Mahasiswa Perlu Profesional, Jangan Mudah Melatah

Bismillahirrahmanirrahim. Komentar ringkas saya di bawah merujuk kepada satu klip video berkenaan penganjuran sebuah program oleh sebuah NGO, Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M) dengan kerjasama Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Proton, UUM Sintok yang sedang heboh di laman Youtube dan Facebook. Program berkenaan telah diadakan di UUM dan turut dihadiri oleh beberapa orang aktivis PEMBINA UUM.

Tiada komentar panjang dapat saya berikan memandangkan tiada rakaman penuh yang boleh ditonton dan diperhalusi.

  • Nilai profesional dan matang mengawal situasi sepatutnya ada pada semua pihak terutamanya para mahasiswa yang hadir, barisan panelis dan moderator dalam memberi,mengulas dan membalas hujah. Memberi kritikan dan ulasan adalah perlu tetapi mesti kena pada masa dan etikanya. Saya melihat kecacatan pada program ini bermula dengan tindakan tidak profesional salah seorang panelis program tersebut yang cuba memanipulasi salah satu soalan yang diajukan dengan menghalang soalan diajukan, malah memberi jawapan yang tidak matang dan tidak profesional.
  • Bagi saya, walaupun soalan yang diajukan oleh salah seorang hadirin mungkin berunsur politik dan pro kepada pihak tertentu, ia akhirnya kembali kepada peranan profesional moderator dan panelis untuk mengolahnya agar menjadi neutral dan ilmiah tanpa sebarang provokasi.
  • Secara keseluruhannya, saya melihat program tersebut terlampau kuat unsur politik kepartian sehingga menghalang golongan mahasiswa bersuara apatah lagi memberikan pandangan yang telus.
  • Mahasiswa di luar sana pula jangan cepat melatah dan menambah ‘dosa kering’, hanya dengan menonton klip pendek program berkenaan dan membaca ulasan-ulasan orang lain yang hanya bertaraf sumber sekunder dan ke bawah. Ikutlah pesanan Rasulullah s.a.w, “Berkata baiklah atau diam.”

Saya berharap agar nilai profesional dan menghormati hak orang lain untuk memberi pandangan diberikan keutamaan dalam apa sahaja program pada masa akan datang.

Nasihat saya juga kepada ahli-ahli MPP UUM dan badan-badan perwakilan pelajar universiti yang lain, jangan biarkan amanah mahasiswa-mahasiswi yang melantik anda dipinggirkan kerana terpaksa tunduk kepada mana-mana tuntutan pihak tertentu yang berkepentingan. Anda adalah suara-suara lantang kepada mahasiswa dan mahasiswi di universiti anda dalam menjaga kebajikan mereka. Ingat kenapa anda dilantik sebagai ahli MPP.

“Meneraju Arus Mahasiswa”

Fakhruddin Afif bin Fauzi
Pengerusi PEMBINA Kedah
Sesi 2012-2013

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top