Mahasiswa merupakan golongan yang hampir dengan displin ilmu dan hujah-hujah akademik. Mereka didedahkan kepada kajian-kajian yang menepati keperluan semasa. Namun, masih ada dikalangan mahasiswa yang terjebak dengan kepercayaan khurafat terutama apabila menghampiri musim peperiksaan.
Dalam kehidupan seharian, kita sebenarnya senantiasa melalui dua tarikan, samada tarikan Iman ataupun tarikan Hawa Nafsu. Maka orang yang cerdik dan berintelektual tinggi akan memilih jalan keimanan kerana pegangan iman menjanjikan kesenangan jangka masa panjang. Manakala hawa nafsu pula hanya mempermainkan mereka yang inginkan kesenangan dengan cepat tetapi tidak berpanjangan. Beruntunglah bagi mereka yang memilih jalan keimanan dan rugilah bagi mereka yang memilih jalan hawa nafsu.
Tekanan peperiksaan yang melampau kadang-kala menyebabkan seseorang mahasiswa itu hilang neraca dan mula menggugat pegangan akidahnya. Hasil daripada Inferior ini mereka mula meletakkan keperluan keputusan peperiksaan yang cemerlang itu melebihi kepentingan menjaga akidah. Maka sebenarnya mereka telah GAGAL peperiksaan akidah dan menanti keputusan cemerlang yang belum pasti.
Kepercayaan khurafat ini tidak terhad kepada musim peperiksaan sahaja, bahkan dalam semua aspek kehidupan. Amalan-amalan yang masih ada seperti mandi bunga untuk bertemu jodoh, pemaikaian susuk untuk kekal cantik, tangkal untuk kebal berlawan dengan musuh dan sebagainya telah menyelinap masuk ke dalam mahasiswa. Kejadian seperti ini sebenarnya membuktikan benteng akademik tidak dapat menahan serangan khurafat, hanya benteng akidah yang mampu menyelamatkan diri dari terus terjebak kepada amalan yang dimurkai Allah swt.
Maka menjadi satu tanggungjawab sebagai mahasiswa muslim supaya kita menasihati dan membanteras amalan khurafat ini dari terus berleluasa. Hidupkan budaya berbincang dikalangan mahasiswa mengenai kepentingan menjaga akidah dan serangan yang berlaku pada masa kini. Mulakan promosi akidah yang sohih melalui medium yang ada seperti facebook, twitter, forum, poster dan lain-lain.
Mulakan dengan diri,
Andalah pencetus perubahan.
Muhammad Uzair Izzat Amir Bin Muhammad
Jawatankuasa Aktivisme Mahasiswa,
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)