“Tiga perbuatan yang termasuk sangat baik, yaitu berzikir kepada Allah dalam segala situasi dan kondisi, saling menyadarkan (menasihati) satu sama lain, dan menyantuni saudara-saudaranya (yang memerlukan).” (Hadis Riwayat Ad-Dailami)
Manusia ini satu perkara menariknya adalah kita dicipta dengan mempunyai ‘radar’ sendiri yang mengesan ketidakselesaan apabila bertemu dengan seseorang yang menghantar mesej negatif. Tak perlu mengucapkan dengan kata-kata, riak muka telah memberitahu segala-galanya.
Mesej yang membenci, tidak suka, marah, tak puas hati, itu kadang-kadang memberikan impulse ‘radar’ pihak yang satu lagi. Kata orang, action speaks louder than words. Itulah hakikatnya, tak perlu nak mengatakan aku sakit hati, aku benci, geram, tak puas hati, dan sebagainya.
Riak muka yang sedikit ‘lain’ itu cukup memberi gambaran tersebut.
Jika anda tidak suka, tidak puas hati atau membenci, adakah anda akan berbuat demikian? Tak perlu sebut tentang bermasam muka, atau berkerut, tak samakah ‘muka tak tahu’ itu sudah cukup menggambarkan bahasa fed up.
PUAS BERSABAR
“Selama ini aku dah puas bersabar dengan kau!”, luahan seorang rakan terhadap rakannya yang menyakitkan itu.
Saya memberikan 2 situasi di sini.
Yang pertama, orang yang berkata dia ‘bersabar’ itu sebenarnya masih belum lagi cukup sabarnya. Orang yang sabar tidak akan berkata dia bersabar. Orang yang bersabar tidak meluahkan rasa hatinya yang panas itu. Hanya orang yang berdendam melepaskan segala kemarahannya.
Dalam situasi seperti ini, ia adalah lebih menakutkan daripada kesilapan asal orang yang menyakitkan. Memang pada asalnya ibarat ada sebab yang menjadikan gunung berapi emosi itu meletup, sehingga segala-gala laharnya dimuntahkan sepuas-puasnya. Tetapi yang keluar adalah api.
Api yang menghangus semangat dan membakar rasa.
Mungkin yang disakiti sanggup melakukan demikian kerana yang menyakiti patut menerimanya sedang selama ini dia tidak pernah-pernah sedar. Tetapi sebaliknya, melakukan luahan sedemikian bukanlah tindakan yang bijak. Kenapa tidak ditegur sejak awal, berbanding compile kesalahan semua dan diluahkan dalam satu saat?
Batu itu kalau setitis demi setitis air jatuh ke atasnya pasti akan lekuk, biarlah ambil masa yang lama sekalipun. Tetapi air yang bergelen-gelen disimbah ke batu dalam masa sesaat, sudah tentulah batu itu tidak terkesan apa-apa, melainkan mengalihkan keadaannya ketempat lain. Begitulah keadaannya seperti manusia yang ingin ditegur.
Saya teringat ketika sewaktu saya berada di zaman persekolahan memegang tampuk kepimpinan. Ketika itu seluruh jawatankuasa dikumpulkan untuk sesi post mortem. Post mortem itu bertujuan untuk mengubah dan memperbaiki. Tetapi cara memperbaikinya adalah dengan menyebut segala kesalahan dan kelemahan setiap dari kami.
Semua menunduk.
Malam itu, semua berubah suhu. Ada yang bertukar watak terus, malah ada yang patah semangat untuk meneruskan kepimpinannya.
Ini bukan cerita mereka tak kuat dan tak larat.
Ini adalah soal sebab dan akibat.
Ada yang mula berminta maaf dari bilik ke bilik. Ada juga yang saya bertegur sapa, tak mahu sebut lagi soal kepimpinan. Yang saya nasihati, ada yang menangis kerana tak sanggup menahannya.
Sedangkan mereka semua pada asalnya orang yang semangat.
Begitulah keadaannya, menyimpan yang meluahkan bukanlah tindakan yang bijak. Melakukan sedemikian adalah orang cara orang yang berlagak.
Berlagak seolah-olah yang tindakannya cukup betul, dan apa yang dikatanya cukup betul.
Sebab, ketika itu yang difokus kesalahan adalah orang lain. Ia takkan berlaku satu situasi yang mana kedua-dua menyalahi antara satu sama lain, melainkan itu satu pergaduhan.
Situasi yang kedua, orang yang memang bersalah, tidak sedar-sedar bahawa dia bersalah. Dalam hal ini, katakan dia tak tahu bahawa dia tak tahu. Ketika anda mula memberitahu, barulah dia akan tahu.
Bagaimana jika anda menghukum tahunya dalam keadaan dia seperti itu?
Memang secara logiknya dia wajar menerima kemarahan dan luahan lahar gunung berapi itu. Bukankah lebih baik membimbingnya mengenal kesilapannya sendiri?
Lainlah jika beberapa kali diberitahu, tidak mahu, maka kaedah yang lain perlu mengetuk si ‘paku’ ini.
CARA MENEGUR
Saya teringat dalam sirah, seorang Badwi yang kencing di kawasan Masjid. Ketika itu ada sahabat yang tak tahan melihat ingin memukul lelaki itu kerana mencemarkan masjid.
Rasulullah melarang.
Nabi s.a.w membiarkan arab badwi tersebut menyelesaikan urusannya. Setelah itu nabi menyuruh sahabat untuk membersihkan kawasan itu dengan air kemudian memanggil badwi itu ketepi. Nabi memberitahu bahawa itu bukanlah tempat untuk membuang air.
Subhanallah.
Pendekatan Nabi itu memberikan satu impak sangat besar. Arab Badwi itu akhirnya memeluk Islam.
Nak dikatakan di sini bahawa walaupun jelas kesilapan itu di mata sahabat dan nabi, pada arab badwi itu tidak salah, sedang dia tidak tahu. Bukan sekadar dia diberitahu, dia kemudiannya merasa mahu, kepada Islam akhirnya dia tuju.
Adalah lebih baik kita menegur dengan pendekatan yang baik. Setiap orang buat kesilapan, dan setiap orang dilatih untuk menjauhi kesilapannya. Ingatlah, jika seseorang itu tidak buat silap, bererti dia tidak buat apa-apa.
Kita dihantar ke sekolah untuk belajar, belajar untuk menambahkan ilmu juga belajar untuk mengurangkan kesilapan. Begitu juga kita yang berada di sekolah kehidupan ini, kita perlu menambahkan amal yang baik dan kurangkan kesilapan.
Jika ada orang lain buat salah silap, mungkin menyakitkan hati kita, jika mampu kita betulkan. Jika tidak abaikan atau lupakan semua yang mungkin menjadikan kita sangsi terhadapnya.
Adakalanya memperbaiki kehidupan di dunia ini dengan hanya kesilapan dan kesalahan sendiri tidak cukup, kadang-kadang dengan adanya orang lain membuat silap cukup mengajar kita untuk tidak mengulangi kesilapan itu.
Raikanlah mereka. Bukankah mereka juga banyak melakukan kebaikan?
MENGAPA PERLU MEMBENCI?
Saya pernah tertanya-tanya, dalam keadaan kita bersosial dan berkomunikasi ini, mengapa jika 5-6 tahun rapat dan baik, tetapi kerana satu kesilapan kata dan kesalahan menghancurkan apa yang dibina begitu lama dalam masa sesaat. Begitu juga, dalam sebuah perniagaan, jika kita mempercayai mereka sekian lama, setelah satu saat ditipu, selama-lamanya kita menjauhkan diri dari bermuamalah darinya.
Mengapa?
Akhirnya saya menemukan jawapannya bahawa sebenarnya hidup kita didominasi dengan sifat kepercayaan yang sangat tinggi. Membina kepercayaan itu mengambil masa yang agak lama, tetapi meruntuhkannya begitu mudah.
Sebab itulah dari Islam saya menemukan kaedah yang terbaik mengubat hakikat ini. Itulah bersangka baik.
Buat apa susah-susah kita memikirkan buruk orang lain, sedangkan kita ada pilihan untuk berbaik sangka?
Teringat saya isu Ustaz Akil Hayy. Beliau merupakan seorang pendakwah yang sangat menarik perhatian masyarakat dari semua umur. Bayangkan bakatnya memikatnya manusia bertahun-tahun ke jalan Islam itu dijatuhkan hanya satu kesilapan yang dimediakan?
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa;
dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Surah Al Hujurat : 12)
KITA HAKIKATNYA MANUSIA INI
Ambil dua helai kertas. Satu kertas tuliskan segala kelebihan dan kebaikan anda. Satu lagi kertas tuliskan keburukan dan kelemahan anda. Tulis sejujur-jujurnya.
Pastinya anda akan mendapati bahawa sebenarnya anda boleh menulis kebaikan dan kelebihan itu cukup sebahagian kertas itu. Tentu sekali yang buruk dan lemah dalam diri anda tidak akan cukup dengan satu kertas. Mungkin jika ditambah satu helai lagi pun masih tidak cukup.
Kita memang penuh dengan lemah, itulah hakikat kehidupan kita. Meskipun sejauh mana kita menuju kebaikan dan pembaikian diri.
Itu yang berlaku di sekeliling kita.
Manusia yang penuh dengan kelemahan.
Jika kita membenci mereka, sesaudara kita yang melakukan kesilapan dengan cara yang mudah, bererti sendiri yang tidak menyukai diri kita, atau lebih patut dikatakan lupa diri. Ingatlah, kita beruntung menjadi hamba yang berbuat silap, sebab itulah Allah maha pengampun.
Nukilan: http://senikehidupan.wordpress.com/