpama gunung yang besar yang akan menghempapnya manakala ahli maksiat melihat dosanya umpama lalat yang hinggap di hidungnya, apabila dia mengisyaratkan dengan tangannya, maka lalat itu akan lari..” Hadith riwayat Bukhari.

Nah, mari kita muhasabah di dalam diri, dimanakah tahap iman kita? Dosa umpama gunung yang bakal menghempap atau sekadar lalat yang bisa ditempis pergi?

Syariat tidak pernah menghalang fitrah manusia yang sukakan hiburan. Malah, syariat meraikan hiburan itu sendiri selagi mana tidak melanggar batas-batas syarak. Akan tetapi, jika hiburan seperti K-Pop menjadi pilihan, semestinya Islam melarang sama sekali. Adakah liriknya membawa kita mengingati Allah? Ataukah sekadar musik yang melalaikan dan tidak menenangkan?

Lihatlah kesannya, harga dirimu telah dicemari. Seluruh manusia melihat perbuatanmu dengan perbagai tohmahan. Fitnah mengenaimu telah tersebar begitu cepat dan meluas. Nauzubillah.

Ingatlah kepada kalam Allah yang bermaksud :
“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semua itu (pasti) akan diminta pertanggungjawaban.” Surah Al-Israk ayat 36.

Ibarat seorang penggembala haiwan, dia dipertanggungjawaban sekiranya haiwan gembalaannya itu merosakkan tanam-tanaman. Begitulah juga kita. Setiap perbuatan tangan, kaki, mulut hatta hati juga akan diminta pertanggungjawaban.

Akhir kalam, duhai muslimahku, sucikanlah hatimu, mohonlah keampunan dariNya kerana sesungguhnya rahmat Allah melebihi kemurkaannya.

 

 

 

Atikah Abu Bakar
Biro Tarbiyah PEMBINA Melaka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top