Kembalikan Potensi Belia

Fokus

Dalam kesempatan yang terhad ini saya mulakan perkongsian dengan terlebih dahulu mengucapkan ribuan terima kasih dan jazakumullahu khairan kepada semua Ahli PEMBINA yang telah menjayakan Siri Roadshow PEMBINA baru-baru ini. Siri pertemuan yang berlaku telah memberi satu perasaan yang optimis kepada diri saya sendiri bahawa penggerak agenda belia di tanahair masih punyai nafas panjang dan tidak sekalipun semput.

Sebenarnya belia mempunyai potensi yang cukup besar dalam perjuangan perubahan di tanahair. Tokoh Revolusi Perancis, Robespierre dihukum bunuh pada usia 31 tahun semasa sedang sibuk memperjuangkan agenda rakyat Perancis. Di tanahair kita sendiri, Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob mereka ini semuanya memulakan perjuangan mereka pada usia 20-an.Tidak dapat saya sebutkan semua nama di sini, marilah kita sama-sama selak semula sejarah mereka ini untuk kita menyedari hakikat bahawa kita masih relevan dalam konteks agenda belia masakini. Ahli PEMBINA meskipun di manapun julat umurnya cukup relevan dalam agenda belia, usah malu dan segan, usah rendah diri dan takut berdiskusi, usah takut terjun sungai dan mendaki puncak, usah jadi “tok sheikh” awal sangat…..

Melihat kepada situasi umum belia masakini, kita tertanya-tanya di manakah letaknya kesilapan dan gangguan yang menyebabkan belia pada zaman ini tidak seperti Ahmad Boestamam mahupun Burhanuddin Helmi? Seorang sejarawan tanahair pernah membincangkan isu ini dan akhirnya melihat dari aspek sosio-politik dan sejarah bahawa salah satu faktor utama yang menyebabkan matinya jiwa “belia” ini ialah kerana “Budaya Belia.”

Apa itu Budaya Belia?

Budaya Belia ditafsirkan sebagai satu bentuk gaya hidup yang dianjakkan secara tidak sedar agar belia tampak berbeza dengan golongan umur yang lain. Budaya hidup dengan pemakaian yang tersendiri baik hip-hop mahupun reggae, budaya menyibukkan diri dengan alatan elektronik yang tersendiri, hidup untuk hiburan akhirnya memakan potensi yang ada secara semulajadi kepada belia itu sendiri. Sebahagian penganalisis menyalahkan kapitalis kerana disebabkan merekalah belia kita mati potensinya. Hidup menjadi ruang mencari duit agar boleh membeli kereta baru, membeli iPod terkini, dan itu ini yang baru-baru dan terkini.Maka belia yang menyedari hakikat ini sewajarnya menyempitkan ruang sang kapitalis yang pastinya sentiasa mencari ruang untuk mewujudkan satu pasaran baru bagi mengaut keuntungan di atas kesukaan belia terhadap peti televisyen, permainan komputer, pakaian berjenama dan kasut bola tercanggih.

Jauh sekali untuk mengajak kita semua bersikap konservatif secara mutlak namun teori tersebut ada betulnya dan tidak rugi untuk kita renungkan. Mungkin apa yang perlu adalah kita sentiasa berfikir secara objektif dalam apa sahaja tindakan kita, agar apa yang kita beli dan inginkan itu berdasarkan keperluan kita dan bukanlah bermewah-mewahan semata-mata. Usah kita lupa bahawa islam mengajar kita untuk bersikap zuhud iaitu mengambil sekadar keperluan dan tidak berlebih-lebihan. Biarkan harta kita kekal menjadi hamba dan jangan harta itu memperhambakan kita pula.

Adalah wajar juga untuk kita ingat bahawa apa yang kita ada pada masa sekarang seperti nikmat sistem pendidikan yang tersusun, perkembangan industri, kekuatan ukhuwah sesama muslim, penubuhan NGO yang pelbagai adalah hasil dari perjuangan tokoh-tokoh terdahulu. Saya yakin terlalu banyak ruang pembaikan yang masih ada, dan seandainya kita berhenti berjuang dan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada, sebenarnya yang akan rugi ialah anak-anak pewaris kita akan datang. Maka seharusnya kita mengekalkan jiwa “sentiasa mahukan perubahan” dan “sentiasa laparkan pembaikan” kerana inilah sifat belia secara semulajadi yang telah terbukti berjaya sejak dahulu di mana-mana ceruk dunia sekalipun.

Maka terpanggillah kita semua untuk memerhatikan senario yang mengganggu potensi-potensi semulajadi belia ini. Wujudlah agenda belia yang dibawa oleh PEMBINA demi mengembalikan potensi belia di segenap aspek kehidupan. Tidak dapat tidak, ruang yang ada perlu kita isi agar dapat kita melihat kembali tokoh perjuangan agama dan bangsa kembali mendominasi aktivisme belia.

Saya kira ringkasnya tulisan saya ini buat perbincangan kita bersama. Ruang dan masa yang cukup terbatas ini saya tinggalkan untuk anda semua memberi input atas lontaran idea itu tadi.Kita bertemu lagi di ruang pena dan wacana yang akan datang. Moga-moga PEMBINA dapat mengembalikan nostalgia keaktifan senario mahasiswa dan belia amnya di pentas perjuangan yang asasnya ialah agama dan bangsa. 
Salam perjuangan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top