Langkah Kita Bermula Ramadhan Ini

Ramadhan yang dinantikan telah menjelma. Tetamu yang singgah tidak lama. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita. Belum tentu Ramadhan tahun depan kita bersua dengannya. Alhamdulillah, Allah swt izinkan kita melalui bulan yang penuh barakah ini sekali lagi walaupun kita sendiri tidak pasti sama ada akan sampai ke penghujungnya atau tidak. Namun kesempatan yang diberikan oleh Allah swt pada kali ini sewajarnya tidak kita sia-siakan begitu sahaja.

Sebagai belia yang masih diberi kekuatan tubuh badan dan bebas bergerak ke mana juga, adakah kita akan membiarkan usia yang tidak akan berulang ini berlalu begitu sahaja? Pernahkah kita melihat kanak-kanak yang bermain dan berlari dengan ceria dan gembira, suatu masa dahulu adalah kita. Namun sekarang, kita tidak boleh lagi beraksi seperti mereka. Pernahkah kita melihat seorang tua yang sangat sukar untuk bergerak, bertongkat dan kekadang terpaksa dipimpin, perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke masjid dengan seribu satu kepayahan? Mungkinkah itu akan terjadi kepada kita juga 20 atau 30 tahun akan datang?

Ayuh para belia, kita susun langkah pertama agar langkah-langkah seterusnya akan menyusul dan membawa perubahan yang bermakna dalam hidup kita. Tekadkan azam untuk membentuk jati diri belia muslim sejati. Jati diri yang berpaksikan kepada agama. Jati diri yang berlandaskan kepada syariat dan berpandukan kepada kitab Allah swt serta sunnah Rasul-Nya. Jati diri inilah yang membakar semangat Sultan Muhammad Al Fateh dalam usia 22 tahun memimpin tentera untuk menakluki Kota Konstantinopel kerana beliau benar-benar yakin akan janji Rasulullah saw yang bermaksud:

“Kota Constantinople akan ditakluk di bawah seorang lelaki. Sesungguhnya pemerintah yang terbaik adalah pemerintahnya dan tentera yang terbaik adalah tenteranya.” (Musnad Imam Ahmad)

Imam Hassan Al Banna dalam satu risalahnya pernah menukilkan bahawa sesuatu gagasan itu akan membuahkan hasil sekiranya 4 ciri ini dipenuhi iaitu rasa keyakinan yang kuat terhadap gagasan yang dicita-citakan, ikhlas dalam memperjuangkannya, bersemangat tinggi untuk merealisasikannya dan kesediaan untuk beramal dan berkorban untuknya. Kesemua ciri ini ada dalam diri seorang yang bergelar belia.

Justeru, usah berlengah lagi wahai para belia. Masih ada kesempatan di hadapan kita untuk merubah dan membentuk jati diri yang diharapkan oleh bangsa dan agama ini. Mulakanlah langkah pertama dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Wassalam.

Mohamed Ali Saip
Pengerusi PEMBINA Kedah

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top