Menilai Sebuah Keharmonian

Isu hari ini adalah isu aqidah. Pemahaman aqidah yang lemah menyebabkan mahasiswa lemah jati diri. Tidak kenal Tuhan, maka tidak kenal erti harmoni.

Harmoni dalam Islam hanyalah apabila tertegaknya kalimah tauhid sepertimana yang sepatutnya difahami dalam surah al-Anbiya, ayat ke-107 dan dalam surah as-Saff, ayat ke-9

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِين

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ

Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Adapun hubungan harmoni antara kaum yang kita akan kecapi adalah dengan tidak merendahkan kaum lain atas dasar kaum.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Sungguh di bumi Malaysia ini kita telah menikmati keharmonian antara kaum pada tahap yang baik dibawah kesefahaman kontrak sosial dan perlembagaan. Walaupun ada segelintir yang melampaui batas, namun mereka ini adalah sedikit.

Ada juga dari beberapa kes ini asasnya bukan kerana kaum semata-mata, tetapi sebaliknya kerana agama itu sendiri. Maka sepatutnya sesiapa sahaja yang beragama Islam tidak kira Melayu  atau bangsa lain pasti akan terasa! Namun di Malaysia mungkin isu ini akan kelihatan seperti isu kaum Melayu kerana Melayu dan Islam seperti air yang dicincang tak akan putus.

Tetapi masalah yang kita hadapi adalah Islam itu masih belum hidup sepenuhnya di dalam jiwa rakyat dan negara. Hatta seorang Muslim sendiri masih belum menghayati Islam itu dengan baik. Islam menitikberatkan sepenuhnya pemulihan jiwa manusia yang merupakan teras yang menjana pemikiran, penilaian dan pembentukkan. Bak kata  Syeikh Hassan al Hudhaibi, “Tegakkan Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di atas bumimu.”

Adapun dialog dan pelbagai aktiviti integrasi yang giat dijalankan pada hari ini sangat subur, namun impaknya masih jauh dari yang sepatutnya. Dialog dan pembentangan intelek bertaraf syeikh Ahmad Deedat dan Dr. Zakir Naik adalah qudwah yang harus kita usahakan disini.

Kita cukup kecewa dengan Liga Arab yang tunduk kepada Amerika mahupun Israel. Mereka yang takut untuk menyatakan yang haq ataupun takut akan kehilangan harta dan kuasa!

Kita kecewa dengan ahli ibadah yang bermain-main. Adapun beralasan matlamat untuk dekat dengan mad’u, maka berhati-hatilah dengan talbis iblis yang pernah menipu ahli ibadah dengan arak dan wanita untuk dekat dengan Tuhan.

Kehidupan tanpa wahyu ibarat mencari seekor semut hitam di atas batu hitam dalam gelitanya malam. Jika konsep harmoni mengambil akal dan nafsu manusia sebagai sumber maka ia menjadi konsep diluar fitrah. Barat melaungkan slogan kebebasan untuk keharmonian. Tafsiran kebebasan tanpa panduan wahyu ini akhirnya melahirkan generasi LGBT, pluralisma agama dan sistem sekular liberal.

Perjuangan konsep keharmonian perlu selaras dengan kehendak al Quran dan al Hadis. Tidak ada dalam sejarah pemerintahan kerajaan Islam yang menindas golongan minoriti. Maka berbanggalah dengan agama Islam dengan mengangkatnya setinggi gunung dan langit.

Bagi sesebuah gerakan Islam yang ingin memperlihat sifat keterbukaan, hendaklah ia memastikan kepentingan Islam itu tercapai. Objektif wahyu itu mesti sampai tanpa tafsiran yang mengelirukan. Prinsip harus mendahului strategi.

Selamanya kita akan bertahan dengan keaslian manhaj dakwah Nabi S.A.W. Telah berlalu beberapa generasi yang gagal. Adakah kita mahu menjadi sebahagian dari generasi yang digantikan? Berapa ramai generasi yang ingin membenarkan hadis nabi berkenaan sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik pengikut? Ia memang mengambil masa yang lama, namun jadilah kita generasi yang menjadi penyambung kepada keaslian kemenangan tersebut. Bukan penambah jarak antara itu.

Wallahualam.

Ghazali Yaid
Mantan Presiden PEMBINA UM

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top