Oleh: Nadhratul Hana’ Binti Mohd Soberi, JK Pemikir Khidir Institute
Setelah 64 tahun kita kecapi kemerdekaan, pelbagai kesenangan telah kita dapati, pelbagai cabaran telah kita harungi dan pelbagai kejayaan telah kita capai. Namun, di sebalik sebuah kemerdekaan ini, ada erti merdeka yang semakin lumpuh hari demi hari.
Apabila menyebut tentang kemerdekaan, rata-rata masyarakat menafsirkan merdeka dengan bebasnya sebuah negara daripada cengkaman penjajah. Pandangan masyarakat ini juga bertepatan dengan definisi merdeka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat yang menyatakan bahawa istilah merdeka ialah bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain. Namun, apakah erti merdeka yang semakin lumpuh?
Jika kita melihat secara umum, kemerdekaan negara kita masih kekal utuh dan tiada lagi era penjajahan seperti apa yang berlaku pada tahun 1511 sehingga 1957. Tetapi, apabila kita meluaskan skop kemerdekaan kepada sudut pemikiran, kita akan melihat wujudnya jurang kekurangan dan dapat memahami kelumpuhan erti merdeka yang sebenar. Kemerdekaan yang lumpuh adalah apabila kita merdeka secara zahir, tetapi masih terpalit dengan pemikiran dan gaya hidup yang bertentangan dengan agama Islam. Bahkan, kita masih lena dan selesa hidup di bawah percaturan musuh tanpa ada kesedaran untuk bangkit mempertahankan identiti kita sebagai seorang manusia beragama Islam.
Antara contoh senario yang kita dapat lihat pada hari ini ialah remaja Islam terutamanya Melayu terlalu mengikuti tren yang boleh meruntuhkan maruah sebagai seorang Muslim seperti menari di media sosial, mencarut dan mengecam orang dengan bahasa yang kesat. Senario ini membuktikan bahawa jiwa mereka bukanlah jiwa yang merdeka, tetapi masih bergelut dengan penjajahan era baharu iaitu penjajahan berbentuk pemikiran.
Menurut Prof Engku Ahmad Zaki Ahmad Alwi yang juga merupakan profesor di Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNiSZA, merdeka bukanlah sahaja kebebasan daripada sudut penjajahan, namun kebebasan manusia juga dinilai daripada kebolehan untuk menikmati kehidupan sesuai fitrahnya yang menjadi sifat asasi manusia selaras matlamat sebenar kejadian manusia.
Di dalam Surah Adz-Dzaariyat ayat 56, Allah berfirman, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Melalui ayat ini, kemerdekaan manusia yang sebenar adalah apabila mereka berjaya mengembalikan diri mereka kepada fitrah keimanan dan jauh daripada kemaksiatan. Pandangan Prof Engku Ahmad Zaki boleh disokong dengan sejarah Islam sendiri ketika sahabat nabi, Rib’i bin Amir menemui panglima Rustum.
Rib’I bin Amir diutuskan oleh Saad bin Abi Waqas untuk berurusan dengan Panglima Rustum sebelum Perang Al-Qadisiyyah bermula. Apabila ditanyakan kepada Rib’I tentang tujuannya menemui Panglima Rustum, beliau berkata:
“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasannya, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka Dia membangkitkan kami dengan agama-Nya untuk kami seru mereka kepadanya. Maka sesiapa yang menerima perkara tersebut, kami akan menerimanya dan pulang meninggalkannya. Tetapi sesiapa yang enggan, kami akan memeranginya selama-lamanya sehinggalah kami berjaya memperoleh apa yang dijanjikan Allah SWT.”
Melalui ucapan ini, kita dapat memahami bahawa perspektif merdeka menurut sahabat Rasulullah s.a.w ialah kejayaan seseorang yang lari daripada perhambaan manusia dan kembali menjadi hamba Allah.
Sedang kita asyik mengejar kemewahan dan kemajuan teknologi dunia, kita sendiri terperangkap di dalam penjara ideologi-ideologi musuh yang mana tujuan mereka untuk menjauhkan kita daripada fitrah keimanan kepada Allah SWT. Inilah erti merdeka yang palsu. Tanpa kita sedar, ideologi-ideologi dan percaturan musuh secara halus inilah akhirnya melumpuhkan kemerdekaan sebenar kita sebagai hamba Rabbani dan menjadikan kita hamba dunia yang akhirnya binasa.
Bagi menzahirkan rasa kesyukuran kita terhadap kemerdekaan selama 64 tahun ini, kita sepatutnya bermuhasabah kembali akan tahap keimanan kita kepada Allah SWT yang telah memberikan kita nikmat Iman dan Islam dalam menjalani kehidupan seharian.
Bukanlah seseorang itu merasai merdeka tanpa mengecapi kemerdekaan hakiki iaitu kembali kepada Allah, Rabbul Izzati.
RUJUKAN
2- https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=merdeka
3- https://www.sinarharian.com.my/article/45380/KOLUMNIS/Erti-merdeka-yang-sebenar
4- https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2019/08/601603/fahami-erti-kemerdekaan-berdasarkan-islam