Oleh:
Ashraf Pahang
Al-Isti’ab bermaksud daya tampung atau secara istilahnya memberi makna kemampuan seorang pendakwah untuk menarik objek dakwah (mad’u) dan melibatkan mereka dengan dakwah meskipun terdapat jurang perbezaan dari sudut intelektual, spiritual, status sosial dan sebagainya. Pendakwah yang berjaya adalah mereka yang berjaya memahami seterusnya mempengaruhi manusia dengan pemikiran dan dakwahnya sekalipun kecenderungan, karakter dan pemahaman mereka yang beraneka-ragam. Tidak dinafikan bahawa para pendakwah seperti manusia lainnya yang memiliki tahap kemampuan yang berbeza
. Namun begitu, mahu tidak mahu seorang pendakwah tetap dituntut untuk memiliki tahap minimum kemampuan Isti’ab. Tanpa adanya isti’ab tidaklah seseorang itu digelar pendakwah dan dengan demikian tidak adalah dakwah. Sekiranya tahap minimum dalam Isti’ab ini tidak dipenuhi maka seorang pendakwah akan menjadi ‘mandul’ atau tidak produktif. Bahkan ia menjadi sebab penghalang proses penghasilan objek dakwah (mad’u) yang baru dan penyebab kemudharatan bagi pergerakan Islam. Banyak manusia yang dianggap sebagai aktivis dakwah tetapi hanya memberi kemudharatan, tidak memberi manfaat, bahkan merosak bukan membangun lalu menjadikan manusia disekelilingnya lari. Namun demikian tetap ada disana manusia-manusia ikhlas yang hidup didalam dakwah dan untuk dakwah. Mereka inilah para pendakwah yang benar-benar diperlukan untuk memikul panji Islam ke mercunya.
BERDAKWAH PADA MASYARAKAT
Menyebarkan risalah Islam di tengah masyarakat sehingga mereka percaya lalu bergabung dan memperjuangkan dakwah adalah suatu usaha yang sangat susah dan berat serta memerlukan kemampuan dan berbagai tuntutan yang harus dipenuhi. Melalui Al-Quran dan As-Sunnah kita dapat mengeluarkan berberapa tuntutan yang harus dipenuhi oleh para pendakwah dalam proses al-Isti’ab antaranya ialah:
1. Kefahaman tentang agama
Pendakwah harus memiliki kefahaman yang mencukupi tentang Islam. Setidak-tidaknya mampu untuk membezakan antara yang halal dan haram, kebaikan dan kejahatan, wajib dan sunnah serta mengetahui masalah aqidah dan hukum. Antara nas Al-quran yang menegaskan hal itu:
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الألْبَابِ (٩)
9. (Engkaukah Yang lebih baik) atau orang Yang taat mengerjakan Ibadat pada waktu malam Dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang Yang
dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna.”
Apakah seorang pendakwah mampu menguasai masyarakat dan menjelaskan Islam pada mereka jika ia sendiri jahil terhadap dasar-dasar Islam? Pemahaman terhadap Islam dan pengetahuan umum akan menjadikan seorang pendakwah mampu beradaptasi sesuai dengan tahap pemikiran segenap lapisan masyarakat disekelilingnya. Di medan dakwah yang sebenar terdapat pelbagai jenis manusia yang harus dihadapi; ada disana berfahaman marxisme, nasionalisme, sosialisme, kapitalisme, sekularisme, orang alim yang terpedaya dengan ilmunya, orang dungu dan bijak, orang kaya yang sombong, orang miskin yang mendendam si kaya, orang yang benar-benar zuhud sehingga membiarkan dunia dikuasai musuh Allah dan bermacam lagi jenis manusia. Demikianlah, seorang pendakwah berada di dalam ‘rumah sakit’ yang sangat besar dan penuh dengan ‘pesakit’. Inilah medan dan tangungjawab yang dipikulnya.
2. Teladan yang baik
Akhlak mulia memiliki pengaruh dalam masyarakat. Malahan lebih efektif dan besar pengaruhnya berbanding pengaruh ucapan. Seseorang yang mengajak manusia untuk berakhlak terpuji sedang akhlaknya sendiri adalah buruk maka semestinya tidak akan ada yang mahu menerimanya. Justeru mereka akan lari menjauhinya. Orang-orang yang buruk akhlaknya di dalam masyarakat terlalu banyak. Golongan ini kemudiannya akan dijadikan bukti oleh mereka yang lemah imannya untuk memfitnah dakwah dan Islam itu sendiri.Allahuakbar buruk sekali. Namun rahsia kejayaan dalam dakwah Islam adalah amat bergantung kepada sejauh mana seorang itu mampu untuk terus istiqamah dengan kebaikan. Maha Benar Allah SWT dengan firmannya:
فَلِذَلِكَ فَادْعُ وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَقُلْ آمَنْتُ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنْ كِتَابٍ وَأُمِرْتُ لأعْدِلَ بَيْنَكُمُ اللَّهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ لا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ اللَّهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ (١٥)
15. oleh kerana Yang demikian itu, maka serulah (Mereka – Wahai Muhammad – kepada berugama Dengan betul), serta tetap teguhlah Engkau menjalankannya sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan janganlah Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada Segala Kitab Yang diturunkan oleh Allah, dan Aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan Kami dan Tuhan kamu. bagi Kami amal Kami dan bagi kamu amal kamu. tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara Kami Dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”.
Apabila dakwah diuji dengan manusia-manusia yang berakhlak buruk, hakikatnya gerakan dakwah sedang diancam oleh kehancuran. Mana tidaknya jika berlaku proses yang berlawanan secara serentak. Sebahagian membangun manakala sebahagian lagi meruntuh dan mencereai-beraikan hingga menimbulkan kebencian. Maka orang seperti ini harus dibersihkan daripada sof dakwah.
3. Sabar
Ketika berdakwah pada masyarakat kesabaran amat diperlukan dan bukannya kebencian dan ammarah yang melulu. Ini tidak lain kerana manusia memiliki emosi yang bermacam, kekurangan yang beragam, tabiat yang berbeza serta memiliki kepentingan yang berlainan. Ada sesetengahnya tidak akan puas melainkan setelah bertemu dengan anda. Ya anda para pendakwah sekelian! Mereka datang tanpa mempedulikan keadaan anda samada ketika makan, tidur istirehat atau sebagainya. Semua ini memerlukan para pendakwah untuk bersabar dan bermuamalah dengan baik. Jika tidak tentu akan menerbitkan kebencian bahkan mungkin permusuhan. Saya mengenal seorang pendakwah yang memiliki kesabaran yang luar biasa. Suatu hari datang ke rumah pendakwah tersebut seorang pemabuk yang tiada siapa lagi mahu menerimanya kerana keburukan tabiat si pemabuk. Namun pendakwah tersebut menyambut dengan baik hingga akhirnya si pemabuk sering berkunjung ke rumah pendakwah tersebut. Setelah beberapa lama hidayah mulai menusuk ke dalam hati lelaki tersebut lalu menjadi penjaga setia pada pendakwah yang menjadi sebab hidayah baginya. Ke mana si pendakwah pergi ia past akan mengikutinya bahkan mereka jarang sekali berpisah. Sehingga suatu saat, dimana pendakwah tadi jatuh sakit dan perlu menjalani pembedahan. Usai pembedahan, tiada seorang pun dibenarkan untuk melawatnya. Ketika bekas pemabuk tadi datang dalam keadaan memaksa kerana ingin menemui orang telah mengeluarkan dirinya dari belenggu arak, salah seorang pengikut pendakwah tadi telah menamparnya dengan keras. Tamparan itu merubah segalanya menjadikan bekas pemabuk tadi menjadi musuh bagi Islam dan semua umat Islam. Alangkah indahnya jika dapat bersabar!
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلا عَلَى الْخَاشِعِينَ (٤٥)
45. dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk;
Antara ciri lain yang tidak dapat dihurai dengan panjang lebar dalam makalah ringkas ini namun harus dilengkapi oleh pendakwah adalah seperti lemah lembut, memberi kemudahan, tawadhu’, murah senyuman serta kata-kata yang baik, pemurah dan membantu orang lain.
PERKASAKAN DAYA TAMPUNGMU…
Ideologi perubahan Islam mengkehendaki adanya satu barisan yang menjadi pencetus kepada kebaikan yang mampu untuk menyentuh masyarakat. Jika gerakan dakwah tidak mahu berganjak setelah memiliki orang-orang yang baik serta tidak mahu bergaul dengan masyarakat, mendidik, membimbing, mangarahkan, membantu, memimpin, meringankan kesulitan mereka, melakukan perbaikan di tengah mereka, maka masyarakat akan meniggalkannya dan akhirnya gerakan dakwah akan runtuh kerana tidak memiliki akar kekuatan didalam jantung masyarakat.
هَا أَنْتُمْ هَؤُلاءِ تُدْعَوْنَ لِتُنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَمِنْكُمْ مَنْ يَبْخَلُ وَمَنْ يَبْخَلْ فَإِنَّمَا يَبْخَلُ عَنْ نَفْسِهِ وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنْتُمُ الْفُقَرَاءُ وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ (٣٨)
38. (ingatlah), kamu ini adalah orang-orang Yang bertabiat demikian – kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu Yang berlaku bakhil, padahal sesiapa Yang berlaku bakhil maka Sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadanya Dalam Segala hal). dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.”
Wallahulmusta’an.
RUJUKAN
Al-Isti’ab – Ust Fathi Yakan