Melayu Tunjang Kebangkitan Islam di Malaysia

Oleh: Afizhi Bin Atan

Penulisan ini cuba ditulis dalam bentuk ringan. Namun begitu, fakta yang agak berat mungkin terselit bagi menjamin kesahihan dan ketulenannya supaya menjadi bahan yang dapat dibincangkan oleh golongan sasar iaitu belia Islam.


Pengenalan

Sejarah Melayu adalah satu aspek menarik untuk dikaji, malahan satu sejarah yang tidaklah terlalu panjang dan bukanlah pula sukar untuk difahami. Pengkajian dan penceritaan sejarah Melayu ini akan sepatutnya mampu meningkatkan jati diri seorang umat Melayu itu ke arah yang begitu hebat, membanggakan dan senantiasa berjati diri. Namun, kelemahan orang Melayu kini sehingga hampir membiarkan dirinya diratah begitu menjadi kerisauan di kalangan para pemikir negara.

 

Parameswara dan Melaka

Sebenarnya, terdapat tiga unsur yang begitu menunjangi kekuatan sistem pemerintahan Melaka yang memang diketahui akan kegemilangannya itu. Unsur-unsur itu ialah Raja atau Sultan, pembesar bersama hierarki dan rakyatnya yang diikat dengan konsep daulat, tulah, taat dan derhaka.

Kesultanan Melaka hebat dengan bermulanya pengIslaman Parameswara dengan pelbagai teori. Samada ahli sejarah yang mengatakan Islamnya Melaka pada tangan Cina, malah pula mengaitkan dengan kehebatan pedagang India, bahkan menyamakan tarikh (sejarah) dengan kekuatan pedagang dari Yaman. Ketiga-tiga teori ini boleh diterima pakai di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, Matrikulasi malah di IPT.

Dan betapa hebatnya pada diri Melayu itu ialah sifat rakyatnya yang taat setia menjunjung titah pada setiap yang dilihat sebagai kebaikan daripada Sultan atau Raja, dengan frasa ‘Raja adil raja disembah(baca : ditaati), raja zalim raja disanggah’.

Makanya, Parameswara yang tiada berilmu tentang pentadbiran kerana sering diburu Majapahit dan Siam ketika itu telah memilih satu sistem hidup yang begitu kuat sebagai asas pembinaan sebuah Negara Kesultanan Melayu Melaka. Pemilihan agama Islam sebagai agama rasmi telah membuatkan seluruh negeri yang bernaung di bawah Melaka juga memeluk Islam berdasarkan kepada konsep taat yang telah diikat.

Kekuatan inilah yang menjadikan Islam dapat bertapak lama di alam Melayu di Nusantara. Kekuatan pada ketaatan rakyat kepada Sultan, serta ketaatan Sultan kepada Islam dan seluruh sistemnya. Oleh sebab itu, kejatuhan Melaka tidaklah membawa kepada kekufuran rakyatnya. Malahan sifat Melayu itu diteruskan sehinggalah lahirnya pula Kerajaan Kesultanan Melayu Johor-Riau-Lingga yang mahsyur, tidak seperti negara Sepanyol yang hampir kufur total setelah dijajah.

 

Erti Melayu

Kita perlu jelas berkenaan konsep dan makna mengikut realiti umum sebelum kita boleh melangkah lebih jauh tentang Melayu. Yang dinamakan Melayu itu adalah:

  1. Agamanya Islam – Di semenanjung, wajib Melayu itu Islam
  2. Berbahasa Melayu
  3. Mengamalkan adat resam Melayu
  4. Sejarah salasilah Melayu

Jika tiada empat perkara ini, maka hak keistimewaannya boleh disangkal sebagai penduduk peribumi.

Apa yang penting ialah kita mahu mengatakan bahawa perjuangan Melayu sejak zaman keIslaman Parameswara bukan sahaja kerana nama Melayu, tetapi kerana ikatan Melayu dengan Islam itu sendiri.

Oleh itu, kita perlu faham bahawa perjuangan Melayu itu bukanlah bermaksud meninggalkan Islam, bahkan mengagungkan Islam itu sendiri. Maka tiadalah salahnya jika perjuangan itu menggunakan nama bangsa Melayu atas kepentingan yang boleh membawa kegemilangan Islam.

Sebagai contoh:

Kejatuhan Melaka bukanlah bermakna kejatuhan kekuasaan bagi seseorang Raja kerana kota pemerintahan boleh ditukar-tukar. Namun dek kerana kebencian terhadap kekuasaan asing, yang kafir tentunya, telah menyebabkan Melayu seluruh Nusantara bangkit menentang kuasa asing atas nama Melayu dan kesultanannya. Penentangan yang ditunjukkan oleh Sultan Mahmud, Raja Ahmad, Pateh Kadir, Pateh Unus, Hang Nadim, Bendahara Paduka Raja, Sang Naya dan lain-lain umat Melayu cuba sebolehnya mengusir keluar kuasa penjajah kuffar yang mencengkam tanah Islam yang dijajah.

Malah kekuatan dari Jawa, Aceh dan sebagainya diraih untuk membantu tatkala Kesultanan Melayu Islam yang merupakan tunjang rumpun Nusantara, diratah.

Sebagai mana frasa yang disebut-sebut di dalam serangkap pantun klasik;

“Kalau roboh kota Melaka,

Papan di Jawa hamba dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Harta dan nyawa hamba serahkan.”

 

Seluruh rumpun Melayu bangkit demi menegakkan Kalimah Allah kembali di Melaka. Perjuangan umat Melayu ini menjadi bayangan ngeri dan sukar dilupakan kepada para pentadbir, saldados, oscronistas (periwayat sezaman) dan para mubaligh Katolik di Melaka.

Jelaslah, penggunaan nama dan semangat Melayu bukanlah satu bentuk pembuangan kepada Islam bahkan mampu menjadi kaedah penegakan Islam.

 

Idea Tradisi Kutuk Diri dan Hukum Diri

Tradisi kutuk diri adalah satu bentuk hukuman terhadap diri sendiri yang dikutip daripada idea ketandusan budaya sesebuah bangsa. Selalunya idea ini digunakan penjajah untuk memastikan survival mereka di atas bumi  yang mereka jajah. Idea ini ditanam oleh penjajah Inggeris pada diri orang Melayu sehingga timbul ungkapan seperti ini, ‘Melayu, kerjanya lebih baik sedikit dari ayahnya’.

Sebab itulah lahirnya perasaan lemah semangat dan hilang jati diri pada jiwa anak Melayu itu sendiri.

Perkara ini dijelaskan dengan kehadiran frasa oleh ramai pengkritik dan penulis di kalangan orang Melayu sendiri seperti, ‘Melayu mudah lupa’, dan ‘Melayu itu ertinya malas dan lembab’.

Dalam mengulangi dan untuk menyebarkan ideologi tentang ciri kedaifan inilah, kebanyakkan ramai penulis yang mendedahkan rasa rendah diri orang Melayu yang amat sangat. (Shaharuddin Ma’arof,1988;62)

Belia Islam seperti kita juga biasa mengambil pendekatan serupa, kutuk diri dalam keadaan yang melampau seperti ungkapan :

Yalah, aku tahu aku bodoh tidak macam engkau, pandai.

Sekolah tinggi-tinggi, bodohnya bertingkat-tingkat.

Kesannya, kerendahan diri orang melayu yang didedahkan ini sebenarnya memberi kesan mendalam dalam jati diri anak Melayu, takut akan persaingan malahan sentiasa bergantung harap pada bantuan orang lain.

Selain itu juga, bangsa Melayu telah menjadi satu bangsa yang ragu akan kehebatan bangsa sendiri, bersikap bersangka buruk, tidak yakin pada idea rakan sebangsa dan seagama. Akhirnya memilih bangsa lain yang dirasakan hebat, gah dan bagus sebagai rakan perjuangan serta tempat menagih bantuan.

 

Seruan Melayu: Memudaratkan dan Membawa Penindasan?

Sering terdengar kritikan-kritikan pedas apabila ada yang cuba untuk menyeru memperjuangkan hak bangsa. Kemungkinan tuduhan seperti perkauman, penindasan atau kurang cerdik akan terpalit kepada para pemukul gendang kebangkitan bangsa.

Namun begitu, sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu bukanlah satu bangsa yang kejam. Panggilan Tanah Jawi, dan ‘Ahsan Nas’ yang bermakna ‘selembut-lemut atau sebaik-baik manusia’ oleh bangsa Arab adalah sebagi bukti betapa jiwa sopan, santun dan telus ada pada diri orang Melayu.

Kedatangan pelbagai bangsa ke Tanah Jawi (Tanah Melayu), sebenarnya diterima baik oleh orang Melayu selagi mana adat resam tanah air ini dijaga. Adat istiadat yang pada dasarnya setelah kedatangan Islam berteraskan Al-Quran dan Sunnah seharusnya dijaga oleh semua pihak pendatang, pedagang dan para pengembara. Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka yang dicedok daripada hukum-hakam syariat menjadi penjamin kepada hak semua orang yang singgah di kota Melaka. Dikatakan 83 bangsa pernah datang dan menetap di Melaka, langsung tidak dikhabarkan berlaku penindasan oleh penduduk peribumi.

Begitu juga sejarah pasca kemerdekaan, walaupun dikatakan orang Melayu tidak sanggup menyalurkan kutipan zakat mereka kepada Gabenor Malayan Union, orang Melayu yang cuba mengembalikan hak ketuanan mereka, mengembalikan kegemilangan Islam pasca merdeka dengan berlapang dada menerima kehadiran orang luar menjadi sebahagian daripada penduduk tanah Melayu dengan syarat diikat dengan suatu kontrak sosial.

Seperti mana kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebelum perbincangan meja bulat bersama Tun H.S Lee, Tun Sambathan, Dato’ Saadon dan lain-lain, “Sebelum kita memulakan perbincangan, perlulah semuanya bersetuju bahawa tanah Melayu ini adalah sah hak milik orang Melayu, tuannya Melayu.’

Maka, setelah semua bersetuju, barulah rundingan ke arah kemerdekaan negara diterusankan. Oleh itu, sejarah telah menunjukkan banyak perkara yang membuktikan betapa Melayu itu tidak pernah menindas kaum lain malahan menghulurkan persahabatan.

Apa yang terjadi ialah pengkhianatan kaum lain kepada penduduk Melayu, contohnya Pengkhianatan Nina Chatu yang melepaskan tawanan raja sehingga rahsia kekebalan Melaka terlepas ke tangan Portugis.

 

Seruan Melayu: Satu kesalahan atau fenomena biasa?

Wahai belia, adakah salah jika saya mendahulukan pertolongan saya kepada ayah, ibu, adik-beradik dan rakan-rakan saya?

Wahai belia, adakah patut kita hanya sekadar membiarkan ayah, ibu, adik-beradik dan rakan-rakan kita hanyut dibuai mimpi indah dunia?

Wahai belia, adakah seruan saya kepada bangsa yang saya lahir di dalamnya satu seruan yang berdosa?

Wahai belia, adakah seruan perpaduan, ‘seruan kepada kebaikan dan menghindari kemungkaran’ saya ini sesuatu kesalahan?

Wahai belia, seruan kecintaan bangsa ini lahir daripada hati yang mahu mengembalikan kegemilangan Islam. Dan sejarah membuktikan bahawa bangsa Melayu begitu teguh, kuat dan tetap dalam perjuangan ini sedari dulu lagi.

Agenda perjuangan kita adalah Islam, maka bangsa Melayu yang dari turun-temurun beragama Islamlah yang mampu menunjangi kegemilangannya di Malaysia ini. Ini adalah fenomena biasa.

 

Penutup

Kesimpulannya, perjuangan Melayu dan seruan Melayu bukan satu proses melupakan dan membuang Islam kerana ia akan melemahkan makna Melayu itu sendiri. Namun, ia sepatutnya menjadi kaedah atau alat biasa bagi menyeru bangsa sendiri kearah kegemilangan Islam.

Antara lain, idea kutuk diri dan hukum diri memberi kesan parah di kalangan bangsa kita sehinggakan ada antara bangsa Melayu sendiri yang sanggup berpaling tadah, tersilap langkah dan sentiasa bersangka buruk kepada bangsanya sendiri.

Selain itu, seruan Melayu bukanlah seruan ke arah penindasan. Bahkan seruan ini adalah seruan kebangkitan, mengembalikan jati diri dan menambahkan ketaqwaan agar Islam terus dipelihara dan disebarluaskan di Tanah Jawi ini.

Akhir kata, perjuangan kita belum selesai.

 

 

Rujukan

i. Abdul Latif Abu Bakar, Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia dan Penerbit Univeriti Malaya, 1996.

ii. Lily Zubaidah Rahim, Dilema Singapura, Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2008

iii. Buyong Adil, Sejarah Melaka (Kuala Lumpur, DBP, 1973)

iv. Salehan Ayub, Ust. Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna, Pustaka Salam, Jun 2003

v. Hafizi MN, Jihad Di Nusantara

vi. Federal Constitution Of Malaysia, Pindaan terkini 1260/2006

1 thought on “Melayu Tunjang Kebangkitan Islam di Malaysia”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top