Aktivisme Mahasiswa yang malap pada era kini sangat terkait dengan kesan pembodohan dan percaturan terhadap mahasiswa.
Di satu pihak, majoriti mahasiswa dicaturkan untuk menjadi tidak lebih daripada kehidupan 3K – kampus, kantin dan katil.
Di satu pihak lain, mahasiswa semudahnya dicaturkan oleh pihak-pihak luar atas kepentingan masing-masing.
Soalan saya mudah terhadap golongan mahasiswa yang berkampung di depan parlimen ini, di mana anda ketika isu-isu lain yang melibatkan satu pihak lain dalam parlimen?
Bukanlah kritikan saya ini bermakna saya menyokong kekalutan yang telah dimulakan oleh pihak yang dibantah, namun sebagai mahasiswa seharusnya segala pandangan bersifat seimbang dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Mahasiswa kini seharusnya melihat kembali perjalanan amal aktivisme mahasiswa seawal era 30-an dahulu yang menyaksikan mahasiswa era itu memainkan peranan besar dalam pergerakan kiri dan kanan perjuangan negara. Susunan amal yang konstruktif membawa mahasiswa menjadi watak utama dan pengimbang dalam perjalanan perjuangan era ketika itu.
Aktivisme mahasiswa perlu dikaji dan digali semula dengan contoh-contoh yang lebih menggambarkan kualiti mahasiswa itu sendiri, berbanding dimomokkan dengan semangat jalanan yang banyak dirujuk dengan pergerakan sosialis mahasiswa era 70-an.
Akhir kata, mahasiswa seharusnya lebih bijak dalam menyampaikan idealisme mereka. Masyarakat akan pasti bersama-sama dalam perjuangan mahasiswa yang mengangkat tinggi kualitinya seperti mana mahasiswa negaea era 30 & 40-an dahulu.
Nor Aizat Rahimi Rostam Rahimi
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
PEMBINA