KUALA LUMPUR, 27 Nov – “Kuala Lumpur Summit bakal mengubah realiti semasa yang dicipta Barat,” tegas Ahli Jawatankuasa Pusat PEMBINA ke majlis pembukaan Kuala Lumpur Summit, saudara Eqwan Roslan.
“Dunia hari ini dicaturkan kuasa-kuasa besar dan negara-negara Islam yang mengambil model demokrasi Barat telah gagal kerana ia digerakkan masyarakat yang tidak faham kerangka dan limitasi demokrasi. Ucapan Tun Dr. Mahathir adalah tepat dan tema persidangan KL Summit ini diyakini dapat merungkai mengapa hal ini terjadi,” kata beliau ketika mengulas ucapan pembukaan oleh Setiausaha Agung KL Summit, Dr Abdul Razzaq dan ucaptama oleh Tun Dr. Mahathir.
“Mahasiswa selaku pemimpin masa depan negara perlu memperluas kerangka pandangan politik mereka dan tidak terperangkap dalam permainan politik kepartian yang sempit agar tidak dicaturkan kuasa-kuasa hegemoni Timur dan Barat. Tempoh mahasiswa di universiti adalah masa yang baik untuk membina kerangka pandangan luas dan ini dapat dicapai melalui pembacaan, diskusi dan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan kesarjanaan.”
Kuala Lumpur Summit diadakan di Hotel Istana bermula 27 – 29 November dan dihadiri wakil pemimpin-pemimpin Islam dari beberapa buah negara. Tema KL Summit pada tahun ini adalah “The Role of Democracy in Maintaining Peace and Stability” dan dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Wartawan: Aizat Farhan