Apa saja yang disukai atau dibenci pada hari ini adalah hasil usaha pemimpin terdahulu dan hari ini. Satu hakikat yang perlu disedari mahasiswa dan belia adalah perkara-perkara baik yang wujud sekarang perlu diusahakan supaya ia terus kekal wujud di masa hadapan. Apa yang buruk pula, perlu diusahakan supaya ia hilang atau menjadi baik di masa hadapan. Kekal atau ubah, kedua-duanya perlu diusahakan. Berlepas diri dan memilih untuk menjalani kehidupan sendiri semata-mata bukanlah pilihan. Pemimpin-pemimpin yang baik atau sebaliknya, semuanya telah dan akan pergi meninggalkan kita dan mempersembahkan amal mereka di hadapan Allah. Maka generasi kita perlu bersedia secara sedar untuk menyambung tanggungjawab ini.
Apa yang kita impikan haruslah jelas dan perlu diusahakan. Kedudukan Islam di tempat yang sepatutnya, masyarakat yang beriman, umat yang sejahtera, negara yang aman dan maju, keadilan yang meluas dan kepimpinan yang kuat. Kita harus bersyukur kerana kita tidaklah perlu bermula dari kosong.
Dalam melihat impian yang ingin dibina, kita harus sedar secara jelas bagaimana keadaan generasi kita sekarang. Kita dapat lihat kekuatan dan cabaran-cabaran yang dihadapi anak muda masakini. Antara cabaran yang paling besar adalah keruntuhan nilai dan neraca, di mana anak-anak muda menilai baik dan buruk daripada kaca mata ideologi tempang. Cabaran utama yang lain adalah sifat individualistik yang menebal, di mana segala perbuatan dan tuntutan adalah untuk timbal balas terhadap diri sendiri. Contohnya beramal, tetapi untuk resume kerja.
Di sinilah Pembina memainkan peranan yang besar dalam membangunkan generasi mahasiswa yang benar-benar dapat memenuhi impian-impian kita. Generasi dengan jati diri yang kukuh, berakhlak, meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi dan kompeten untuk membina dan mentadbir. Justeru, sama seperti kita mengimpikan untuk umat dan menilai keadaan umat, kita juga perlu mengimpikan untuk Pembina dan menilai keadaan Pembina dari semasa ke semasa.
Kita mahukan mahasiswa yang cita-citanya lebih panjang daripada umurnya dan impiannya lebih besar daripada dirinya.
Jika ditanya ke mana hala tuju kita dan apa yang kita perlu lakukan sekarang, jawapannya terdapat pada impian kita dan kekuatan yang perlu dibina untuk memastikan kita capai impian tersebut. Kita telah lihat pelbagai pertubuhan mahasiswa yang timbul dan mati, baik mati gerakannya atau gerakannya masih hidup tetapi cita-cita asal telah lama mati.
Buat masa sekarang, soalan yang perlu ditanya adalah berapa ramai yang kita boleh bawa bersama untuk menuju cita-cita yang diimpikan. Apa saja impian dan cita-cita, ia tidak bermakna tanpa generasi kita yang sanggup bekerja bersama-sama.
Segala perincian terhadap perjalanan Pembina akan diperincikan lagi semasa HIMMAH 2016 Insha Allah, di mana tema masa kini menjadi jambatan untuk impian masa hadapan.
Eqwan Roslan
Presiden PEMBINA 2016