Mahasiswa Patut Selami Pengajaran Bulan Zulhijjah dan Ogos

Disaat penulis mula mencoret di artikel ini, pagi pertama Zulhijjah menjelma dengan terang dan indah. Bulan yang sinonim dengan musim haji ini datang bersama pelbagai ujian buat negara tercinta kita, Malaysia.

Apa pengajaran terbesar bulan Zulhijjah dan Ogos yang patut para mahasiswa ambil berat dan cuba aplikasikan dalam hidup?

Bila kita sebut bulan Zulhijjah, akan terbayanglah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail atas seruan Allah SWT. Kita juga akan terkesan dengan kesabaran para Jemaah haji di Tanah Suci Mekah sana. Begitu juga dengan bulan Ogos. Tema pengajaran yang sama kita akan dapat jika kita benar-benar amati. Pengorbanan nenek moyang kita dahulu berjihad demi sebuah kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah. Mereka bermandi darah dan berkerah wang ringgit demi tanah air.

Apa sudah jadi sekarang? Adakah berbaloi segala pengorbanan nenek moyang menyerah segalanya? Adakah semangat Nabi Ismail rela korban nyawa demi menyahut seruan Tuhan yang Maha Esa terserap dalam jiwa kita?

Penulis menyarankan para mahasiswa terutamanya mahasiswa Melayu Islam untuk sahut seruan berkorban dan berani berjihad demi Malaysia tercinta. Mahasiswa patut keluar dari kelompok kampus dan mulalah aktif bersama masyarakat. Penyakit turun-temurun yang hidup hanya katil, kuliah, kafe dan Korea patut dihapuskan serta-merta. Sungguh tidak lagi relevan penyakit itu.

Melihatkan keadaan negara terkini yang amat sesak dan makin hancur identiti negara Islamnya, mahasiswa harus sedar yang keintelektualan kita dan semangat muda belia kita amat diperlukan untuk mempertahan negara dan bangsa daripada terus dijajah dalam dan luar. Idea bernas kita, kepetahan berhujah kita, tenaga muda kita dan masa lapang kita semua mesti disalurkan untuk agenda memelihara negara dan seisinya.

Sungguh, negara mendambakan kesatuan para belia untuk menjadi benteng di seluruh sempadan negara. Cakna dengan musuh yang datang menyerang. Bersedia untuk serang kembali. Serang kembali, bukan berdiam diri mematikan diri. Sikap mahasiswa yang tidak acuh pada masalah sosial dan serangan pemikiran yang bertubi-tubi kepada masyarakat perlu ditukar 360 darjah.

Bagaimana para liberal membina tokoh belia mereka dan dihantar ke hadapan, begitulah kita harus bermain di pentas yang sama. Belia beragenda yang sanggup korban hidup senang dan lapang seperti mahasiswa lain lah solusi keamanan negara. Tiada yang lain.

 

Nur Farhana Bt Zali
Ketua Beliawanis Pembina Melaka Tengah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top