Masyarakat Tin Kosong

Oleh: Abu Omar

Belia adalah aset negara yang amat berharga, itulah ayat yang dipersetujui oleh semua orang.

” Belia tunjang negara.” Sering kali slogan ini dilaungkan, tidak kira di kampung, pekan mahupun bandar.

Biasanya laungan akan diiringi dengan semangat yang membara.

” Belia benci dadah” Pernah juga dulu belia sama-sama bertempik laungan ini bersama penyanyi terkenal, Mawi. Saya tidak kata salah, tetapi baguslah.

Namun, apabila berlakunya sesuatu masalah tentang belia kini, semua pihak akan saling menuding jari kearah yang lain.

Tidak kira kerajaan, mulai daripada Perdana Menteri sehinggalah tukang sapu yang bekerja di Kementerian Belia dan Sukan pun menjadi mangsa tuduhan.

” Tak pandai buat kerja” Kata mereka-mereka yang mengkritik.

Pernah juga dituduhnya jawatankuasa agama tidak pandai, kurang bijak dan juga hanya makan gaji. Tuduhan -tuduhan ini akan berterusan menjadi isu di akhbar-akhbar sehinggalah masyarakat penat untuk berkata. Kemudiaan akan datang pula masalah lain, dan perkara bersama akan berulang. Apa yang berulang?

Tuduh menuduh siapa yang bersalah.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar berhenti daripada menjadi penyebar tuduhan dan kepalsuan.

Sepatutnya sekarang, kita sendiri yang bertanggungjawab untuk memperbetulakan keadaaan semasa. Kita sendiri yang turun padang memperbaiki kesalahan.

Sepatutnya sekarang, kita sudah semakin matang. Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak untuk membaiki yang tersilap. Sebaliknya, kita mampu berjuang dan merasai bahawa masalah belia adalah tangungjawab bersama.

Mungkin antara kita tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Perasaan mahu bertanggungjawab itu ada, tetapi manakah jalan hendak disalurkan idea itu yang kita selalu kurang jelas.

Cara- cara jihad dengan lisan

1.Menyebarkan buku Islam

Secara praktikalnya, buku adalah lebih berfaedah kepada manusia berbanding percakapan. Kita boleh sahaja melihat idea -idea Dr. Stephen R. Covey’s melalui bukunya The 7 Habits of Highly Effective People , beliau hanyalah membetulkan niat manusia supaya melakukan dengan ikhlas. Hanya dengan itu, dia sudah berjaya menyampaikan mesejnya kepada jutaan manusia di seluruh dunia.

Bagi yang tidak mampu bercakap, ini adalah cara yang terbaik.

Cara ini akan mampu menolak tuduhan-tuduhan daripada musuh Islam. Cara ini jyuga mampu menerangkan isi kandungan Islam yang sebenarnya. Kita perlu menekankan Islam yang diketahui oleh Non-Muslim adalah salah daripada konsep asalnya. Kita perlu membalas segala tuduhan yang dilemparkan, yang menuduh Islam adalah pengganas.

Kita boleh kemukakan buku -buku tulisan kita itu dengan cara yang sesuai seperti jual, hadiah , derma atau pinjam.

Cumanya, adakah anda mampu meluangkan sedikit masa sehari untuk menulis?

2. Majalah, Surat khabar Pamplet dan blog

Tidak diragukan, semua perkara diatas mampu menyumbang kepada seruan-seruan yang baik dan besar manfaatnya.

Sepatutnya setiap pertubuhan Islam, masyarakat setempat dan juga sebuah keluarga Islam perlu memiliki majalah atau sekurang-kurangnya blog bagi menerangkan hal ehwal Islam. Pertamanya, anda perlu menulis berkaitan dengan aqidah, barulah ibadah dan seterusnya. Namun janganlah sekali-kali ditinggalkan salah satu daripada cabang Islam.

Terangkan semampu mungkin, kita mahu terus bergerak.

Kita mahu satu hari nanti akan ada pelbagai jenis majalah Islam di setiap rumah-rumah. Kita mahu terwujudnya perpustakaan sendiri yang dipenuhi bahan ilmiah yang boleh digunakan sebagai hadiah kepada semua belia dan cucu cicit keturunan kita.

Itulah kejayaan kita.

Persoalannya, adakah anda sanggup memulakannya?

3. Syarahan dan pengajian Umum di masjid dan rumah-rumah

Kita perlu menjadi seorang yang pakar di dalam bidang yang kita ceburi. Jika anda menceburi bidang kejuruteraan, anda adalah pakar yang ternama dan berhak untuk berkata-kata dihadapan umum. Jika anda doctor juga begitu, jika anda petani pun begitu. Belajarlah sehingga menjadi pakar, yang mampu berucap dihadapan orang ramai dan dipercayai.

Untuk apa perlu menjadi pakar?

Supaya anda boleh menyelitkan perihal Islam dalam ucapan anda. Anda boleh menunjukkan Islam itu adalah segala-galanya, keindahan Islam dan mengapa Islam menyeru kepada arah itu.

Jika anda terasa tidak mampu, maka cukuplah sekadar menjadi orang yang mengajak rakan-rakan anda, sepupu anda, adik-adik, abang-abang dan kakak-kakak ke majlis pengajian yang diadakan.

Ajaklah mereka mendengar seruan Islam. Biasakan diri anda dan mereka, mendengar perkara yang baik lagi bersopan. Hayati setiap kalimah yang cantik, amalkan setiap seruan yang Allah ingatkan.

Halnya, mungkinkah anda melakukannya wahai belia?

4. Seruan individu

Ini adalah seruan yang juga amat baik dengan cara yang amat molek. Allah berfirman;

Katakanlah; Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal sahaja iaitu supaya kamu menghadap Allah berdua-duaan atau sendirian, kemudian kamu fikirkan tentang Muhammad tidak ada penyakit gila sedikitpun pada kawanmu itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan.

(As-Saba’ ; Ayat 46)

Menerangkan fikiran seseorang secara individu dan bersendirian adalah lebih memberi faedah kerana penerangan secara ini tidak terpengaruh debgan tekanan-tekanan lain.

Dengan sebab itu, anda perlu membina hubungan dengan semua belia. Bercakap dan berbincanglah bersama mereka dengan tenang dan terbuka. Ziarahilah mereka tatkala senang atau sakit, bukan sekadar dihari raya sahaja. Adakanlah aktiviti berkelah bersama-sama sambil tidak jemu bercerita tentang Islam kepada mereka.

Bersihkan hati mereka dengan sinar Islam yang anda bawa, jemputlah mereka kerumah anda dan berbicaralah secara lembut dan berhemah. Moga mereka menerima seruan anda.

Namun, inginkah anda berkorban untuk Allah?

Semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersuara tatkala belia menghadapi masalah.

Semoga kita bukan golongan yang menuduh pihak-pihak tertentu pabila ada yang terkhilaf.

Jadilah manusia yang melakukan amal seruan.

Kata pepatah, jangan jadi seperti tin kosong, lebih bunyi daripada isi.

Yang manakah anda pilih?

Moga kita mampu menempuhinya. Amin.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top