Mahasiswa Islam perlu bersatu dan main peranan tangani konflik Syria, Myanmar

Gombak, 18 Julai: Tiga orang mahasiswa PEMBINA mewakili mahasiswa Malaysia ke ‘Mesyuarat Tergempar Mahasiswa Menangani Konflik Syria Myanmar’. Mereka adalah Muhammad Uzair Izzat Amir Muhammad (JK Politik Kampus Pusat), Muslim Abdullah Zaik (JK Aktivisme Mahasiswa Gombak) dan Muhammad Hazizie Sulkafle (Setiausaha UIAM Gombak Chapter). Mesyuarat yang bertempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak itu, telah dianjurkan oleh Institut Forum Mahasiswa (I-Forsis) bagi membincangkan isu umat Islam di Syria dan Rohingya di Myanmar.

Dalam perjumpaan tersebut, Uzair memuji penganjuran mesyuarat seperti ini dan menyifatkannya sebagai permulaan yang baik untuk membina ukhuwwah di antara mahasiswa-mahasiswa Islam dari pelbagai negara. “Imam Hasan Al-Banna meletakkan asas perkenalan (ta’aruf) terlebih dahulu sebelum kita saling memahami (tafahum) dan saling tolong-menolong (takaful),” ujar beliau yang bertindak sebagai jurucakap PEMBINA.

Dua orang mahasiswa antarabangsa kedua-duanya dari Syria dan Myanmar turut hadir berkongsi penderitaan dan kisah sebenar yang berlaku di negara masing-masing.

Mesyuarat tergempar ini diwakili oleh wakil-wakil mahasiswa dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Syria, Kemboja, Thailand, Indonesia, Palestin dan Myanmar. Malaysia diwakili oleh saudara Uzair dari PEMBINA dan seorang dari Ma’ruf Club IIUM iaitu saudara Aizat. Wakil PEMBINA yang lain bertindak sebagai pemerhati.

Di akhir sidang mesyuarat, para perwakilan bersepakat pada empat fokus utama dalam merangka pelan tindakan jangka masa pendek dan jangka masa panjang iaitu kesatuan umat Islam, kesedaran, kutipan derma dan liputan media. Satu jawatankuasa bertindak antarabangsa juga akan ditubuhkan untuk menjadi medan perbincangan dan pelaksanaan aktiviti kesedaran khususnya kepada mahasiswa-mahasiswi di UIAM.

Uzair di dalam mengulas salah satu pelan tindakan jangka masa panjang iaitu kesatuan umat Islam, menegaskan bahawa umat Islam perlu menyedari kepentingan membina kesatuan dan perpaduan di atas asas Islam, membina jatidiri individu Islam yang kuat dan menolak penyelesaian luar seperti kuasa-kuasa besar dari barat mahupun timur.

PEMBINA berharap, seruan yang mulia ini bakal disambut oleh mahasiswa Islam di Malaysia dengan penuh kesedaran, keinsafan dan penuh bertanggungjawab.

 

Media PEMBINA

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top