Muhammad penyatu umat

muhammad

Tanggal 12 Rabi’ul Awal merupakan titik tolak hari penuh ceria bagi semua manusia. Dunia menyambutnya dengan penuh kegirangan tatkala seorang insan lahir yang bakal menerangi manusia daripada kegelapan, mengisi ruang jiwa yang kekosongan, dan memberi sinar cahaya dan pengharapan daripada kekaburan dan ketidakpastian.

Bagindalah Nabi Muhammad S.A.W insan agung yang disebutkan. Sesungguhnya kehadiran Baginda S.A.W ke dunia sememangnya membawa deen al-Islam untuk manusia berpaut di atas satu aqidah yang benar dan sejagat. Sempena ketibaan Maulidur Rasul 1437H, “Muhammad Penyatu Ummat” merupakan tema yang ingin dihuraikan dan dikongsikan buat seluruh pembaca.

Sebelum diterangkan kaedah-kaedah yang dilakukan Nabi Muhammad dalam menyatukkan umat, mari kita lihat definisi daripada tema yang dinyatakan.

Muhammad s.a.w, nabi terakhir dan kekasih Allah yang sangat istimewa. Mukjizat baginda ialah kitab Al-Quran yang sempurna daripada kitab-kitab nabi terdahulu. Kata nama “penyatu” bersinonim dengan pengukuhan, penggabungan, peneguhan, pemantapan, penguatan, penegapan, pengeratan, pengakraban, pemaduan, penghubungan, integrasi. Manakala perkataan “umat” bersinonim dengan segolongan manusia (bangsa), sekumpulan manusia. Oleh itu, apakah yang dikatakan dan bagaimana Nabi Muhammad s.a.w menyatukan ummat sejak dari zaman sahabat sehingga sekarang?

Nabi Muhammad s.a.w menyatukan umatnya menggunakan kaedah pertama, iaitu pembinaan sebuah daulah Islamiyah (negara Islam). Penghijrahan baginda dari Mekah ke Madinah suatu tindakan yang tepat selaku khalifah (pemimpin) ummat Islam ketika itu.

Hal ini tidak lain tidak bukan bagi menyatu padukan ummat di kawasan penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w khususnya, iaitu ketika ketibaan rombongan baginda di Madinah terdapat dua golongan penduduk terbesar, orang Arab dan Yahudi, orang Arab Islam terdiri daripada suku kaum Aus dan Khzaraj yang digelar sebagai Ansar (golongan penolong), orang Arab Quraisy yang berhijrah dari Makkah pula digelar Muhajirin (golongan pendatang), dan orang Yahudi di Madinah pula terbahagi kepada beberapa kumpulan antaranya ialah Bani Qainuqa, Quraizah dan Nadir.

Oleh kerana berlaku keadaan gawat di Madinah di antara orang Ansar, Muhajirin, dan Yahudi, Rasullah s.a.w membuat perjanjian dengan seluruh  Penduduk di Madinah dan menulis satu undang-undang Islam pertama di dunia yang disebut sebagai Sahifah al-Madinah.

Maka kaedah yang kedua dalam menyatukan ummat baginda adalah dengan lahirnya undang-undang Islam iaitu undang-undang bertulis yang pertama di dunia, Sahifah al-Madinah. Piagam Madinah berbeza dari tulisan-tulisan peraturan pemerintah sebelum ini, kerana perlembagaan ditulis oleh pemimpinnya sendiri iaitu Nabi Muhammad S.A.W untuk diterima pakai oleh rakyatnya, penduduk Madinah.

Bagaimana Piagam Madinah ini berjaya menyatukan penduduk di negeri ini ialah penerimaan Rasullah sebagai Ketua Negara Madinah telah menaikkan kedudukan baginda sebagai pemimpin di dalam sebuah negara yang mana penduduknya terdiri dari pelbagai bangsa. Selain itu, orang Islam diwajibkan hidup bermasyarakat, baginda memberi kebebasan menjalankan kegiatan ekonomi kepada semua penduduk, semua penduduk Madinah bertanggungjawab memelihara keamanan dan keselamatan negara, dan banyak lagi.

Justeru itu, kehadiran undang-undang Islam Piagam Madinah menjadikan pihak kafirun mengiktiraf kewujudan Islam sebagai satu agama, Madinah sebagai negara Islam dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai Pesuruh Allah yang sebenar.

Kaedah yang ketiga dalam menyatukan ummat ialah menghapuskan diskriminasi kaum dengan menghapuskan semangat assabiyah. Hakikat kaum-kaum di bawah pemerintahan Nabi Muhammad ialah orang Ansar dari suku kaum Aus dan Khazraj sentiasa berselisih faham sesama mereka sejak zaman berzaman lagi.

Orang Muhajirin pula terlalu miskin kerana mereka dihalau dari kampung halaman mereka. Yahudi sentiasa bersikap permusuhan dan sentiasa menghasut dan mengkhianati Rasullah S.A.W dan pengikutnya. Orang Munafik perlu menjadi musuh dalam selimut dan Musyrikin Quraisy di Makkah sentiasa membuat pelbagai usaha untuk menghancurkan agama Islam dan orang-orang Islam. Oleh itu, Rasulullah meletakkan syarat kepada penduduk di bawah pemerintahan Baginda bahawa setiap penduduk hendaklah hidup sebagai satu ummat yang tidak terpengaruh dengan sebarang elemen yang tidak baik dari luar, hidup dengan bersatu-pada, berkerjasama, dan bertanggungjawab mempertahankan negara daripada serangan musuh.

Akhir kalam, pembinaan daulah Islamiyah, penyeragaman undang-undang dan syariat Islam, serta penghapusan diskriminasi dan semangat assabiyah mampu menyatukan umat. Ia tidak terhad kepada sesuatu tempoh kerana pada hakikatnya kekal sehingga zaman berzaman selagi mana Al-Quran dan As- sunnah menjadi pengangan dan sumber rujukan utama bagi sesebuah bangsa.

Melihat rentetan sejarah, daulah Islamiyah yang dibina kekal sehingga tujuh abad lamanya selepas Rasulullah s.a.w kerana rantai perjuangan oleh generasi ummat seterusnya adalah sama. Hal ini kerana deen al Islam kekal teguh di atas aqidah yang satu dan benar.

Aqidah benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w nabi terakhir inilah yang menyatukan jiwa-jiwa setiap insan membentuk ummat paling istimewa di mahsyar kelak apabila dipilih Allah menjadi ummat pertama yang akan dihisab. Umat istimewa ini juga adalah umat hebat yang paling disayangi Nabi Muhammad s.a.w kerana perjuangan baginda diteruskan sungguhpun mereka ini tidak pernah bertentang mata dengan baginda, dan ummat penerima kitab paling sempurna Al-Quran kalamullah untuk pegangan di akhir zaman. Tidak pelik sekiranya Barat amat mencemburui baginda Muhammad S.A.W sehingga menggelarkan the greatest man in the world, most admired person dan berbagai-bagai gelaran lagi yang diberikan pada hari ini.

 “Sesungguhnya Allah telah memberi kurniaan besar kepada orang-orang beriman apabila Dia mengutuskan di antara mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri yang mendakwahkan ayat-ayat Allah, menyucikan mereka (daripada syirik dan kufur) dan mengajar Al-Kitab (al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah), padahal sebelum ini mereka di dalam kesesatan yang nyata.”

 (Ali Imran: 164)

Wallahua’lam.

Nazatul Shima Binti Masri 
Ketua Beliawanis
PEMBINA Universiti Putra Malaysia

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top