Lelaki Separa Gila


Aku tidak pasti saat ini kewarasan masih mahu setia bersamaku atau ia sudah sebelah berpaling dari mendampingiku. Hampir setiap perkara yang aku kerjakan tidak aku membuatnya melainkan dengan hati dan jiwa yang kosong.

Kau mungkin boleh melihat aku tekun dihadapan komputer menaip itu-ini. Namun, hakikatnya aku juga hampir-hampir tidak mengerti akan apa yang sedang aku lakukan! Apa yang sedang aku tekuni? Untuk apa semua huruf dan nombor yang sedang kugabung-jalinkan ini?

Kau juga mungkin melihat aku sedang sibuk mengejar bola bulat yang berguling-guling pantas di atas padang. Aku rasakan sepertinya aku sedang mengejar sesuatu yang hilang dari diriku, namun tak kunjung dapat. Bersinggah ia dari satu kaki ke kaki yang lain. Malangnya ia tidak pernah sudi bersinggah di kakiku. Mungkin kerana aku memang kaki bangku. Atau sengaja Tuhan mahu memperlihatkan tamsil kehidupan yang sedang kulalu.

Aku kehilangan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu sesuatu itu merujuk kepada yang mana satu. Memeningkan bukan? Apa ya? Seperti itulah pusingnya kepalaku sekarang.

Terlalu banyak yang sedang bermain dalam benak. Em… Mungkin kata kerja ‘bermain’ sudah terasosiasi dengan hal-hal yang positif dan menggembirakan. Biarku gantikan dengan perkataan lain agar dapat lebih menggambarkan kondisi sebenar. Em…ha, terlalu banyak yang sudah berulat dalam benak. Busuk, lembik, berair, dan menjijikkan semestinya. Semua itu berupa masalah yang acap kali aku fikirkan, tapi asyik berjumpa dengan jalan buntu. Seolah-olah tiada putusan. Tiada akhiran.

Masalah utama bagiku sekarang adalah pengajianku di fakulti ilmu hisab.

Aku memang hidup dengan sejarah hitam yang panjang, hampir sepanjang umurku. Dan awan hitam seakan tidak kunjung pergi itu namanya matematik. Suatu bidang ilmu yang tidak pernah aku nafikan kepentingannya. Malah, dahulu guru Matematik semasa aku bersekolah di kampung pernah menyebut:

“Siapa yang menguasai ilmu Matematik, dia akan berjaya dalam hidup!”

Dan kata-katanya memang terbukti benar. Tidak ada manusia yang mampu meloloskan diri hidup di luar keterlibatan dengan nombor yang bidang kajian tentangnya bernama matematik. Apa sahaja urusan dalam dunia ini tidak boleh tidak akan bersangkut dengannya.

Tetapi matematika yang menyangkuti umat awam tidak sampai ke peringkat mengkaji teorem binomial, mentahkikkan aksiom kedualan, aksiom luar logik, integrasi bagi mengira ralat dalam pengawalan sistem, atau kamiran untuk mendapatkan resonans epikadmium!

Hal-hal yang bunyinya jelek itu memang penting dan menyumbang besar dalam pembangunan tamadun manusia hari ini. Tidak dinafikan. Malah masih berbaki dengan jumlah yang sangat besar yang masih belum disebutkan di sini. Atau sebetulnya tidak tersebutkan.

Tetapi tidak semua yang perlu mengetahui dan mempelajarinya. Dan aku sekarang semakin yakin  bahawa aku tergolong dalam orang yang tidak layak mengetahuinya!

Mengapa tidak layak?

Kerana ia bukan daripada bahagian yang aku cintai dalam hidup ini. Sungguhpun ia sangat hampir dan mempengaruhi setiap inci kehidupanku, namun aku tidak layak kerana jiwaku tidak pernah dapat bersangkut sama dengannya. Kau tahu kawan apa jadinya apabila manusia dipaksa pada sesuatu yang tidak dicintainya?

Tentu sahaja kau tahu bukan? Implikasinya: devastating.

Sepanjang perjalanan hidup ini ada beberapa mutiara yang sempat kukutip berbicara soal ilmu, pengajian dan impaknya. Pertama, pengajian yang seseorang itu ikuti idealnya perlu melahirkan seorang ‘amilin, atau orang yang beramal dengan ilmu yang dipelajarinya. Kedua: ilmu yang disebut ilmu itu adalah kebenaran yang kuat tersemat dihati, dan tidak diragukan lagi. Jika ada sekelumit ragu, maka itu bukan namanya ilmu. Ketiga: ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang mendatangkan kegerunan dan rasa takut kepada Allah.

Paling malang, untuk ketiga-tiga ciri itu tidak ada satupun yang pernah aku penuhkan melalui bidang pengajianku sekarang. Mungkin banyak orang boleh memberikan khutbah dan mencurahkan nasihatnya kepada aku dalam mendepani isu ini. Kawan, aku sudah, pernah dan selalu cuba untuk  memasukkannya ke dalam minda dan hatiku. Dan aku rasa sudah hampir lima tahun ia mendiam denganku. Tapi ia tidak pernah berbetulan dengan realiti.

Maka untuk apa lagi aku menunggu di sini? Mengelar masa hidup-hidup? Menjaga hati lain-lain manusia?

Bahkan aku menjadi semakin liar. Prinsip ketulusan, kejujuran, serta keikhlasan dalam mencari ilmu yang selama ini aku genggam erat perlahan-lahan terlerai atas alasan primitif; terpaksa kerana ketololanku sendiri. Hinggakan aku memanipulasi pengetahuanku yang dangkal berkenaan qawa’idul fiqhiyyah. Jika ada dua kemudaratan, pilih yang ringan antara duanya. Daripada gagal, lebih baik aku menipu dalam segala helai tugasan yang diberikan kepadaku. Aku perlahan-lahan belajar menjadi penipu profesional, bermuka-muka, dan kadangkala terasa seperti seorang munafik besar! Mungkin sedikit lagi boleh mengalahkan reputasi Ayah Pin!

Apa maknanya menjadi seorang mahasiswa dengan segala macam sifat-sifat mazmumah ini? Adakah aku mahu dilahirkan menjadi golongan pekerja kolar putih dengan hati hitam?

Malas sepanjang waktu dan tidak bermotivasi memang simptom tipikal pada hal-hal yang kita lakukan tetapi tidak dengan hati yang rela dan cinta. Kau pun tahu kawan, malas semasa pengajian menghasilkan keputusan yang bagaimana…

Teruk dan buruk.

Memang, tidak pula sepanjang titik yang menyambung cerita hidupku matematik menjadi masalah. Dalam tahun-tahun akhirku di sekolah menengah, aku pernah mendapatkan gred akhir dalam deretan gred yang ada. ‘E’, atau bunyi lainnya ‘GAGAL’ atau sebutan lingua franca-nya ‘FAIL’! Aku lantas dipanggil guru matematikku, berbicara soal ini, menyatakan kebimbangannya, mengemukakan cadangan solusinya dan nah, dalam peperiksaan selanjutnya, aku langsung mendapatkan A1!

“Genius!” Deras meluncur puji dari mulut pembimbing ilmu hisab itu. Aku jadi tersipu-sipu.

Tapi kawan, aku merasakan bahawa kejayaanku itu bukan kerana aku sudah berjaya memecah tempok pemisah dan membina hubungan intim dengan angka-angka dan set operasinya itu. Sebaliknya, aku hanya menguasai tertibnya. Soalan itu tidak akan dilarikan daripada satu garisan prosedur solusi yang serupa. Semuanya iras-iras, sama sahaja. Kerana itu apabila ilmu ini menginjak dewasa, ia bahkan bertambah gesit, dinamik dan agresif hingga tidak tertinggal satu pun celah untuk aku memahaminya. Orang kata:

“Ubah cara belajar!”

Tetapi aku terlalu dungu untuk arahan semudah itu.

“Banyak buat latihan!”

Tetapi aku terlalu malas untuk menggerakkan tulang empat kerat bagi memenuhi tujuan itu.

“Kau bahkan menzalimi rakyat! Wang yang membiayai pengajianmu itu hanya menunggu dibazirkan kau sahaja!”

Makanya? Apa di sana ada jalan untuk aku keluar? Di mana? Jika ada tolong tunjukkan, tolong bawakan aku kepadanya! Aku ingin keluar dari himpitan belenggu ini. Aku ingin lari ke daerah di mana aku boleh meladeni bakat yang sedia digilap dalam diri!

Sunyi…

Tidak berjawab. Atau untuk mencari penyelesaiannya sahaja aku sudah jadi malas.

Aku merasakan bahawa sebahagian daripada semangat, kelincahan, kekuatan dan idealisme yang aku miliki semasa di bangku persekolahan dahulu sudah cedera parah, nyawa-nyawa bilis, hanya menunggu mati tergilis di atas landasan bernama universiti.

Lebih menghibakan, rasa malas dan tidak termotivasi ini terincut-incut, mulai membarah menjadi benci, marah, dan dendam yang tak terlunaskan. Jika tidak ada cahaya yang bernama iman di dalam hati, mungkin, kaedah ke-9 yang disarankan dalam buku “How to Kill Yourself Effectively” sudah aku laksanakan. Satu lagi impian haram dan bodoh yang pernah kumiliki.

Sepanjang pengamatanku, ada beberapa hal yang aku kira menjadi tunjang kepada permasalahan ini. Aku akan cuba huraikan walaupun sekarang ini, masih belum dapat dipastikan sama ada kewarasan yang sedang memimpin diri atau apa.

Pertama: Diri Sendiri.

“Kalau tahu membenci Matematik, mengapa kau berada di sini?” tanya seorang sahabat dengan ikhlas.

“Sebab aku seorang yang bodoh. Aku berbuat sesuatu dengan harapan dapat menggembirakan hati orang lain, biar keluarga berbangga mendapatkan anak yang lahir sebagai ahli matematik. Bukan banyak orang Islam yang cemerlang dengan bidang maha penting ini. Kemudian aku hanya menjadi kambing yang meragut rumput-rumput kering, mati diracun, menghadapi malnutrisi dan hanya menunggu hari untuk mati!” Aku mengambil nafas panjang.

“Aku rasa itulah satu-satunya peluangku. Ada pihak yang sudi menajaku ke kursus ini, tidak yang lain. Bukan senang nak dapatkan penaja. Ini dah dapat, nak biarkan begitu sahaja? Hanya penaja ini tidak menaja dalam bidang yang kau minati. Itu sahaja. What’s the big deal? Belajar sajalah. Lain-lain semua ditanggung. Maka aku harus memanfaatkannya meskipun dalam erti kata yang sebenar aku perlu membazirkannya. Hanya kerana aku seorang tolol,” jawabku ikhlas.

Aku seorang yang tidak banyak bercakap dan sangat malu untuk bertanya. Aku maklum cabang nombor satu daripada pohon tolol ialah seseorang itu tidak tahu apa yang tidak diketahuinya. Kemudian, aku pula tidak betah untuk bertanyakan apa-apa. Apatah lagi cabang itu dipenuhi ranting-ranting kering berduri yang namanya ‘malu tak bertempat’. Bagai jatuh ke dalam perigi buta; dalam, gelap, air pun tiada. Yang dapatnya cuma sakit dan malu seluruh muka.

Rasa malu itu juga menjadikan aku takut untuk mengambil langkah radikal, seperti meninggalkan universiti dan terus bekerja dalam lapangan yang aku minati. Seperti yang pernah dilakukan Bill Gates, Steve Jobs atau diperlakukan kepada Einstein.

“Budak tak kenang budi, orang lain mati-matian nak masuk universiti, kau senang-senang buang kerusi, angkat kaki, lari!”

“Kau tahu, dia ni tak habis mengaji dulu…bodoh agaknya…”

Aku takut dikata begitu. Tetapi aku sedar bahawa dengan kondisi semasa, aku hanya memperbodohkan diri, berhenti dan berdiam diri di satu tempat yang aku tahu tidak akan pernah dapat aku apa-apakan atau meng-apakan aku (pada apa-apa yang menjurus ke arah kebaikan).

Aku tidak pernah sekelumit pun terniat untuk menjana sumber keewangan hidupku dengan menjadi ahli matematik. Sumpah tak pernah. Malah dalam rencana hidupku, terkehadapan aku mahu memiliki perniagaanku sendiri yang tidak langsung mempraktis apa-apa yang kudapatkan di universiti ini.

Maka apa gunanya lagi aku di sini? Aku juga tidak tahu-menahu. Mungkin benar aku seorang tolol. Atau sahaja aku sudah separa gila.

*  *  *  *

Dalam rajut umur yang semakin berselirat ini, aku melihat satu lagi fenomena aneh yang cuba merampas kewarasanku pergi. Lambakan testosterone. Ini sangat menyangkut dan terus boleh aku kategorikan sebagai asbab seterusnya.

Kedua: Nafsu.

Lelaki selalu bangga dengan rasional akalnya yang konon melebihi emosi. Saat mahu menunjuk taring, lelaki akan merendah-rendahkan wanita dengan hujah dangkal seperti dimaknakan ayat sebelum ini. Walhal satu perkara yang banyak lelaki terlepas pandang; sebahagian daripada kerasionalan mereka sebenarnya dipegang wanita!

Aku rasa hari ini lebih banyak lelaki yang tertindas dan didera oleh wanita dan penindasan itu akhirnya memakan wanita kembali sebagai mangsanya. Kitaran hodoh ini dibingkai oleh sejenis elemen yang membina manusia, syaitan dan binatang. Namanya nafsu.

Aku juga jadi bingung mengapa sampai hari ini tidak ada lagi organisasi yang ditubuhkan untuk membela hak asasi lelaki. Mengapa perlu? Kerana ada wanita-wanita yang saban hari mencabul mata-mata kami!

Sayangnya, jarang-jarang orang memandang ia sebagai perbuatan keji yang menggoyahkan stabiliti ummah. Yang mereka tahu bila dirxxa, dirxxxl, dibuxxh, itulah namanya penindasan. Walhal itu sebenarnya adalah impak daripada sejenis maksiat yang dihalalkan atas nama menjaga hak asasi manusia. Hak peribadi.

“Suka kamilah nak pakai apa. Ini body kami!”

Aku suka mendengarkan ulasan seorang ‘alim berkait isu ini. Pendedahan aurat yang melata hari ini adalah satu bentuk sexual harassment terhadap golongan lelaki. Namun tak semua mahu ambil peduli. Sebab kebanyakannya mencintai apa yang sedang di’nikmati’. Pemandangan haram yang akan membakar nafsu syahwatnya hingga menggila sampai dia berlaku gila pada manusia lain dan lebih malang lagi mangsanya adalah wanita sendiri. Namun manusia memang keras kepala. Hingga ada yang memberi komentar:

“Takkan kerana lelaki tak mampu nak jaga anu-nya, kami pula yang nak kena tutup sini-sana?!” soal seorang wanita pro-feminisme.

Jelek sungguh tohmahan itu.

Bagaimana wanita-wanita ini boleh mengharapkan agar tidak diganggu sedang mereka dengan sengaja menternak para pengganggu? Menyalakan api  syahwat lelaki secara massa?! Seorang sahaja wanita yang berpakaian ala-kadar, bisa menggebukan nafsu binatang dalam diri seribu lelaki. Jika ditolak mereka yang beriman dan beramal dengan ayat-ayat Allah, mungkin berbaki lagi 998 kalau tidak 999.

Mereka seolah-olah menghunuskan mata pedang ke leher sendiri. Dan hari ini aku hendak menjadi jurucakap kaum lelaki,  memberi tahu bahawa daerah asasi kami dicerobohi! Mana badan pembela hak asasi?! Mengapa tidak dihukum sahaja mereka yang ganas menjajah ini?! Apakah yang dinamakan hak individu itu dipunyai wanita sahaja?  Jika begitu, feminisme adalah gerakan female-chauvinist, bukan penyamarataan hak seperti yang digembar-gemburkan.

Ah, manusia yang memusuhi Tuhan gampang sahaja mendapatkan kawan bernama setan!

Hal inilah yang akhirnya menyangkut dengan soal kelembapan akal dan hilangnya waras seperti yang kita bicara di awal waktu tadi.

Aku masih kuat mengingati pesanan seorang ‘alim.

“Ilmu itu adalah cahaya. Maksiat pula adalah kegelapan. Cahaya dan kegelapan itu tidak bisa bersatu. Jika kau mahu cahaya datang, kau mesti biarkan kegelapan itu pergi!”

Dan maksiat-maksiat seperti ini, berkumpul dipelupuk mata saban hari, hingga tanpa dipaksa membawa kepada perbuatan yang lebih tinggi tingkatan dosanya, menjadikan hati gelap, suram, kelam, gundah-gulana, resah, gelisah dan akhirnya tertutup buta atau lebih parah lagi mati.

Dan aku hampir-hampir buta dibuatnya.

Kemalasan, kehilangan motivasi, kebobrokan dalam akhlaqul kariemah yang cuba dipupuk sekian lama adalah hasil daripada pertumpukan semua karat-karat ini. Aku terdedah tanpa ada sebarang benteng fisik, dan aku juga terbanting hingga hampir hilang kekuatan untuk berhadapan dengannya.

Wanita-wanita yang tidak tahu menghargai kebebasan orang lain (untuk menjaga kesucian hati dan jiwa) tidak layak untuk bercakap tentang kebebasan dirinya sendiri!

Aku juga berpandangan ada pindaan yang perlu dibuat pada Akta Anti Pemerdagangan Manusia. Pindaan 2010 boleh memuatkan larangan mengeksploitasi tubuh badan wanita dalam agenda kapitalis dan materialis. Hukuman denda dan penjara bagi mereka yang terlibat dalam memperdagangkan aurat dan jelita untuk mendapatkan wang berjuta-juta.

Aku berdoa kepada Allah agar Dia menghantarkan untukku, hambaNya yang hina-dina ini, perisai yang diperbuat daripada darah dan daging, yang kuat membalut mutiara iman di dasar hatinya. Insan yang bisa membuatkan bidadari syurga cemburu kerana solatnya, puasanya dan ibadah yang lainnya. Agar dapat diri ini berasa lebih tenang dan tenteram dan lebih terpelihara daripada segala noda dunia hingga lebih mampu berhadapan dengan segala macam pancaroba.

Berangan lagi.

Kau tahu kawan, dengan cabaran ini aku bersyukur kerana ia menjadi identifikasi paling pas yang aku adalah lelaki normal. Paling tidak dari sudut biologi dan fisiologinya. Namun aku bukan sekadar itu. Aku juga jasad, aku juga roh, aku juga nafsu, aku juga hati. Yang normalnya mungkin dua, jasad dan roh, tinggal lagi dua yang tergila-gila menggila. Jika ada yang menyanggupi untuk mendamaikan apa-apa yang hampir berantakan ini, aku akan sangat-sangat berterima-kasih kepadanya. Kerana kadangkala aku sendiri tak ketahuan akan apa yang boleh lagi dilakukan untuk menahan!

Kau tahu kawan, dalam mengukur kewarasan, ½ adalah nisbah paling jauh boleh dijejaki sebelum benar-benar menjadi 1/1 gila. 1 lazimnya tidak ditulis di hadapan mana-mana angka dalam kerana pekali ini menghasilkan nombor yang sama dengan nombor yang didarab kepadanya. Meski jika ½  menjadi ¾ sekalipun bermakna seseorang itu sebenarnya sudah hilang kewarasannya. Tak senter.

Agaknya kau fahamkah apa yang cuba aku sampaikan ini kawan? Tak mengapa, orang separa gila tulis memang sepatutnya hanya difahami setengah sahaja. Setengah lagi biar tinggal untuk orang lain kawan.

Sekali lagi, kau ni siapa ya?

Dipetik daripada; http://lensahati.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top